Baitul Maqdis milik kita
Oleh ABDUL HADI AWANG
SEGALA puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam,
selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W, penutup sekalian para Nabi
dan Rasul, imam bagi orang yang bertaqwa dan ketua kepada penyeru para
mujahidin, dan juga ke atas ahli keluarga Baginda S.A.W, para Sahabat,
Tabi’in sehingga ke Hari Kiamat nanti.
Baitul Maqdis adalah ibu negara Islam Palestin, tidak ada
tawar-menawar dan tidak sesekali berundur. Baitul Maqdis adalah isu
agama Islam sebelum menjadi isu negara dan bangsa. Di sinilah kiblat
pertama dan tempat suci ketiga, tanah kelahiran para Nabi, tempat
perjalanan Isra’ Rasulullah S.A.W, dan juga permulaan Mi’raj Baginda
S.A.W sebagai tetamu Allah S.W.T. Tanah suci ini telah dihidupkan oleh
Nabi Ibrahim A.S.
Firman Allah SWT:
﴿مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ٦٧﴾
[آل عمران: 67]
“Bukanlah Nabi Ibrahim itu
seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama
Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai
seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia
pula bukanlah dari orang-orang Musyrik (67)”
[Al-i'Imran: 67]
Walaupun semua agama mengiktiraf dan memberi penghormatan ke atas
Nabi Ibrahim A.S dengan bahasa yang berbeza, sama ada mereka daripada
kalangan ahli kitab atau selainnya, maka Nabi Ibrahim A.S. adalah bapa
kepada sekalian para Nabi.
Firman Allah:
﴿وَمَنْ
يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ وَلَقَدِ
اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ
الصَّالِحِينَ١٣٠ إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ قَالَ أَسْلَمْتُ
لِرَبِّ الْعَالَمِينَ١٣١ وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ
يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ
إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ١٣٢ أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ
يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي
قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ
وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ١٣٣ تِلْكَ أُمَّةٌ
قَدْ خَلَتْ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ وَلَا
تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٣٤﴾
[البقرة: 130-134]
“Tidak ada orang yang
membenci agama Nabi Ibrahim selain daripada orang yang membodohkan
dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi
Nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada Hari Akhirat kelak
tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya) (130)
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri
(kepada-Ku wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri
(tunduk taat) kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian
alam"(131) Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada
anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada
anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah
memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati
melainkan kamu dalam keadaan Islam"(132) (Demikianlah wasiat Nabi
Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang
Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia
berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku
mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu
Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan
kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)"(133) Mereka
itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan)
apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang
kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan)
tentang apa yang telah mereka lakukan(134)”
[Al-Baqarah: 130-134]
Kita beriman bahawa Palestin adalah bumi Islam dan umat Islam dan
bukan untuk orang Arab semata-mata, bahkan jauh sama sekali untuk orang
Yahudi yang dimurkai di atas apa yang mereka lakukan dan apa yang telah
mereka usahakan.
Langkah menjadikan Baitul Maqdis milik Yahudi, bahkan ke atas
Palestin seluruhnya adalah pengkhianatan yang besar terhadap para Nabi,
termasuk para Nabi daripada keturunan Bani Israel. Umat Islam tidak
seharusnya mengiktiraf pengkhianatan dan kezaliman rejim Zionis Yahudi.
Mereka adalah golongan yang mengkhianati para Nabi dan Rasul.
Inilah yang Allah SWT firmankan kepada mereka:
﴿ أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لَا تَهْوَى أَنْفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ٨٧﴾
[البقرة: 87]
“Maka patutkah, tiap-tiap kali
datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak
disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya),
sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian
yang lain pula kamu membunuhnya?(87)”
[Al-Baqarah: 87]
Propaganda Freemason dan Zionis untuk menubuhkan sebuah negara Nabi
Daud dan Nabi Sulaiman A.S adalah satu penipuan, kerana negara Islam
ini tertegak di atas manhaj Taurat dan kenabian. Mereka tidak beramal
dengan kitab Taurat, bahkan menyelewengkannya dan menukarkannya, serta
beriman dengan sebahagiannya dan kufur pula dengan sebahagiannya.
