https://critoxium.com/shop/

Terkini

Buat apa nak ada ketua menteri Melayu

Oleh Amran Ahmad

Ada gerakan yang dibuat oleh sekelompok individu yang berusaha membangkitkan persoalan mengenai keperluan untuk melantik seorang ketua menteri Pulau Pinang di kalangan wakil rakyat Melayu.

Tak cukup dengan beberapa tulisan yang disiarkan di beberapa portal, mereka menganjurkan forum untuk mengupas persoalan tersebut dengan memanggil beberapa personaliti tertentu.

Malangnya, dengar kata, kehadiran pada forum tersebut tidak begitu mendapat sambutan seperti yang disasarkan dengan tidak sampai 20 peserta yang hadir.

Maknanya, tema atau tajuk forum tersebut tidak begitu diminati walaupun oleh pemimpin Melayu sendiri termasuk mereka yang menyokong pembangkang.

Ia sebenarnya dilihat sebagai agenda kelompok tertentu untuk meletakkan pimpinan atasan daripada parti politik tertentu bagi meraih kesempatan atas apa yang sedang berlaku ke atas pentadbiran kerajaan negeri serta suasana politik semasa.

Sebagai bekas pegawai khas ketua menteri Pulau Pinang, walaupun hanya untuk seketika, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pendapat mengenai usaha berkenaan.

Pihak berkenaan harus akur dengan fakta dan menyedari bahawa selama Pulau Pinang diperintah oleh pemimpin berbangsa Cina, negeri Pulau Mutiara itu berkembang maju dan menjadi antara penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Semenjak kita merdeka, Pulau Pinang ditadbir oleh ketua menteri seperti berikut: Wong Pow Nee (MCA), Lim Chong Eu (Gerakan), Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Gerakan) dan kini Lim Guan Eng daripada DAP.

Sejak 2008, Guan Eng menggalas tanggungjawab untuk mentadbir Pulau Pinang dan ternyata, terus memajukan negeri itu tanpa sebarang kekurangan walaupun tidak mendapat bantuan kerajaan pusat sebanyak mana yang diterima Gerakan sebelum ini.

Yang lebih menarik, orang Melayu di Pulau Pinang terus menerima kemakmuran sosial dan ekonomi kerana mendapat lebih banyak kelebihan berbanding zaman Gerakan dahulu.

Ekonomi Melayu

Bukan setakat perumahan, elaun para imam di Pulau Pinang dan imbuhan kepada pelajar Maahad Tahfiz yang menghafal Al-Quran, masa depan ekonomi orang Melayu juga terjaga bawah ketua menteri berbangsa Cina ini.

Sebagai contoh, daripada 66 projek kerajaan negeri Pulau Pinang berkaitan dengan kerja pemasangan paip oleh Perbadanan Bekalan Air (PBA), 44 daripadanya yang bernilai RM68 juta diberikan kepada kontraktor Melayu.

Sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan projek oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga diberikan kepada kontraktor Melayu.

Ini bermakna, ketua menteri berbangsa Cina dari DAP ini menjaga kebajikan semua kaum
dan tidak pernah menganggap dirinya sebagai ketua menteri untuk bangsa sendiri sahaja.

Lagipun, kalau dicampur jumlah pengundi Melayu sekitar 34.7 peratus dan India (10.8 peratus) sekalipun, ia masih tidak dapat menandingi jumlah pengundi Cina (53.9 peratus) di Pulau Pinang.

Justeru, wajarlah pihak yang berkenaan untuk tidak meneruskan agenda politik sempit perkauman mereka ini kerana ada tugas lebih penting untuk menukar kerajaan pusat sedia ada menjelang pilihan raya umum ke-14.

Bazir tenaga

Biarlah parti yang memenangi paling banyak kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Pulau Pinang untuk memilih siapa yang akan menjadi ketua menteri tanpa tekanan dari mana-mana pihak termasuk komponen pakatan pembangkang sendiri.

Tak payahlah cuba meletakkan Melayu sebagai ketua menteri sama ada dari PKR, AMANAH atau BERSATU malah DAP sendiri di sebuah negeri yang didominasi oleh bangsa Cina.

Ini kerana ketua menteri sedia ada telah membuktikan garisan perkauman tidak pernah menjadi halangan untuk pembangunan bersama semua kaum.

Ayuh, lebih baik kita bersama menggembleng tenaga, keringat dan idea-idea untuk membangkitkan serta menyemarakkan semangat rakyat Malaysia terutama orang Melayu untuk mencetuskan tsunami Melayu dalam PRU14.

Daripada membazir masa dan tenaga semata-semata untuk meletakkan Melayu sebagai ketua menteri Pulau Pinang, eloklah kita letakkan Melayu yang lebih baik untuk mengepalai Putrajaya daripada Melayu yang ada sekarang.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden Cuepacs dan naib pengerusi DAP.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.