https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hamas dan pengukuhan pakatan UAE-Mesir-Saudi

Oleh HARIS ZALKAPLI

 PERSEFAHAMAN perdamaian dan penubuhan kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah di Kaherah mengandungi dua sisi yang penting, iaitu pengukuhan pengaruh Emiriyah Arab Bersatu, Mesir dan Arab Saudi dalam isu Palestin mengatasi Qatar dan sekutunya Turki, dan sikap Hamas yang semakin pragmatik menangani masalah Gaza dan kedudukan politiknya menangani Fatah dan Pihak Berkuasa Palestin.

Sejak 2006, tahun Hamas menang besar dalam pilihan raya Palestin, Qatar telah berusaha menyatukan Hamas dan Fatah dalam sebuah kerajaan perpaduan, menamatkan persengketaan kedua-dua kumpulan dan mewujudkan sebuah Palestin yang bersatu.

Walaupun sukar dan berdepan pelbagai cabaran, Qatar kekal sebagai kuasa berpengaruh di Gaza yang sukar diatasi oleh kuasa serantau lain, sama ada dalam bentuk bantuan kewangan dan juga sokongan politik, pada masa sama meneruskan usaha menyatukan Hamas dan Fatah.

Kebangkitan serantau digelar "Arab spring" akhirnya mengukuhkan lagi kedudukan Doha dalam isu Palestin, apabila kepimpinan Hamas meninggalkan pangkalan di Syria pada awal 2012 dan berpindah ke Qatar dan Mesir - yang pada masa itu di bawah pengaruh Qatar - mengiktiraf peranan Doha sebagai penaung baharu Hamas.

Pada 2014, emir Qatar pada masa itu mencetuskan kejutan apabila melawat Gaza, sesuatu yang tidak pernah dilakukan pemimpin serantau lain, dan menjanjikan bantuan pembangunan sebanyak AS$400 juta.

Gaza pada masa itu dilihat bakal terbela dan pelbagai masalah yang membelenggu boleh dapat diselesaikan dengan bantuan Qatar dan juga sekutunya Turki.

Kemaraan Qatar ekoran kebangkitan serantau, terutama dengan menguasai Gaza dan Mesir walau bagaimanapun tidak berlangsung lama, apabila pakatan Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan rejim lama Mesir diwakili Abdel Fatah al-Sisi pada 2013 menggulingkan Presiden Mohamed Morsi dan menamatkan penguasaan Ikhwanul Muslimin dan Qatar ke atas Mesir.

Hamas turut menerima kesannya apabila harapan untuk Mesir yang dikuasai Ikhwan dan berpotensi membantu dan menamatkan dasar-dasar lama terhadap Gaza berakhir dan Mesir dikuasai oleh pemimpin yang memusuhi Ikhwan dan sekutu.

Kemudian, pada masa pengaruh serantau Doha semakin lemah, Emiriyah, Arab Saudi dan Mesir dan sekutu-sekutu mengenakan sekatan ke atas Qatar, dengan senarai tuduhan termasuk mengaitkannya dengan membantu teroris.

Pada masa kepungan ini berjalan, Abu Dhabi telah pun membina hubungan yang rapat dengan Kaherah, terutama melalui bantuan kewangan berbilion dolar dan mempunyai pengaruh yang cukup untuk mempengaruhi pembuatan keputusan dalam dasar luar Mesir.

Rundingan peringkat akhir yang akhirnya membawa kepada persetujuan antara Hamas dengan Fatah untuk melaksanakan persetujuan tahun 2011 menubuhkan kerajaan perpaduan - yang juga dicapai di Kaherah - dan Hamas melepaskan pentadbiran di Gaza dan sempadan dengan Mesir berlaku semasa Qatar berdepan tekanan kuat pakatan Emiriyah-Saudi-Mesir.

Qatar yang sejak lebih sedekad lalu menjadi tuan rumah dan rujukan dalam usaha mendamaikan Hamas dengan Fatah kelihatan telah kehilangan pengaruh pentingnya, dan Kaherah disokong kuat Emiriyah muncul sebagai broker dan menjadi lokasi persefahaman Hamas-Fatah dicapai.

Bermula awal tahun ini, Mesir telah berunding dengan Hamas dan Mohammed Dahlan, seorang pemimpin Fatah dalam buangan yang juga pesaing pemimpin Fatah, Mahmoud Abbas yang kini semakin tidak popular.

