Peralihan kerajaan yang teratur
Oleh A Kadir Jasin
ALHAMDULILLAH, dakwat di jari kebanyakan kita belum terhakis tetapi kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) yang berusia tidak sampai dua minggu telah berjaya melaksanakan beberapa daripada janji-janji pilihan raya dan mendapat keyakinan peneraju ekonomi.
Ujian awal yang berjaya diatasi adalah peralihan kuasa yang aman, tetapi penuh drama pada awal pagi 10 Mei apabila kerajaan Barisan Nasional dihanyutkan oleh tsunami Malaysia.
Pengundian Rabu, 9 Mei yang diberi jolokan “Rakyat Akan Buang Umno” menjadi kenyataan. BN yang diterajui Umno tumbang setelah berkuasa sejak pilihan raya Majlis Perundangan Tanah Melayu pada tahun 1955.
Rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kesombongan yang melampau, ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi, kehilangan kepercayaan terhadap media arus perdana dan tekanan hidup akibat pengurusan ekonomi yang hambar menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat.
Dalam banyak hal, kemunculan PH hanyalah sebagai pemudah cara bagi rakyat jelata melakukan perubahan. Jadi kepemimpinan PH jangan sekali-kali lupa hal ini atau mereka akan ditolak dengan lebih pantas oleh rakyat!
Namun rakyat jelata juga perlu difahamkan bahawa menubuhkan sebuah kerajaan baru bukanlah mudah. Cuma kita wajib berhati-hati agar dalam proses itu PH tidak mungkir janji kepada rakyat.
Seorang diplomat Jepun memberitahu saya, negaranya mengambil masa yang lama untuk menubuhkan kerajaan apabila Parti Liberal Demokrat (LDP) kalah pada tahun 1993 setelah berkuasa sejak ditubuhkan pada tahun 1955
.
Pembangkang yang mengambil alih tidak begitu bersedia sehingga mampu bertahan selama dua tahun sahaja. Walaupun keadaan PH lebih baik, ia wajib berhati-hati dan belajar daripada pengalaman Jepun itu serta negara-negara lain yang bertukar kerajaan setelah lama ditadbir oleh parti asal.
Proses penubuhan Kabinet PH mengambil masa namun hakikat bahawa kerajaan berfungsi dengan serta-merta adalah satu rahmat. Ini kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengalaman yang panjang serta berjaya dalam politik dan pentadbiran negara.
Beberapa tindakan penting seperti meniadakan kutipan GST dengan cara menurunkan kadarnya kepada sifar mulai 1 Jun ini telah dilakukan.
GST tidak boleh dibatalkan langsung kerana langkah itu memerlukan pengesahan Parlimen. Hanya Parlimen boleh memansuhkan Akta GST.
Sebagai kerajaan yang berikrar menjunjung undang-undang, ia tidak boleh sekali-kali bertindak di luar undang-undang dan bertentangan dengan ikrarnya kepada rakyat jelata.
Daripada apa yang saya ketahui, pegawai kanan kerajaan dan eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga mula memberi kerjasama merungkaikan kekusutan yang ditinggalkan oleh kerajaan lama.
Dalam perjumpaan dengan Dr Mahathir dan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (Council of Elders) mereka mula menceritakan banyak hal yang sekian lama menjadi kemusykilan kita.
Ada maklumat yang memberi kelegaan kepada kerunsingan kita, maksudnya ia tidak seburuk atau sesukar yang kita jangkakan. Tetapi ada juga lebih teruk daripada sangkaan kita.
Kita juga sudah mendapat gambaran yang jelas bahawa sesetengah pegawai dan eksekutif ini secara rela hati dan terang-terang bersubahat melakukan perbuatan salah manakala yang lain pula takut untuk menentang atau sekadar menjaga periuk nasi.
Apa yang jelas, pegawai dan eksekutif ini tidak boleh menyalahkan kerajaan yang lalu semata-mata kerana mereka ada pilihan.
Mereka boleh menolak perintah dan arahan yang salah atau meletakkan jawatan. Tetapi ramai memilih untuk berdiam diri dan melakukan yang salah.
Ada yang bukan sahaja bersubahat melakukan kesalahan jenayah malah melibatkan diri secara cergas dan terang-terangan dalam politik kepartian Barisan Nasional (BN).
Saya sendiri terserempak dengan mereka berkempen menggunakan sumber jabatan dan agensi mereka di Langkawi bagi menggagalkan Dr Mahathir yang bertanding di situ.
Mereka ini terpaksalah menanggung beban perbuatan yang bercanggah dengan piagam jawatan masing-masing. Tindakan telah, sedang dan akan diambil ke atas mereka.
Alhamdulillah petanda awal menunjukkan wujud keyakinan dan kebolehpercayaan terhadap kerajaan baharu. Pasaran saham, pasaran kewangan dan pasaran mata wang semuanya stabil malah dalam beberapa hal menjadi lebih kukuh.
Kesimpulannya, rakyat jelata bukan sahaja telah membuat keputusan luar biasa menolak BN yang memerintah sejak merdeka malah mereka juga mengambil risiko memilih PH.
Justeru, PH yang kini menguasai kerajaan pusat dan lapan daripada 13 negeri di Malaysia, mempunyai tugas yang sangat berat untuk membersihkan negara daripada kemungkaran kerajaan BN dan membawa kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.
Di pihak rakyat jelata pula, mereka dan institusi masyarakat wajib memerhati dengan teliti tindak-tanduk kerajaan PH agar ia sentiasa berada di atas landasan yang betul dan menegur jika menyimpang.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.