https://critoxium.com/shop/

Terkini

Saari Sungib, tokoh silang budaya

Oleh

PADA tahun 2014 ketika Pakatan Rakyat menuju kehancuran hasil khilaf antara DAP dan Pas tentang isu melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai MB Selangor, Majlis Syura Ulama Pas mengeluarkan fatwa politik berlabel agama bahawa wanita haram dilantik menjadi pemimpin.

Saari Sungib adalah ahli Pas dan juga Adun Hulu Kelang, Selangor. Pas adalah parti ulama. Maka, logik mudahnya ialah Saari wajib taat buta pada setiap keputusan ulama Pas kerana beliau bukan ulama.

Tetapi Khalid Ibnul Walid juga bukan ulama. Beliau dipuji oleh Nabi SAW sebagai Pedang ALLAH dan beliau tegas dengan pendiriannya sendiri. Saari juga bukan ulama dan beliau memahami bahawa Majlis Syura Ulama bukan maksum dan boleh dilawan dengan pedang kebenaran walaupun bakal digelar “barua”!

Untuk mengatakan bahawa Islam mengharamkan Dr Wan Azizah menjadi MB kerana beliau adalah wanita pasti akan mencemarkan maruah Islam sebagai rahmah lil-’aalamiin. Kalau wanita haram menjadi pemimpin bagi rakyat, maka patut haramlah juga menjadi YB kawasan, CEO atau Rektor Universiti Islam!

Islam adalah agama multikultural. Ia bukan agama monokultural. Maka, dengan berpegang pada pedang kebenaran, Saari tegas pada pendiriannya untuk menolak fatwa Majlis Syura Ulama Pas. Beliau utamakan bela Islam daripada bela Pas.

Inilah akhlak agama yang mewarnai perjuangan Saari. Maka, kenyataan Siti Kassim baru-baru ini bahawa pendidikan patut diasingkan dari indoktrinasi agama adalah satu pendapat yang jahil, keliru tentang hakikat agama yang sebenar.

Kekeliruan ini mungkin disebabkan oleh ulama-ulama Pas yang mempolitikkan agama. Menteri Pendidikan Dr Maszlee telah memberi respons tepat bahawa beragama itu bukan satu jenayah.

Kerana pendidikan agamalah Saari memahami bahawa taasub pada ulama adalah haram dalam Islam. Kerana pendidikan agamalah, Saari memilih pendapat yang condong kepada maqasid insaniah daripada fatwa Pas.

Mengapa Saari memilih istilah maqasid insaniah, bukan maqasid syariah? Yang pertama, beliau ingin menonjolkan wacana Islam yang berdasarkan konsensus atau persetujuan umum antara ulama, wakil rakyat dan rakyat multikultural untuk mencapai keputusan terbaik.

Wacana Pas adalah perintah ulama ke atas rakyat setelah syura monokultural berlaku antara ulama dalam majlis mereka sendiri, bukan hasil konsensus-syura antara ulama dan rakyat multikultural.

Islam, sebagai rahmah lil-aalamiin, membawa wacana insaniah, bukan wacana Ayatollah dan Mullah!

Yang kedua, Saari berhujah bahawa konsep takwa bukan sekadar bersolat, haji dan berpuasa sahaja tetapi takwa adalah satu komitmen insaniah untuk memperkasakan komunikasi interkultural atau silang budaya. Saari menjelaskan lagi dengan mengemukakan Surah al-Hujurat ayat 13 sebagai pedoman.

Dalam ayat Quraniyyah ini, kita diberitahu bahawa ALLAH SWT memang sengaja menciptakan pelbagai kabilah dan kaum untuk mereka saling kenal mengenali antara satu sama lain. Dan ALLAH SWT dalam ayat seterusnya berfirman bahawa yang paling mulia antara kita ialah yang paling bertakwa.

Takwa di sini secara langsung dikaitkan dengan amanah untuk keluar dari zon syok sendiri ke zon komunikasi silang budaya.

Syura yang berpaksikan takwa sejati wajib bersifat inklusif terhadap suara-suara multikultural. Syura perlu bersifat konsensus berdasarkan komunikasi silang budaya untuk mencapai keputusan terbaik.

Berdasarkan pemahaman Quraniyyah, interkultural dan insaniah ini, Saari merasakan lebih berhikmah dalam memperkasakan dakwah Islam dengan melabel dirinya sebagai Muslim demokrat.

Perkataan “Demokrat” ini mengiktiraf kepentingan suara rakyat multikultural yang tidak boleh diketepikan dalam majlis syura tertinggi.

Perkataan “Muslim” juga adalah penting kerana agamalah yang menjadi akar kepada sifat demokrat, bukan berpisah. Agama bukan sesuatu yang ditampal pada parti atau agenda politik. Takwa adalah roh agama. Roh takwa ini mengeluarkan seseorang daripada menjadi barua ulama kepada hamba ALLAH SWT.

Seseorang yang benar-benar bertakwa adalah Muslim yang bersifat demokrat iaitu bersifat menghayati suara rakyat multikultural kerana sifat takwanya membuka matanya untuk melihat setiap rakyat sebagai amanah daripada ALLAH SWT yang memiliki hak-hak insaniah yang wajib dijaga.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.