Allah menceritakan kisah mereka:
﴿
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا
جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ
الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ
وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ٨٥ أُولَئِكَ الَّذِينَ
اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ
الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ٨٦﴾
[البقرة: 85-86]
“Sesudah itu maka patutkah
kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan
mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang
yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika
hidup di dunia, dan pada Hari Kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab
seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai
akan apa yang kamu lakukan (85) Mereka itulah orang-orang yang membeli
(mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan
perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan)
akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari
kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (86)”
[Al-Baqarah: 85-86]
Allah mengumpamakan mereka seperti keldai:
﴿مَثَلُ
الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ
الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ
كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ
الظَّالِمِينَ٥﴾
[الجمعة: 5]
“(Sifat-sifat Nabi Muhammad
itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi
tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang
ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab
Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas
itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar
(sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum
yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak
memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim(5)”
[Al-Jumu'ah: 5]
Negara-negara Islam dan majoriti negara lain tidak sepatutnya
berpihak kepada ‘keldai’ ini, termasuklah negara-negara yang besar dan
maju. Celakalah ke atas mereka yang menjadi seperti Zionis daripada
bangsa kita dan bertutur dengan bahasa kita yang berusaha untuk
menggunakan politik normalisasi (memberi pengiktirafan terbuka kepada
Zionis Israel, mengakui kewujudannya dan menjalankan hubungan secara
rasmi mahupun tidak dengan Israel).
Begitulah cara nenek moyang mereka memasuki bumi Palestin atas nama
hijrah dan jihad. Sedangkan kemasukan mereka selepas sesat di padang
pasir selama 40 tahun adalah kerana keengganan mereka untuk berjihad di
jalan Allah S.W.T. Bahkan mereka mempermainkan perintah Allah S.W.T:
﴿وَإِذْ
قُلْنَا ادْخُلُوا هَذِهِ الْقَرْيَةَ فَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ
رَغَدًا وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا وَقُولُوا حِطَّةٌ نَغْفِرْ لَكُمْ
خَطَايَاكُمْ وَسَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ٥٨ فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا
قَوْلًا غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ فَأَنْزَلْنَا عَلَى الَّذِينَ
ظَلَمُوا رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ٥٩﴾
[البقرة: 58-59]
“Dan (kenangkanlah) ketika
Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari
benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang
kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah
diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: 'Ya Allah ampunilah dosa
kami '; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan
tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik"(58) Kemudian
orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah
kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka
Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari
langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka) (59)”
[Al-Baqarah: 58-59]
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
“Kita adalah umat yang diberikan
kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan
selain dari Islam, nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah.”
Seterusnya kesetiaan kepada Pakatan Salib hari ini dan selepas
pelaksanaan Deklarasi Balfour serta pembahagian negara-negara Islam
melalui Perjanjian Sykes-Picot terhadap mereka yang tidak mempunyai hak
selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di tangan kita sendiri di atas
nama Revolusi Agung Arab.
Di samping itu, isu Baitul Maqdis Timur dimainkan adalah untuk
memperkecilkan isu yang besar selepas mereka mengikut dasar politik
normalisasi ini sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga
akhirnya terjerumus ke dalam lubang dhob (perangkap Zionis Israel). Ia
secara beransur-ansur dipinggirkan daripada isu agama Islam dan kemudian
menjadi isu kaum dan nasionalisme Arab, kemudian menjadi isu rakyat
Palestin, dan menjadi isu tanah yang berlaku sebelum perang 1967,
diikuti pula dengan Persidangan Oslo dan Persidangan Madrid, kemudiannya
penyelesaian dua negara, seterusnya dibelah menjadi Baitul Maqdis
Timur, dan akhirnya apa yang dinamakan sebagai perjanjian abad ini.
Rakyat Palestin telah membantah sekeras-kerasnya, begitu juga umat
Islam di seluruh dunia juga menolak perkara ini kecuali mereka yang
menyimpang dan mereka ini seakan tidak wujud. Dan ia mengingatkan saya
tentang apa yang dikatakan oleh Yasser Arafat Abu Ammar rahimahullah
ketika mana Ismail Jan, mantan Menteri Luar Turki datang menawarkan
cadangan supaya menyerahkan Baitul Maqdis kepada Yahudi dengan
menubuhkan kerajaan baru Palestin dan dibayar sejumlah besar wang.
