https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ujian buat parti bunga raya dan ketupat palas

Oleh

HARI ini, 14 Oktober, 2017 adalah hari ujian yang amat besar buat gabungan parti dalam Pakatan Harapan. Perhimpunan "Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi" yang bakal berlangsung petang ini akan menjadi penanda aras sejauh mana kuat atau lemahnya sokongan rakyat terhadap koalisi pembangkang itu.

Tumpuan semestinya akan diberikan kepada dua parti baharu. Parti cap bunga raya pimpinan Dr Mahathir Mohamad; serta parti cap ketupat palas pimpinan Mohamad Sabu.

Kedua-dua parti ini belum lagi diuji sepenuhnya kemampuan mereka untuk menggerakkan anggota masing-masing dalam acara memperlihatkan kekuatan seperti yang bakal berlangsung hari ini nanti.

Ya, hakikatnya perhimpunan anti kleptokrasi itu adalah suatu acara rapat raksasa untuk memperlihatkan kekuatan jentera keempat-empat parti komponen Harapan. Parti semestinya telah memberitahu anggota masing-masing bahawa ini adalah satu acara mobilisisasi.

Siapa yang merasakan dirinya berpotensi menjadi calon pastinya akan mengambil peluang ini untuk mengerahkan seluruh ketumbukan jentera kempennya, bagi membuktikan kepada pucuk pimpinan sejauh mana hebat pengaruh politiknya.

Bakal-bakal calon ini nanti akan berdiri hampir ke pentas, mencuba nasib untuk berucap sepatah dua. Meminta rakan atau pengikutnya mengambil gambar sebagai bukti. Atau mengambil selfie sendiri, kerana tiada yang sudi membantu. Ini kemudiannya akan ditunjukkan kepada pucuk pimpinan sebagai tanda sudah buat kerja dan selayaknya mendapat ganjaran pahala.

Setakat yang kita tahu, Harapan masih belum selesai mengagih kerusi. Dengan pertambahan parti keempat, kek coklat nan satu harus dipotong lebih kecil lagi supaya nikmat dan lazatnya dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama. Entah kerusi siapa yang selamat, dan kerusi siapa yang akan selamat diserahkan kepada orang lain.

Acara berebut kerusi ini sewajarnya diiringi lagu seperti di majlis hari jadi. Yang jatuh terduduk akan jadi bahan ketawa. Kita yang menonton akan bertepuk tangan. Bersorak melihat mereka berkuntau, saling tolak-menolak. Politik memang menghiburkan.

Ujian buat Amanah dan PPBM

Di acara ini parti ketupat dan parti bunga raya masing-masing perlu memperlihatkan kecemerlangan untuk menggerakkan anggota akar rumput seramai mungkin untuk membanjiri padang menghadap bangunan Amcorp Mall itu.

Kita tidak perlu keliru. Perhimpunan anjuran parti-parti Harapan hari ini bukanlah sebuah demonstrasi jalan raya yang boleh menggugat pentadbiran negara. Ia suatu latihan untuk menggerakkan anggota akar umbi. Ia memang bertujuan untuk mengumpulkan seberapa ramai mungkin penyokong dan anggota parti Bersatu, Amanah, DAP dan PKR.

Tekanan pastinya lebih kuat untuk parti DR Mahathir. Tapak perhimpunan hanya sekentut saja dari ibu pejabat partinya di bangunan Yayasan Selangor.

Sekiranya anggota parti yang khabarnya lebih 50% berusia 35 tahun ke bawah itu tidak dapat dikerah, di saat pengerusinya yang sudah hampir satu abad pun boleh menjelajah ke seluruh negara siang malam berceramah tanpa henti, teruk sangat lah Bersatu ini.

Begitu juga parti Amanah. Kalau tidak boleh dikerah anggotanya hadir beramai-ramai setanding perhimpunan Fastaqim anjuran PAS di Terengganu, jenuh Mat Sabu garu kepala tak lena tidur.

Menjelang pilihan raya umum tidak berapa minggu saja lagi, PAS sudah terlebih dulu memperlihatkan kekuatannya sebagai sebuah parti yang berjaya mendidik anggotanya supaya dengar dan taat, dan sedia dikerah ke sana ke mari. Patah sayap bertongkat paruh, kalau perlu merangkak, maka merangkak ke perhimpunan Fastaqim itu.

Jika Amanah benar-benar percaya ia boleh mengisi lompang yang ditinggalkan PAS dalam ketumbukan blok pembangkang, maka Amanah harus cemerlang petang ini nanti.

Bila PRU14?

Kesudahan perhimpunan hari ini akan menjadi indikator penting dalam menentukan bila masa dan ketikanya untuk Perdana Menteri Najib Razak membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya.

Teori yang sedang berlegar ialah Najib boleh saja bertindak membubarkan Parlimen sebaik saja beliau siap menawarkan gula-gula pilihan raya melalui pembentangan belanjawan hujung Oktober ini nanti.

Ada teori juga mengatakan Najib memerlukan kemenangan besar untuk memastikan biaya besar dari Tanah Besar China hadir tepat pada masanya untuk mengambus lubang besar yang digali kerajaan melalui skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bayaran kepada IPIC Disember nanti.
Maka kemungkinan besar PRU14 akan diadakan sebelum bayaran itu perlu dibuat.

Teori lain mengatakan Najib itu sifatnya suka buat kerja pada saat akhir. Maka ia hanya akan berani mengadakan pilihan raya pada hujung-hujung hayat mandatnya menjelang pertengahan tahun hadapan. Parti pembangkang pun boleh menghela nafas lega merasakan masih ada masa untuk mengatur kerusi, manifesto dan sebagainya.

Kalau saya jadi Najib, perhimpunan petang ini akan mempengaruhi keputusan bilakah tarikhnya membubarkan Parlimen.

Kalau perhimpunan hari ini melingkup, maka lebih cepat saya adakan pilihan raya. Biar bertempiaran lari semuanya tidak menyangka serang hendap di saat gerak kerja masih belum bermula.

Sebaliknya kalau himpunan anti kleptokrasi ini berjaya menarik perhatian ramai, maka jenuh saya menggigit jari memikirkan bagaimana caranya untuk menang di Selangor, dengan berbekalkan wajah Noh Omar dan Jamal Yunos sebagai calon menteri besar.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.