Dahlan memainkan peranan penentu dalam mencapai persefahaman dengan Hamas di Gaza, dalam rundingan yang bermula sejak awal tahun ini di Kaherah.

Rundingan ini menghasilkan persetujuan perkongsian kuasa seperti yang diumumkan Dahlan pada hujung bulan Julai lalu, dan mendorong kepada rundingan akhir mencapai persefahaman yang dicapai di Kaherah baru-baru ini.

Pada 12 Oktober lalu, di Kaherah, Hamas dan Fatah akhirnya bersetuju untuk berdamai, bekerjasama menyelesaikan krisis kemanusiaan Gaza akibat kekurangan air dan tenaga, kegawatan ekonomi, kemusnahan infrastruktur, dan peminggiran Gaza dari masyarakat dunia.

Dahlan, seorang broker antarabangsa yang berpangkalan di Abu Dhabi dan mempunyai hubungan baik dengan elit pemerintah Emiriyah dan Mesir telah mengukuhkan kedudukannya melalui pelbagai cara termasuk berunding dan menawarkan ganjaran kewangan kepada pihak terlibat konflik antara Hamas dan Fatah pada 2006-2007 dan mangsa perang 2014.

Tahun ini, Dahlan kelihatan telah mencapai matlamatnya apabila persetujuan dengan Hamas dicapai, walaupun beliau sebelum ini dalam peranannya sebagai pegawai keselamatan Fatah di Gaza, terlibat bertindak ganas terhadap Hamas.

Dahlan mempunyai hubungan baik dengan Yahya Sinwar, ketua Hamas di Gaza dan telah memulakan rundingan dengan Hamas hasil hubungan baik ini, ditambah dengan faktor tekanan ke atas Gaza dan permusuhan dengan Abbas.

Melalui pengaruh Dahlan di Abu Dhabi, jutaan dolar diperolehi daripada Emiriyah, penyumbang program bayaran ganti rugi ini, dan ratusan ribu dolar telah diserahkan kepada mangsa yang terlibat dalam perang 2014 pada September lalu.

Gaza juga dikatakan menerima jutaan dolar bantuan kewangan dari Emiriyah hasil persefahaman dengan Dahlan, mengatasi bantuan dari Qatar.

Emiriyah juga dilaporkan telah bersetuju membiayai stesen janakuasa bernilai AS$100 juta yang bakal dibina di Mesir bagi membekalkan kuasa ke Gaza.

Menjelang Aidilfitri lalu, Dahlan telah menggunakan pengaruhnya, melalui bantuan sejuta liter bahan bakar dari Mesir - dengan bantuan Emiriyah - ke Gaza, yang berdepan masalah ekoran pemotongan sebanyak 40 peratus bekalan elektriknya oleh Israel atas permintaan Pihak Berkuasa Palestin di bawah Presiden Abbas.

Di pihak Hamas, kumpulan ini telah menamatkan kerajaan bayangannya di Gaza setelah mencapai persetujuan dengan Dahlan, dan telah wujud satu kerjasama politik antara Hamas dan kumpulan Dahlan dalam Fatah.

Hamas kini telah bersetuju berkongsi kuasa mentadbir Gaza dengan Fatah, dan Dahlan dan kelompoknya dijangka bakal muncul sebagai antara pihak yang paling menang hasil rundingan ini, sekaligus meminggirkan Abbas.

Kedua-dua Hamas dengan Dahlan telah terlibat dalam konflik ganas pada 2007, tetapi mencapai satu persefahaman untuk berdepan Abbas, yang bertanggungjawab menyukarkan lagi keadaan di Gaza.

Walaupun menafikan cita-cita untuk menggantikan Abbas, Dahlan kini muncul sebagai seorang tokoh berpengaruh dan kerjasamanya dengan Hamas dan sokongan Abu Dhabi dan Kaherah bakal terus mengukuhkan pengaruhnya di Gaza dan juga dalam Fatah dan Pihak Berkuasa Palestin.

Perkembangan terbaru ini menunjukkan satu perubahan besar aturan kuasa serantau, menyaksikan pengukuhan kedudukan Mesir yang disokong Emiriyah dan juga Arab Saudi, dan bagaimana kesan-kesan politik "Arab spring" dan perang serta krisis di Gaza akhirnya memberi kesan pada Hamas.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.