https://critoxium.com/shop/

Terkini

Gabungan Sabah yakin jadi penentu pada PRU depan

KOTA KINABALU: Pakatan pembangkang Gabungan Sabah ada peluang cerah untuk menawan kerajaan negeri walaupun tidak mungkin dapat majoriti 2/3, kata Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin.

Meskipun begitu, sikap optimis gabungan itu harus menyebabkan parti pembangkang lain berfikir dua kali, katanya.

“Kita mungkin perlu 40 kerusi untuk mencapai kedudukan itu. Sekiranya Gabungan berjaya menang 25 kerusi, apa yang akan dilakukan parti pembangkang lain?

“Adakah mereka akan bersama kami atau bersama Barisan Nasional dan benarkan kerajaan sedia ada terus memerintah?” katanya.

Adun Klias itu percaya Gabungan akan menjadi penentu siapakah yang akan membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya nanti yang perlu dipanggil sebelum Ogos.

Contohnya, jika BN dan Pakatan Harapan meraih bilangan kerusi sama banyak, kerusi Gabungan pasti akan membantu perjuangan pembangkang.

Oleh itu, lebih baik parti-parti pembangkang perlulah saling bantu membantu.

Beliau menjelaskan majoriti pengundi di Sabah mahu parti tempatan mewakili mereka kerana semangat kenegerian semakin mendapat tempat, seperti yang terbukti di Sarawak.

Gabungan Sabah menyatukan 4 parti Sabah – Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Parti Harapan Rakyat.

Gabungan itu dipengerusikan oleh bekas menteri kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor.

Parti pengasas gabungan itu, Parti Cinta Sabah (PCS) menarik diri pada April untuk mempromosikan suatu gabungan besar yang menyatukan semua parti pembangkang termasuk PH.
Satu lagi parti pembangkang tempatan, Parti Warisan Sabah, memilih jalan sendiri pada pilihan raya nanti.

Harapan Rakyat sebelum ini berkata parti itu akan bertanding tidak kurang daripada 28 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen pada PRU nanti manakala Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee mengumumkan partinya menjangkakan akan bertanding antara 13 hingga 15 kerusi DUN.

Terdapat 60 kerusi DUN dan 25 kerusi Parlimen di Sabah. Dewan Undangan Negeri meluluskan tambahan 13 kerusi DUN baharu tetapi belum diluluskan Parlimen.

Lajim menasihatkan pengundi beragama Islam di Sabah untuk tidak takut pada perubahan atau termakan pembohongan oleh pihak tertentu kononnnya negara akan dikuasai orang bukan Islam sekiranya BN tewas.

“Kita ada ramai pemimpin beragama Islam. Saya dengar ada orang kata kalau Gabungan menang, orang Islam akan kalah tetapi semua itu bohong belaka.

“Kedudukan Islam di negeri dan negara kita sudah jelas. Jadi mahu takut apa lagi?
“Dalam masa yang sama, orang bukan Islam tidak perlu risau. Kita di Sabah sudah lama mengamalkan 1Sabah sebelum 1Malaysia.

“Malah sebelum Malaysia terbentuk, orang kita sentiasa bertolak ansur dan hormat menghormati satu sama lain,” katanya.

Bekas timbalan ketua menteri Sabah itu menambah ahli politik dan pengikut mereka harus henti memainkan isu agama dan kaum untuk meraih undi.

Beliau berikrar sekiranya rakyat memberi peluang kepada Gabungan, kerajaan baharu itu nanti akan berlaku adil pada semua kaum kerana gabungan itu sendiri terdiri daripada pemimpin daripada semua kaum dan agama.

Memetik ayat Al-Quran, Lajim berkata rakyat Sabah bebas mengamalkan agama masing-masing dan beliau khuatir melihat cubaan memainkan isu agama dan kaum di kedua-dua belah pihak.

“Tidak ada satu pun agama yang mengajar penganutnya menjadi jahat. Masing-masing ada garis panduan dan kitab agama tersendiri… jadi mengapa kita sibuk dengan isu seperti itu.

“Perkara seperti itu (penindasan agama) tidak akan berlaku di Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.