https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dr M: Misteri calon PM Pakatan Harapan akan disingkap Ahad ini

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mengesahkan teka-teki calon calon perdana menteri gabungan pembangkang itu pada pilihan raya umum ke-14 akan terjawab di konvensyen Ahad ini.

Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan ketegasannya semasa menepis semua asakan pemberita tentang calon perdana menteri, yang diuar-uarkan adalah beliau sendiri beberapa hari kebelakangan ini.

“Hari ini bukan masanya untuk kita umumkan. Kita akan buat semua pengumuman termasuk perancangan masa akan datang ketika konvensyen. Jadi, sila datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat PPBM malam tadi.

Mesyuarat malam tadi berlangsung lebih 3 jam dan dihadiri oleh pimpinan tertinggi PPBM, PKR, DAP dan Amanah, termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Dr Mahathir turut menepis pertanyaan pemberita sama ada calon perdana menteri dibincangkan di mesyuarat tadi.

“Saya akan beritahu pada konvensyen nanti sama ada kita bincang atau tidak bincang atau kami hanya senyum sesama kami.”

Beliau juga tidak tahu akan khabar angin kononnya Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyokong pencalonannya atau ura-ura kononnya PKR kemukakan 3 syarat, antaranya membebaskan Anwar dan melantiknya sebagai perdana menteri baharu dalam tempoh 6-12 bulan selepas ambil alih kuasa

“Terima kasih di atas maklumat itu. Saya tak pernah dengar lagi. Sekarang saya ketahui dari anda,” kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada senarai calon pilihan raya gabungan itu sudah dikemukakan kepada majlis tertinggi PH, Dr Mahathir berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian.

“Kita nak tahu bila PRU14,” katanya, dan menambah Pakatan Harapan turut mengambil kira soal persempadanan semula kawasan pilihan raya SPR dalam rundingan kerusi pilihan raya.

“Kita tak tahu sempat atau tidak nak guna persempadanan semula, jadi kita bersedia,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.