Sambutan Hari Raya Aidilfitri amat ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana pada masa ini, adik-beradik mahupun sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu akan meraikan bersama ibu bapa, jiran dan rakan-rakan. Maklumlah setiap daripada kita sibuk dengan hal masing-masing. Ada yang duduk nun di utara, tidak kurang juga ada yang menetap di selatan, timur dan barat Malaysia. Malah, ada yang telah bermastautin di luar negara. Semasa Hari Raya Aidilfitrilah, setiap orang akan berusaha pulang ke kampung halaman. Bagi yang me­ngalami sedikit permasalahan dengan keluarga, maka ketika inilah hari terbaik untuk menjernihkan keadaan.

Mengambil kesempatan bulan Syawal yang mulia ini, sebaik mungkin hubungan silaturahim dipereratkan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Tiada manusia yang tidak melakukan kesalahan. 

Tiada hubungan yang tidak pernah dilanda badai. Itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Lebih-lebih lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru sahaja berlalu. Perselisihan faham dalam politik tidak wajar dibawa sehingga boleh mengeruhkan hubungan silaturahim. Ingatlah, kita ada lima tahun ke hadapan sebelum PRU-15. Perlu maju ke hadapan. 

Orang putih kata move on. Usah asyik bertelagah hanya ke­rana politik. Memburuk-burukkan orang lain dengan pelbagai cara sehingga mengaibkan mereka yang berbeza pandangan politik. Bukan itu caranya kita bermasyarakat. Kehidupan manusia bukan hanya politik semata-mata. 

Bagi yang menang dalam PRU-14, ingatlah tanggungjawab besar untuk menjaga agama Islam, umat Islam dan rakyat Malaysia. Tanggungjawab ini perlu dijalankan dengan sebaik mungkin tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Jauh sekali mementingkan sanak saudara dan orang-orang terdekat. Rakyat bukan setakat segelintir golongan atau penyokong parti politik yang mencapai kemenangan. 

Membela dan memperjuangkan nasib rakyat bukan hanya ketika mencapai kemenangan. Masih banyak ruang untuk mem­bela nasib rakyat. Berjuanglah membela nasib rakyat tidak kira masa dan keadaan. Pejuang sejati akan sentiasa membela rakyat meskipun bukan ketika menguasai tampuk kekuasaan. 

Banyak lagi penambahbaikan perlu dilakukan ke atas negara kita. Ingatlah, tiada negara sempurna di dunia ini. Apa yang perlu dilakukan setiap ahli masyarakat menyumbang atas kapasiti keupayaan masing-masing demi melihat Malaysia sentiasa maju, makmur, aman dan damai.

Hari Raya Aidilfitri memberi ruang kepada kita berfikir dan bertindak selepas ini mengikut cara masing-masing untuk membela agama Islam, umatnya, negara dan rakyat Malaysia. Tidak perlulah kita sentiasa berseteru hanya kerana berbeza pendapat politik. Lebih-lebih lagi, bagi penyokong parti masing-masing, PRU-14 sudah berlalu. Beri ruang kepada majoriti rakyat untuk menjalankan kehidupan seharian mereka dengan lebih baik. 

Usahlah tebarkan fitnah dan mengadu domba dalam ma­syarakat. Masyarakat yang maju akan sentiasa berfikiran positif, menyokong satu sama lain dan sentiasa mengekalkan hubungan yang baik sesama sendiri. Kita tidak wajar hanya bersatu dalam keadaan tertentu seperti ketika musim Piala Dunia. 

Perpaduan terutama sesama Islam perlu sentiasa dijaga pada setiap masa. Inilah yang dituntut oleh agama Islam. Banyak kelebihan yang akan dinikmati dengan menjaga perpaduan sesama umat Islam. Misalnya, umat Islam akan dihormati oleh bukan Islam. 

Malah, tanggungjawab, tuga­san dan kerja untuk menegakkan syiar Islam akan lebih mudah apabila umat Islam sentiasa mengekalkan perpaduan mereka pada tahap terbaik. Elakkan perpecahan dan jauhilah mencari kesalahan orang lain. 

Malah, jangan sesekali menjadi anasir untuk merosakkan keharmonian umat Islam. Perlu sentiasa bersiap-siaga memahami dan menangkis pelbagai strategi musuh yang ingin merosakkan agama Islam. Jangan sesekali alpa kerana banyak contoh kelihatan di dunia Islam lain, kealpaan telah menyebabkan umat Islam dihasut untuk bergaduh sesama sendiri.

Ingatlah musuh-musuh Islam tidak akan berasa gembira selagi umat Islam tidak mengikut te­lunjuk mereka yang jauh menyimpang daripada ajaran agama Islam. Sebab itulah dalam konteks ini usahlah sesekali kita bercakaran, bersengketa dan bermusuh-musuhan terutamanya dari segi politik kepartian. 

Tidak perlu kita terlalu fanatik dalam berpolitik kerana apa yang paling utama menegakkan syiar Islam dan menjaga nasib umat Islam Malaysia. Pada masa sama, menjaga hak-hak yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti berkaitan agama Islam, raja-raja Melayu, Melayu dan bumiputera serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Pertahankan dan kukuhkan lagi hak-hak tersebut sebagai pasak dan tunjang utama kenegaraan Malaysia.

Justeru, dalam hal ini, bersatulah wahai umat Islam Malaysia. Bersatulah atas nama agama Islam. 

Para pemimpin Islam tidak kira yang menang mahupun yang kalah dalam PRU-14, bersatulah demi membela agama suci ini dan umat Islam serta rakyat Malaysia. Perbalahan sebelum PRU-14 perlu dilupakan. Usah terbawa-bawa sehingga menjadi sebati dalam kehidupan. Lupakan sengketa, kukuhkan perpaduan! Selamat Hari Raya. Maaf zahir dan batin.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).