https://critoxium.com/shop/

Terkini

MTUC seru pekerja sokong Pakatan Harapan

Menurut laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon hari ini menyeru tenaga kerja berjumlah 14 juta orang di negara ini supaya memberikan undi kepada Pakatan Harapan pada PRU14 esok.

Dalam kenyataannya, Solomon dilaporkan berkata, mesej berkenaan dikeluarkan supaya golongan pekerja yang merupakan kunci utama ekonomi negara “tidak disisihkan”.

“Pekerja mempunyai kuasa untuk tidak mengundi kerajaan yang antipekerja dan kleptokratik kerana suara dan kekuatan pekerja sangat berkuasa

“Kami mahukan kerajaan yang memberi penghormatan yang sama terhadap kami dalam perjanjian tiga pihak, agar pekerja mempunyai saham yang sama dalam kekayaan negara,” katanya.

Menurut Solomon, gaji pekerja ketika ini rendah dan golongan itu semakin miskin dalam situasi yang ditekan kenaikan kos hidup serta GST.

“75 pertaus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung mereka leboh dari seminggu tidak bekerja, dan 18 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan hidup di atas garis kemiskinan selepas bersara.

“Kesatuan pekerja diperlukan untuk meningkatkan sosia-ekonomi golongan pekerja, namun di Malaysia, mereka ditekan oleh undang-undang kuno yang tiada tanda akan dimansuhkan.

“Rayuan kami kepada kerajaan untuk mengubah dan memperbaiki undang-undang itu tidak didengar, sebaliknya apabila ia melibatkan kepentingan mereka yang berkuasa, undang-undang seumpamanya diperkenalkan dengan cepat untuk melindungi kepentingan mereka,” kata Solomon menurut laporan berkenaan.

Solomon juga mengulas bahawa tiga juta peluang pekerjaan yang dijanjikan BN dalam manifestonya baru-baru ini tidak jelas kerana tidak menyatakan peluang pekerjaan itu untuk warga tempatan atau pekerja asing dari China.

Tambah Solomon, janji 1.5 juta pekerjaan yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 sehingga kini belum dipenuhi.

Selain itu, Solomon mendakwa kerajaan juga masuk campur dalam pengurusan MTUC menyebabkan perpecahan di dalam kepimpinan kesatuan itu.

“Hak asasi manusia dan pekerja hanya disebutkan dalam silibus pendidikan untuk pelajar, malah graduan universiti tidak tahu hak asas mereka.

“Kekayaan paling besar kita adalah perpaduan dalam negara pelbagai bangsa dan kita tidak boleh menjejaskan kekayaan budaya ini kerana ketamakan kuasa, kemewahan dan bertopengkan revolusi industri 4.0,” katanya menurut Malaysiakini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.