https://critoxium.com/shop/

Terkini

Cerita tentang tabung

Oleh

SEKARANG sedang heboh cerita tentang tabung. Seperti biasa, wira-wira papan kekunci gigih memberikan analisis masing-masing; ada yang menyokong, ada yang mencemuh, ada yang mengeluarkan kenyataan sarkastik, dan tidak kurang juga yang mengambil pendirian sebagai pendamai.

Ada yang menyamakan penubuhan tabung bagi tujuan mengumpul sumbangan daripada rakyat sebagai tabung “tin Milo” yang merujuk kepada tin Milo kosong yang biasanya digunakan untuk mengutip derma ahli parti mahupun orang ramai di perhimpunan parti politik.

Saya masih ingat, ketika di sekolah rendah, duit belanja sekolah hanya 50 sen tetapi cukup untuk membeli makanan dan minuman malah kadang-kadang ada baki yang boleh dibawa pulang.

Ketika itu, nasi berlauk ayam atau nasi kerabu boleh dibeli dengan 30 sen. Nasi lemak hanya 20 sen manakala air sirap 10 sen dan keropok lekor goreng juga 10 sen.

Duit yang lebih saya akan simpan dalam tabung. Bagi saya, bahaya jika guna tin Milo sebagai tabung kerana ia senang dibuka, maka tabung akan sentiasa “bocor”. Ada juga tabung dalam pelbagai bentuk seperti ayam, tembikai, rumah dan lain-lain, yang diperbuat daripada tanah liat.

Apabila sudah penuh, tabung tersebut akan dipecahkan dan duit dibawa ke bank untuk dimasukkan ke dalam akaun. Tapi, tabung tanah liat ini juga bahaya sebab ia mudah pecah jika terjatuh.

Maka, ketika itu, saya lebih gemar menggunakan tabung buluh. Pokok buluh senang dicari dan senang juga dipotong untuk dijadikan tabung. Bahagian yang paling menyeronokkan bagi saya ketika itu adalah bila kita menggoncang tabung tersebut dan mendengar bunyi duit syiling di dalamnya sambil membayangkan betapa banyaknya duit yang akan ada bila tabung itu penuh.

Bila sudah dipecahkan, syiling-syiling tersebut akan disusun mengikut nilai; lima sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen akan disusun berlonggok-longgok dengan nilai RM1 setiap longgok. Kemudian dikira pula berapa longgok yang ada sebelum dicatat nilai untuk dibawa ke bank.

Kini, anak-anak kita tidak lagi membawa duit syiling ke sekolah. Rata-rata semuanya membawa duit kertas. Ada yang bawa RM3, ada yang bawa RM5 dan ada yang bawa lebih banyak. Meletakkan wang kertas yang dilipat ke dalam tabung tidak sama perasaannya dengan meletakkan duit syiling kerana tiada bunyi yang boleh kita dengar.

Bagi saya, bunyi itulah yang menimbulkan perasaan teruja. Apa-apa pun, kita harus tanamkan sifat suka menabung dalam diri anak-anak kita sejak kecil lagi. Orang kata, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Apabila memperkatakan tentang tabung yang diwujudkan untuk meraih pendanaan ramai (crowdfunding), saya tertarik dengan aktiviti yang dijalankan oleh Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan.

Dalam tempoh tiga tahun bermula Jun 2015, kelab yang dipengerusikan oleh Ir. Meor Shamsir ini telah berkembang dengan pelbagai program seperti Dapur Asnaf, Asnaf Catering, Kebun Asnaf dan Asnaf Maid yang memberi peluang pekerjaan kepada 20 pekerja tetap daripada sekumpulan hampir 100 orang ahli keluarga asnaf yang bergantung harap dengan rezeki yang mereka peroleh melalui Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan.

Bagi Ramadan tahun ini, mereka berjaya mendapatkan tajaan untuk menyediakan 1,000 bungkus nasi bersama lauk dan buah setiap hari sepanjang Ramadan untuk program Iftar Asnaf.

Sebelum itu, di bawah Dapur Asnaf, mereka giat menjalankan program penyediaan makan tengah hari untuk golongan asnaf pada setiap Jumaat. Mereka telah pun menjalankan program tersebut untuk kali ke-137 sebelum disambung dengan program Iftar Asnaf.

Semoga program cakna asnaf seperti ini akan terus mendapat sokongan orang ramai. Untuk mereka yang ingin menyumbang, bolehlah berbuat demikian ke akaun RHB Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (nombor akaun 25301600010751), atau hubungi bendahari Kelab di talian 019-3843788 atau emel rozilaroslan@gmail.com.

Selain program yang dinyatakan di atas, Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan juga mengerakkan Skuad Asnaf yang terdiri daripada pelajar-pelajar praktikal seramai lima hingga 10 orang yang diketuai oleh Kapten Ismawi.

Skuad Asnaf ini akan bergerak mencari golongan asnaf dan membantu mereka sebaik mungkin. Marilah kita sama-sama memberikan sedikit sumbangan ke dalam tabung Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan. Semoga apa jua sumbangan yang diberikan mendapat ganjaran berlipat ganda pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk mengisi tabung akhirat kita.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.