Sosok Pejuang Tian Chua
Oleh Lim Hong Siang
Setelah menerima pesanan ringkas bahawa Tian Chua bakal dipenjarakan, lantas saya google kes apa yang menyabitnya kali ini. Melambak kesnya, sehingga saya tidak pasti kes yang mana satu. Akhirnya sahabat saya memberitahu, kes Bersih 3.
Begini ceritanya. Tian Chua ditahan bersama ratusan peserta himpunan BERSIH 3 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pada malam itu. Beliau antara yang paling awal dibebaskan, tetapi enggan beredar dari situ. Sebagai seorang pemimpin, Tian Chua mahu memastikan semua peserta BERSIH 3 dibebaskan, sebelum dirinya meninggalkan PULAPOL. Hasrat inilah yang mengheretnya untuk disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawasan dan Tempat Perlindungan 1959, lantas dijatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM1,000.
Satu jamuan ringan diadakan sebagai tanda solidariti bersama Tian Chua, dua hari sebelum beliau tampil di Mahkamah Rayuan. Ia agak pelik kerana tiada orang yang akan memotong kek untuk menyambut pemenjaraan dirinya. Tian Chua sedar apa yang bermain dalam otak kami. Maka dipesannya, janganlah tunjuk muka masam, satu bulan sahaja.
“Bagi mereka yang mahu mengutip derma untuk kempen pilihan raya, hantar bahan warna ke penjara saya,” Tian Chua bergurau, untuk menceriakan suasana kemurungan. Tian sempat menghasilkan “karya seni” dengan kulit telur, sisa nasi ketika membunuh masa sepanjang dua tahun beliau ditahan di Kamunting. Karya-karya seni itu “dilelong” untuk kutipan derma selepas beliau dibebaskan.
Rakan yang berkongsi sel dengannya, Hishamuddin Rais cuba membuat lawak, mungkin untuk menyelindung kesedihannya. “Saya dah semak, menu dalam penjara sama seperti dulu. Tak pernah berubah. Isnin, taugeh ikan masin...” Tian mengambil kesempatan, “Saya sudah merindui ikan masin dalam penjara...”
Tiada seorang pun di kalangan kami bimbang sama ada Tian dapat menyesuaikan diri dalam penjara atau tidak. Tian terkenal sebagai pejuang jalanan yang tegar. Penjara atau bilik lokap memang rumah keduanya. Malah bapanya nampak sudah akur dengan kerenah anaknya, sekadar memesan, “Cepat-cepat kamu masuk dan cepat-cepat kamu keluar”.
Namun, keberanian dan kesediaan Tian Chua untuk dipenjarakan tidak bermaksud beliau wajar dipenjarakan. BERSIH 3 antara titik kemuncak yang mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan UMNO-Barisan Nasional. BERSIH 3 antara pemacu momentum sehingga kita hampir menawan Putrajaya dalam PRU13. Dengan kata lain, BERSIH 3 adalah himpunan dan gerakan yang penting dalam perjuangan pendemokrasian politik negara kita.
Saya masih ingat, adegan yang diceritakan kepada saya oleh seorang sahabat. Ia berlaku selepas Anwar Ibrahim diumumkan menang dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos 2008. Sahabat saya terserempak dengan Tian Chua yang ketika itu berada di pusat pengiraan undi. Lantas sahabat saya memeluk Tian, dengan nada sebak berkata, “Sepuluh tahun”. Pendukung demokrasi setentunya ingat, bagaimana kita mengharungi liku-liku sepuluh tahun untuk sampai ke ambang kemenangan, sejak Reformasi meledak pada September 1998.
Bagaimanapun, lanskap politik tempatan mengalami rombakan besar selepas Pakatan Rakyat gagal menawan Putrajaya pada 5 Mei 2013. Kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mengalami perpecahan, dan paling mengejutkan, Dr.Mahathir Mohamd beralih ke kem pembangkang. Bukan semua langkah yang dicatur, direstui penyokong pembangkang. Dalam isu rundingan antara PKR-PH bersama PAS, kerjasama dengan Dr.Mahathir, dan sebagainya, Tian antara pemimpin yang dipertikaikan.
Saya secara peribadi berbeza pandangan dengan Tian dalam beberapa isu, di mana saya menganggap Tian terlalu optimistik ketika membuat pertimbangan dan penilaiannya. Namun saya terpaksa mengakui bahawa Tian seorang pelaksana kata-katanya. Tian bukan pemimpin yang sekadar mencatur strategi dalam bilik hawa dingin, atau berapi-api ketika berceramah. Tian seorang yang berani untuk berada di barisan hadapan apabila bertembung dengan FRU di jalan raya.
Susuk kurus yang duduk di depan meriam air kimia telah terpahat dalam ingatan kita bersama. Ramai aktivis terutamanya dari kalangan siswa sebenarnya teruja dengan keberanian Tian ketika zaman Reformasi. Lebih-lebih lagi, Tian menganjurkan satu paradigma pemikiran politik yang amat berbeza daripada Lim Kit Siang, yang mewakili pandangan arus perdana masyarakat Cina ketika itu. Ini menjelaskan mengapa PKR menjadi pilihan kebanyakan aktivis siswa Cina selepas gelombang Reformasi mengombak.
Apapun, perbezaan pandangan dengan Tian tidak harus melunturkan semangat dan tekad kita untuk menolak ketidakadilan yang berlaku ke atas Tian. Pemenjaraan Tian adalah tidak wajar. Hakikatnya, kes ini harus dilihat sebagai satu lagi penindasan regim UMNO-BN ke atas gerakan Reformasi. Ia tidak sejajar dengan tuntutan rakyat yang mahukan ruang demokrasi dan kebebasan yang lebih besar selepas PRU12 dan PRU13. Ruang demokrasi harus berkembang 10 tahun selepas tsunami 8 Mac 2008, dan bukannya disempitkan. Justeru itu, rakyat seharusnya bangkit untuk menyatakan protes terhadap pemenjaraan Tian.
Jangan kerana perbezaan pendapat, kita membiarkan rakan seperjuangan Reformasi ditindas. Jangan sesekali kita memperlekehkan mereka yang berada di barisan depan ketika bertempur dengan penguasa. Jika benar Tian ini tidak berprinsip dan tidak bijak percaturan strateginya, mengapa pula kita yang berprinsip dan bijak ini tidak dipenjarakan oleh penguasa?

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.