https://critoxium.com/shop/

Terkini

Shahrizat Patut bertanding Di Pandan

Oleh RAFIZI RAMLI

Saya membaca pelbagai laporan berita mengenai “kepulangan” Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno ke persada politik negara. Tinjauan Malaysiakini di kalangan perwakilan Wanita Umno di PWTC menunjukkan mereka menyokong untuk Dato’ Seri Shahrizat bertanding kembali, dengan sebahagian merasakan skandal NFC tidak mempunyai kesan kepada kredibiliti Dato’ Seri Shahrizat sebagai seorang pemimpin.

Kebetulan petang ini saya akan mengambil tempat sebagai saksi untuk membela diri dalam pertuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA). Saya dituduh membocorkan maklumat sulit perbankan milik suami Dato’ Seri Shahrizat dan syarikat-syarikat milik keluarga mereka. Jika bersalah, saya boleh dihukum denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya sekali. Saya adalah orang pertama yang didakwa di bawah seksyen kerahsiaan BAFIA.

Saya membandingkan riak ucapan Dato’ Seri Shahrizat semalam dengan ucapan legenda “sinsing lengan selak kain” semasa Perhimpunan Wanita Umno tahun 2011 dahulu. Saya sertakan ulang tayang di sini https://www.youtube.com/watch?v=nrIrMwjnfBY untuk menunjukkan betapa gahnya Dato’ Seri Shahrizat dahulu semasa memanggil saya budak, tanggang dan pelbagai kecaman lagi.

Saya bersyukur kerana ada banyak perubahan yang lebih baik sejak dari hari-hari skandal NFC dahulu.

Dato’ Seri Shahrizat nampaknya lebih merendah diri dan tidaklah semegah dahulu. Beliau menyatakan rasa terima kasih dan hutang budi kepada Wanita Umno kerana telah mempertahankan beliau sepanjang skandal tersebut.

Itu satu tindakan yang betul dan patut dialu-alukan. Jika tidak kerana Wanita Umno yang melindungi beliau, kerjaya politik Dato’ Seri Shahrizat sepatutnya telah tamat. Tetapi harga yang dibayar oleh Wanita Umno sebagai pergerakan politik paling kuat dalam Umno adalah terlalu tinggi.

Wanita Umno tidak pernah sembuh dari ketempangan yang berpunca dari skandal NFC yang menyelubungi Dato’ Seri Shahrizat itu. Tidak pernah Wanita Umno dimomok dan digelakkan sedemikian rupa. Tidak pernah Ketua Wanita Umno tidak menjadi menteri kanan dalam Kabinet.

Tidak pernah Wanita Umno tidak berjaya menjadi benteng kempen semasa Umno diserang hebat.
Tidak pernah rakyat tidak tahu siapa sebenarnya barisan pelapis pimpinan Wanita Umno – hakikat bahawa sebahagian besar ahli politik wanita nasional yang dikenali adalah bukan dari kalangan Wanita Umno menunjukkan bagaimana pudarnya pengaruh Wanita Umno hari ini.

Dato’ Seri Shahrizat boleh dianggap bertuah kerana dikelilingi oleh pengikut yang sanggup terjun gaung bersama beliau. Beliau bernasib baik, cuma Wanita Umno sahaja yang malang kerana mempertahankan seorang pemimpin yang memalapkan pengaruhnya.

Begitulah juga nasibnya Dato’ Seri Najib Tun Razak kelak – bernasib baik kerana kini dikelilingi oleh pengikut yang setianya hingga ke gaung, di saat-saat Umno dihukum kerana skandal 1MDB yang menyelubungi beliau.

Dato’ Seri Shahrizat juga boleh senyum kambing (bukan senyum lembu) kerana beliau boleh bertanding di PRU14 kelak sedangkan saya sudah hilang kelayakan. Paling kurang luka lama boleh terubat sedikit kerana beliau masih kekal di persada politik tanah air sedangkan saya direhatkan sekurang-kurangnya 5 tahun (kalau pun tidak 10 tahun).

Sebab itu saya ingin menjemput Dato’ Seri Shahrizat untuk datang bertanding di Pandan untuk mengubat lagi luka lama itu – bukan sahaja “budak mentah” yang mencungkil skandal NFC tiada lagi di persada politik tanah air, malah kerusi Parlimennya juga dirampas oleh Ketua Wanita itu.

Alangkah manisnya pengakhiran begitu buat Dato’ Seri Shahrizat (itu pun kalau dia berani ha3!). Selamat maju jaya Dato’ Seri Shahrizat, berbahagialah kamu.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.