Beliau berkata sambil tersenyum:
“Saya terima dengan syarat anda melaksanakan undian cadangan
tersebut di Turki. Adakah rakyat Turki yang beragama Islam akan
menerimanya atau tidak?”
Lalu Menteri itu pergi dengan keadaan malu. Sepertimana keluarnya
Theodore Herzl, seorang Zionis juga dalam keadaan malu, apabila
tawarannya ditolak oleh Sultan Abdul Hamid rahimahullah, Khalifah Turki
Uthmaniyyah. Akan tetapi perjanjian baru bagi orang Arab hari ini
adalah menyeleweng.
Maka pada hari ini kita berhimpun di bahagian Timur yang paling
hujung, iaitu bahagian paling jauh dari dunia Islam. Sesungguhnya
kesatuan kita ini merapatkan ikatan persaudaraan (ukhuwwah) atas dasar
keimanan dan menjadikan satu barisan sama pada benteng yang sama. Hal
ini kerana tidak ada perbezaan di antara barisan yang pelbagai, mahupun
yang berbilang-bilang ini, dari Baitul Maqdis sehingga penghujung Timur
mahupun penghujung Barat, dan dari Mauritania ke Indonesia dan Malaysia,
kerana kita bersepakat bahawa Baitul Maqdis adalah milik kita.
Biarkan Yahudi tahu bahawa rumah-rumah mereka hanyalah seperti
rumah labah-labah, meskipun disokong oleh kuasa-kuasa besar yang
mempunyai kuasa veto di dalam Majlis Keamanan PBB, yang menyekat
keamanan ke atas saudara-saudara kita di Palestin, dan Kerajaan-kerajaan
yang disusun oleh rejim Zionis untuk memberikan perlindungan ke atas
Israel sehingga berusaha untuk meluluskan permit persenjataan daripada
senjata yang paling kecil kepada senjata yang besar seperti senjata
pemusnah yang diharamkan di peringkat antarabangsa. Akan tetapi
senjata-senjata itu akan musnah berdepan gerakan intifadhah, kanak-kanak
bersenjatakan batu dan barisan Islam yang lahir daripada kebangkitan
Islam yang diberkati.
Kita telah melihat kebangkitan umat Islam di seluruh dunia, di
negara-negara Islam, masyarakat minoriti Islam di pelbagai benua, dari
sebuh lautan ke lautan yang lain, dan dari satu ceruk hingga satu ceruk
yang lain.
Persidangan kita pada hari ini di Malaysia, adalah sebahagian yang
tidak dapat dipisahkan darinya. Saya mengalu-alukan kehadiran kalian
semua ke Asia Tenggara, bumi yang mempunyai jutaan umat Islam. Oleh
kerana itu, barisan kita kepala dan sayapnya di Baitul Maqdis, dan
anggota tubuhnya berada dari Timur ke Barat.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas penyertaan pihak
kerajaan, Perdana Menteri, menteri-menteri, para pegawai, pihak
keselamatan, organisasi-organisasi, persatuan-persatuan, para ilmuan dan
para ulamak, serta hadirin sekalian.
Kami bermohon kepada Allah S.W.T agar menjadikan perhimpunan kita
sebagai satu ikatan di jalan Allah S.W.T, yang lebih baik daripada dunia
dan seisinya. Segala pujian kepada Allah, Tuhan sekalian alam.
“Al-Quds Identiti Ummah”
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Timbalan Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia
Presiden PAS
(IKLAN: Antara buku-buku terakhir Ahmad Lutfi Othman: Catatan Hujung, Pencuri Pilih Anjing, dan Lorong Sunyi Media Bebas. Sesiapa yang belum memilikinya, dan berminat, boleh hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291, dengan harga istimewa, potongan 50%.Stok adalah terhad,dapatkan sebelum kehabisan) Nantikan kemunculan buku terbaru beliau berjudul "Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti.")






Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.