https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ulama dalam parti: penasihat atau benteng

Oleh Aqilah Zanuzi

Kewujudan agamawan dalam sesebuah parti seharusnya membantu proses “membetulkan” kebanyakan parti politik yang hilang kerasionalan. Islam sentiasa mengajar umatnya untuk mementingkan rasional dan manfaat rakyat.

Malangnya kebanyakan agamawan yang masuk ke parti politik hanya menghabiskan masa menghalalkan tindakan bosnya dan mencari dalil untuk mengharamkan tindak musuh bosnya. Bukankah agamawan harus bersifat adil dan berani?

Agama semakin murah harganya. Para agamawan dan ulama diangkat di merata-rata tempat sehinggakan dijadikan “askar” dalam mendominasi parti politik di Malaysia. Seakan-akan menjadi taktikal parti politik masa kini, golongan ulama ini dijadikan umpan dalam memancing sokongan rakyat kepada parti politik.

Apabila dikaitkan dengan parti politik, wujud satu fahaman dan pegangan yang perlu dipegang oleh ahli dalam parti tersebut termasuk golongan ulama. Apakah ulama parti ini mempunyai pendirian?

Persoalan tentang akidah rakyat yang ada di Malaysia kini sewenang-wenangnya ditentukan golongan ulama dalam parti politik. Perselisihan yang acap kali berlaku di atas nama agama akan membawa kepada perpecahan kepada umat.

Dengan menjadikan agama modal manifestasi sesebuah parti, golongan ulama ini secara langsung akan dirujuk untuk mencapai sesuatu keputusan. Namun, sejauh manakah golongan ulama ini berupaya mengangkat hujah dalam pertembungan sesuatu isu?

Antara isu yang pernah mendapat penentangan dari umat Islam ialah isu baiah talak 3, undi rosak, isu kepemimpinan bukan Islam, hudud dan banyak lagi. Mereka sering menggunakan ayat Al-Quran dan dogma agama untuk memastikan ahli yang cuba bersuara untuk kembali berpegang kepada pendirian parti dan tidak banyak bersuara.

Ulama seharusnya berperanan secara lebih meluas dalam isu hukum dan taklid yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinan parti. Sosok tubuh yang disandarkan menjadi harapan dalam membela umat secara amnya dan memelihara pembawaan Islam secara khususnya.

Malangnya, kehadiran mereka sekadar menjadi pengampu dan pak turut untuk mendapatkan pangkat di sisi majikan yang lebih tinggi kuasanya.

Jika disingkap kisah ulama terdahulu yang sering diperdengarkan pada kita seperti Hamka, Syed Qutb, dan Hassan Al-Banna. Mereka sanggup mengorbankan diri hingga dipenjarakan kerana mengeluarkan pendapat yang benar tetapi bertentangan dengan pendapat pemimpin ketika itu. Maka ia amat jauh berbeza dengan keadaan ulama kini yang lebih mengutamakan periuk nasi sendiri.

Menjelang pilihan raya umum ke-14, muncul banyak parti baru mencelarukan rakyat. Banyak mengakui membawa pembawaan Islam.

PAS, Umno, Amanah, PKR dan PPBM merupakan parti yang mempunyai penasihat agama Islam dalam kalangan ulama di Malaysia.

Sering wujud perbezaan pandangan isu-isu agama antara parti-parti di atas, persoalannya, parti manakah yang akan menjadi kiblat dan ikutan rakyat?

Kekeliruan yang tidak didatangkan dengan hujah dan hukum Islam yang sebenar akan mendatangkan keburukan buat rakyat kebanyakan. Mudahnya, ia akan menjadi fitnah buat agama itu sendiri.

Ulama dalam parti politik seharusnya dilihat dalam kerangka yang lebih luas dengan fikiran penuh terbuka dan waras. Apa jua yang berlaku dalam politik ia tidak rigid dan tidak statik.

Ulama seharusnya memberi nafas baru dalam pembawaan politik itu sendiri. Malang bagi kita jika ulama yang diangkat kini keutamaannya adalah untuk mengumpul harta dunia.

Semoga ulama yang ada mampu menjadi penyuluh kepada rakyat bukan menindas dengan hukum-hukum yang menjerut rakyat.















Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.