Isu ketua menteri Melayu: P Pinang sudah cipta sejarah
Oleh NOR MISWARY RAMLI
Biarpun seperti membuang masa, namun jika tulisan seperti ini tidak cuba ditulis, saya khuatir akan lebih banyak masa berbaki yang akan dibazirkan.
Sebetulnya saya telah mengasingkan diri untuk memberikan komentar mengenai isu ketua menteri Melayu Pulau Pinang yang seperti tidak mahu berkesudahan ini.
Saya tidak mahu dilihat bertembung sesama kita di media seperti yang dibenci oleh anak-anak muda non-partisan yang menyampah dengan politik bersekali dengan ahli-ahli di dalamnya.
Saya hanya mengharap isu ini hanyut begitu sahaja dan berterbangan sebagaimana isu kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang mahu lompat parti dan membentuk kerajaan baru di Selangor.
Namun tulisan terbaru Hasmi Hashim seperti yang tersiar di Malaysiakini merangsang saya mencoretkan sesuatu.
Saya mengelak daripada dilabel ‘pakatan sesama pakatan pun bercakaran siang malam’. Saya tahu benar erti membuang masa dengan isu seperti ini berbanding persoalan lebih besar yang menghimpit rakyat saban hari.
Kerana saya juga menyampah bila orang politik lupa masalah sebenar yang sedang dihadapi ketimbang hanya berahi dengan persoalan kuasa dan kedudukan semata-mata. Maka saya faham benar perasaan meluat itu.
Persoalan lebih besar
Namun, jangan sekali-kali terculas dengan sikap saya yang kekal meraikan hak untuk meluahkan pendapat serta melontar idea mahupun kritikan.
Cuma terpateri kemas dalam benak fikiran yakni kita sebagai orang politik; cermat dalam memilih waktu untuk bersuara juga petanda kebijaksanaan.
Maka, tentunya pantas dipersoal; Bilakah masa yang sesuai jika tidak sekarang? Akan tibakah masa yang sesuai itu? Langsung, idea yang dibangkitkan boleh jadi akan terbiar membungkus kekecewaan beliau selamanya. Saya mengerti kerisauan itu.
Sebaliknya, bukanlah persoalan bilakah atau adakah masa yang sesuai. Ia lebih kepada; apa keperluan isu ini dibangkitkan atau tidakkah terdapat keperluan lain yang lebih mendesak saat ini?
Begini, isu ini seharusnya tidak langsung timbul. Bukan persoalan bila masa yang sesuai dan sebagainya. Ia sesuatu yang tidak selari dengan apa yang sedang kita usahakan selama ini.
Parti DAP tidak berminat mendapatkan kedudukan dan kuasa melalui kuota bangsa atau berdasarkan angka-angka dan peratusan pecahan kaum dalam negeri mahupun negara.
Itulah tiang seri DAP.
Dengan sebab itu jualah DAP menjadi pilihan anak-anak muda masakini. Mereka percaya setiap pemimpin DAP mampu dan boleh mewakili setiap seorang rakyat Malaysia tidak kiralah kamu bermata sepet, berkulit gelap atau berbeza agama. Ya, ia kelihatan sukar, tetapi itulah yang sedang DAP usahakan.
Populasi kaum
Cita-cita yang luhur ialah melihat negara ini maju dan makmur dimana hasil mahsulnya dapat dibahagi merata secara adil tanpa disaring faktor bangsa ataupun agama.
Justeru itu, menjadi hasrat saya dan juga pemimpin DAP yang lain tentunya, untuk mengangkat keutamaan dan keperluan paling asas dalam perjuangan ini yakni untuk bangsa Malaysia.
Saya yakin, bukan saja DAP, malah kesemua parti-parti di dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah semestinya akan memilih pemimpin berdasarkan kredibiliti dan merit yang ketat yang membolehkan mereka mampu mewakili setiap seorang rakyat Malaysia.
Sudah tentu pemimpin Melayu dan bukan Melayu dari HARAPAN terikat dengan syarat ini tanpa terkecuali.
Ketika Malaysia mahu menjayakan apa yang digelar sebagai politik baru, tiba-tiba kita dambakan seorang ketua menteri Melayu hanya disebabkan populasi kaum Melayu telah meningkat.
Kita pastinya menghadapi kesukaran di masa-masa mendatang atau mungkin di lain-lain negeri jika kaum atau malah mungkin etnik akan menjadi ukuran melantik seorang ketua kerajaan negeri mengisi faktor peningkatan populasi.
Apa yang merisaukan saya di masa hadapan ialah, kelayakan tidak lagi menjadi kriteria utama dalam pemilihan ketua kerajaan negeri. Saya faham tentunya yang dimaksudkan beliau terdapat juga pemimpin Melayu yang layak, kenapa tidak diberi peluang mencipta sejarah?
Namun persoalan yang timbul ialah telah ada seorang pemimpin yang layak mengetuainya hari ini, kenapa harus ditukar hanya semata-mata pemimpin tersebut bukan Melayu?
