Asam Yang Tawar, Garam Tak Masim
Semua yang hendak bertanding dalam pilihan raya 9 Mei ini berdebar dan resah gelisah. Paling resah dan tidak nyenyak tidur ialah mereka yang berangan-angan hendak jadi calon. Yang sudah dipastikan akan menjadi calon, merasa lega sedikit kerana kedudukan mereka tidak berteka teki lagi.
Yang masih belum dipastikan terus dibaham resah gelisah dan suspen. Lobi melobi diteruskan hingga ke saat akhir. Manakala tok ketua parti pula sudah pasti pening kepala untuk membuat keputusan.
Mereka ditekan serba salah, apa lagi kalau yang berebut itu lebih daripada dua orang untuk satu-satu kawasan.
Di sinilah menguji kekuatan minda semua pihak, mereka yang hendak jadi calon dan juga tok ketua parti. Kebijaksanaan dan ketaatan juga diperlukan pada saat ini.
Jangan pula yang tidak terpilih merajuk, kecewa dan marah. Manakala tok ketua pula membuat pilihan yang tidak telus dan bermain kayu tiga.
Sudah ada dibeberapa tempat berlaku perang sesama sendiri apabila masalah calon gagal diselesaikan dengan baik. Di Kelantan sudah ada rombongan berarak ke rumah tok ketua memperotes kenapa calon mereka di rehatkan.
Manakala di Kedah pula sudah ada yang bertindak keluar parti apabila calon mereka tidak naik. Sebenarnya tindakan itu adalah asam garam dalam politik, asam yang tawar dan garam yang tidak berapa masin.
Kenapa harus melakukan tindakan itu semua? Jika itu berlaku bermakna nawaitu perjuangan sudah salah. Berjuang bukan lagi kerana hendak mendokong cita-cita parti tetapi kerana hendak mendapat keuntungan peribadi. Tugu yang dibina selama ini juga hancur berkecai.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.