https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dedikasi kemenangan reformasi

Oleh

AKAN kah sebuah negara benar-benar diangkat oleh harapan rakyatnya? Wujudkah mana-mana pemimpin yang hidup dengan impian warganya?

Kita pernah melalui jatuh gagal dalam siri demokrasi, amukan 2008 merebut lima negeri, kita bangun semula pada tahun 2013 meski hanya menambah angka undi popular.

Meskipun kini, kita mempunyai pertambahan aktor-aktor politik, muka lama di medan baharu dan tak kurang juga muka baharu di dalam pasukan baharu.

Apa yang pasti, semangat dan harapan rakyat sejak 2008 itulah yang memungkinkan sejarah 9 Mei 2018 ini terlakar.

Nah, siapa yang dapat menyangka hanya setelah dua penggal dua pertiga Barisan Nasional dinafikan, barulah rakyat benar-benar yakin bahawa perubahan mampu dilaksanakan secara tertib dan wibawa.

Yakni tidak ada mana-mana parti yang boleh menjadi pelindung keramat suara rakyat jika tidak digandingkan dengan tekad reformasi.

Tahniah saya ucapkan kepada lebih 12 juta pengundi yang tampil menunaikan hak, mengangkat demokrasi menolak kleptokrasi.

Walau dipaksa mengundi di tengah minggu, para patriot tetap meluru demi kemaslahatan negara yang satu.

Terima kasih kepada hampir 20 peratus pengundi atas pagar, yang akhirnya meyakini dasar perjuangan Pakatan Harapan.

Sekalung penghargaan juga buat lebih lima juta anak muda dan pengundi baharu, yang layak berbangga dengan usaha merencana peralihan mega.

Izinkan saya untuk menyelitkan apresiasi kemenangan ini buat mereka yang tidak sempat untuk bersama-sama dengan kita pada hari ini.

Untuk arwah Tok Yan, yang saya kira wanita-wanita hari ini tampil mengundi demi perubahan kerana meminjam semangat arwah yang begitu cintakan agama, bangsa dan tanah air.

Seterusnya, untuk arwah Abang Rahim - pemandu teksi yang saban hari mengingatkan saya berkait reformasi pengangkutan awam darat.

Meskipun beliau pergi dahulu, semangatnya akan kekal subur mencucuri perjuangan yang baru kami terokai ini.

Reformasi besar-besaran sedang dan akan berlaku dalam pentadbiran negara - didukung pembebasan semua tahanan serta merungkai kesemua pendakwaan politik - khusus buat Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku peneraju perjuangan Reformasi berdekad lamanya.

Pastinya amanah rakyat menjadi tunjang pengikat Pakatan Harapan.

Kami komited meletakkan wakil-wakil rakyat berkemampuan dalam posisi terbaik, demi menggalas cabaran membangunkan semula Malaysia dalam jangka masa terdekat.

Saya memandang serius peringatan yang dikemukakan oleh Tan Sri Rais Yatim berkait jangan sampai kita jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali.

Rakyat telah pun menghukum rejim sebelumnya kerana keengganan mereka untuk melakukan perubahan dan reformasi, kita tidak wajar mengulang silap yang sama dan belajar untuk berperan serta dalam menyediakan solusi untuk semua.

Pakatan Harapan juga bakal melunaskan janji terhadap rakyat berteraskan Agenda Reformasi Malaysia, seperti yang digariskan dalam Buku Harapan.

Baki masa haruslah diperuntukkan sebaiknya untuk memastikan manifesto terlaksana, bukan hanya tertumpu kepada pelunasan administratif semata.

Hari ini, sejarah sedang tertumpu kepada bagaimana kita bakal mewarnai Malaysia yang akan datang.
Pemimpin datang dan pergi, mandat memerintah dipegang individu atau parti, tetapi ijtihad rakyat masih di sini.

Selagi ada suara rakyat yang menuntut reformasi, selagi itulah akan ada pejuang yang membawa cita-cita dan harapan rakyat dalam menggenggam nafas reformasi.

Masa Depan Pastinya Milik Kita, Selamanya Malaysia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.