Kerajaan gagal kemuka calon bebas kontroversi
Oleh MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
MASALAH pelantikan Peguam Negara sepatutnya kekal menjadi urusan antara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Perdana Menteri sahaja.
Ia perlu diselesaikan secara tertib
mengikut peruntukan dalam perlembagaan. PM berperanan menasihati
manakala YDPA tetap berkuasa menentusahkan pelantikan yang perlu dibuat.
Amat tidak wajar sekali isu ini sengaja
didedahkan menjadi polemik awam sehingga boleh mencemarkan nama YDPA dan
Majlis Raja-raja yang mempunyai kedudukan dan peranan istimewa yang
diiktiraf oleh perlembagaan dan sejarah.
Lebih teruk lagi, ada pihak sengaja
mengasosiasikan agama dengan sifat zalim, dengan berhujah bahawa lebih
baik memilih orang kafir yang baik daripada orang Islam yang zalim
seolah tiada lagi yang adil dan baik dalam kalangan muslim.
Islam dijadikan kambing hitam
semata-mata mahu merasionalkan pelantikan seseorang yang bukan Islam.
Ini adalah antara bentuk serangan pemikiran tajaan kumpulan liberalisme
dan pluralisme agama yang sedang mengancam umat Islam di negara ini.
Meneliti kuasa dan tanggungjawab Peguam
Negara yang digariskan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, tanpa
menafikan kepakaran Tommy Thomas mengenai undang-undang dan
perlembagaan, saya berpendirian bahawa beliau tidak sesuai menduduki
jawatan itu kerana pemikiran sekular tegar beliau boleh menjejaskan
kedudukan dan peranan Islam yang telah dijamin oleh perlembagaan
Persekutuan sendiri serta bakal membantutkan usaha memartabatkan agenda
Islam yang menjadi teras kedaulatan negara ini.
Kerajaan Persekutuan mempunyai
tanggungjawab menyatukan masyarakat berteraskan asas-asas bernegara yang
telah dipersetujui antaranya kedaulatan Islam dan kedaulatan Raja-raja
dan Sultan.
Adalah amat mengecewakan sekali apabila
Kerajaan di era Malaysia Baharu hari ini gagal mengemukakan calon yang
bebas kontroversi dan tidak berkepentingan untuk menjawat posisi
sepenting itu. Kelihatannya sikap itu sama sahaja dengan kerajaan
sebelum ini yang sering melantik individu bermasalah untuk memegang
jawatan-jawatan penting.
"Sejahtera Bersama Islam"
Ahli Parlimen Kuala Nerus




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.