Sejarah telah pun kita cipta. Menjadi pemimpin yang mewakili semua dan Pulau Pinang telah menjadi buktinya.
Imaginasi terlampau
Maka itulah pokok pertikaian saya akan hal memilih ketua kerajaan negeri ini. Ya, semua bersetuju soal merit dan ya, pemimpin yang ada hari ini juga telah melepasi syarat merit tersebut.
Lalu apa lagi kalau bukan soal kaum yang dilihat mahu disunting menjadi pra-syarat baru seorang ketua kerajaan di negeri Pulau Pinang hari ini.
Natijahnya, kita hanya mengulangi apa yang Umno-BN pertahankan selama berdekad lamanya. Ia semacam satu imaginasi yang mulus tetapi masih sebuah idea yang melangkah ke belakang.
Biarpun asal gesaan ini datang dari isu memegang jawatan selama dua penggal, ia telah menjawab persoalan asas yakni; ya, ketua menteri Pulau Pinang hari ini telah memegang jawatan selama dua penggal tetapi bukanlah tiga penggal!
Maka tidaklah keterlaluan disebut, jika ada pemimpin lain dari kalangan bukan Melayu untuk mengisi jawatan ketua menteri Pulau Pinang selepas ini, apa salahnya.
Imaginasi ini bakal memandu kita kepada lebih banyak persoalan yang tidak menguntungkan malah akan menjadi sebuah arca yang sia-sia.
Implikasinya boleh menjadi besar dan terlalu buruk. Ini kerana menurut penulis itu lagi, parti yang paling banyak memenangi kerusi tidak semestinya layak mengenengahkan calon ketua kerajaan.
Ia dengan mudah menjadikan forrmula ini sebagai alasan menyokong momokan Umno bahawa tidak mustahil seorang pemimpin bukan Melayu DAP dilantik menjadi Perdana Menteri walaupun DAP tidak menguasai majoriti dan hanya memenangi sekitar 50 kerusi parlimen yang mereka tandingi.
Tidakkah ia sangat berbahaya dan berisiko untuk HARAPAN?
Malah membuat perbandingan perlantikan menteri besar Perak daripada PAS sungguhpun DAP menguasai majoriti kerusi DUN adalah tidak tepat dengan usul persoalan ini.
Pelantikan menteri besar Perak sebenarnya wajib datang daripada kalangan ADUN Melayu yang beragama Islam seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri tersebut.
Ia bukan idea silang-kata DAP mahupun strategi Pakatan Rakyat ketika itu untuk mengangkat Ir Nizar Jamaluddin (gambar) daripada PAS sebagai MB.
Ini kerana ketika itu parti majoriti tidak mempunyai ADUN daripada kalangan mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam yang menjadi syarat mutlak untuk menduduki jawatan tersebut.
Beri makna politik baru
Jelas sekali, di Perak, ia bukan persoalan memilih ketua kerajaan negeri berdasarkan kecil besar majoriti parti tertentu. Ia telah ditentukan lebih awal menerusi peruntukan undang-undang tubuh negeri dalam soal lantikan menteri besar. Itu bezanya.
HARAPAN sedang membentuk negara yang tercinta ini dengan corak politik dan kepimpinan yang segar serta baharu.
Ketika kita sedang mengumpul sederap tenaga dan menyusun strategi untuk menghadapi Barisan Nasional dalam pertembungan hidup mati pemimpin-pemimpin mereka, persoalan ketua menteri Melayu di Pulau Pinang ini boleh merenggangkan kita semua.
Sebagai anggota dalam HARAPAN, kita seharusnya menumpukan seluruh tenaga dan masa kita merangka polisi-polisi bagi menarik minat pengundi-pengundi baharu. Membuka peluang untuk lebih banyak perselisihan dan pertembungan adalah sesuatu yang wajar kita elakkan saat ini.
Ini kerana, selain mahu menyelamatkan negara ini, DAP juga mahu jurang syak wasangka antara berlainan kaum dan agama ditutup serapat-rapatnya. Politik baru yang tidak mengukur seseorang pemimpin itu berdasarkan kaum dan agama adalah cita-cita luhur kami.
Asalkan pemimpin tersebut mendapat majoriti mandat dalam Dewan Negeri, berkelayakan, mampu mentadbir dengan adil dan tidak hanya melebarkan kuasa kepada mereka yang berada disekelilingnya sahaja, maka pemimpin tersebut boleh sahaja diangkat menjadi ketua menteri tidak kiralah apa pun jenis bangsa atau etniknya.
DAP telah meyakini saya, bahawa kita boleh menjadi wakil untuk semua tanpa mengira bangsa atau anutan kepercayaan. Kerana di akhirnya, kita semua adalah rakyat Malaysia.
NOR MISWARY RAMLI ialah Pengerusi DAP Cawangan USJ Subang Jaya. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.