DI luar sistem komunis, Umno barangkali antara parti politik paling berjaya di dunia. Setidak-tidaknya, ia pernah berjaya.
Selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum yang lepas, keadaannya tidak lagi begitu.
Umno kini dianggap sebagai sebuah pertubuhan politik yang berkhayal,
yang masih lagi terperangkap dalam masa lampau. Itulah punca kegagalan
epiknya baru-baru ini. Ada suara lantang yang mempersoalkan apa perlunya
parti itu sekarang, sehingga ada yang bertanyakan soal identiti dan
kesahannya.
Sesetengah pemimpin Umno masih menaruh keyakinan pada parti itu
(walaupun kurang meyakinkan). Mereka menggesa ahli-ahli parti supaya
bangkit semula.
Saya ragu bagaimana mereka mahu melakukannya.
Apa perancangannya? Umno hari ini tidak sama lagi dengan Umno tempat nenek moyang kita menumpahkan hidup mereka.
Bagaimana saya menganggapi Umno? Jujurnya, ia cukup menyedihkan.
Bagi saya, bagaimana sesetengah pemimpin Umno boleh melaungkan "Hidup
Melayu" pada setiap perhimpunan agung parti, menunjukkan kepada rakyat
bahawa ini sebuah pertubuhan yang mempertahankan hak Melayu dan Islam,
sedangkan mereka sendiri sangat kotor.
Ajaran agama kita yang manakah yang membenarkan pengkhianatan
terhadap amanah rakyat yang memilih tuan-tuan? Mana nilai "amanah"
tuan-tuan?
Umno bukan sahaja sebuah parti yang korup. Ia mengecewakan rakyat
yang ia janji mahu lindungi sejak penubuhannya. Atas alasan ini, adakah
tuan-tuan terkejut apabila majoriti rakyat Malaysia tidak lagi hormat
pada Umno, termasuk orang Melayu, dan terutamanya poros tengah yang
baru?
Kalau tuan-tuan faham hal ini, tuan-tuan akan faham kenapa BN yang
diterajui Umno kalah dua pertiga majoriti di Parlimen pada PRU12 dan
PRU13, dan kemudiannya, kalah dalam PRU14 dengan cukup memalukan.
Apatah lagi, banyak orang melihat Umno sebagai sebuah tugu, sebuah
parti yang tidak berubah yang bergelumang skandal dan pembohongan.
Populariti parti ini semakin merosot dari tahun ke tahun tetapi pada
2015-2016, dengan pelbagai skandal yang membelit presidennya, Najib
Razak, kredibiliti parti itu makin menjunam.
Selain itu, sesetengah pemimpin Umno dan anak-anak mereka berperangai seolah-olah macam tuan.
Mereka sangat terasing daripada realiti rakyat sehari-hari,
menayangkan fiil elit, dan lupa pada hakikat bahawa kalau bukan dek
pengundi yang memilih dan percaya pada mereka, mereka tidak akan ke
mana.
Budaya dalam Umno sangat jijik sehingga golongan cerdik pandai merasakan mereka tidak lagi dihargai.
Kata-kata "Umno mana suka orang pandai" sudah diulang-ulang beratus
kali, sehingga ia jadi sesuatu yang lumrah. Atas sebab itu, masyarakat
bandar terutamanya melihat Umno sebagai sebuah pertubuhan yang dipenuhi
mereka yang rendah pemikirannya.
Pandangan itu mungkin tidak benar tetapi bolehkah kita salahkan mereka?
Izinkan saya menjelaskannya dengan terus terang. Mereka yang tahu
menjilat ketuanya akan naik dalam parti ini. Budaya membodek itu sudah
merebak bagaikan barah.
Akibatnya? Setiap orang rasa selamat dalam kepompong khayalannya
sendiri. Saya sebenarnya terkejut melihat betapa kita tidak begitu sedar
akan persepsi orang lain terhadap kita sebagai ahli Umno.
Sesetengahnya malah bertanya: "Begitu sekalikah orang bencikan kita?"
Selama ini tuan-tuan buat apa?
Sebahagian daripada kita ahli Umno menganggap seolah-olah negara ini
tiada kedaulatan undang-undang. Ugut mengugut secara fizikal dan emosi
bermahajarela di media sosial atau dalam kehidupan sebenar tanpa ada
apa-apa maknanya lagi. Politik kotor sudah jadi norma, sedangkan tidak
sepatutnya begitu.
Menteri-menteri diingati kerana membuat kenyataan yang tidak
sepatutnya. Kenyataan-kenyataan itu mempunyai banyak sisi yang boleh
dimanipulasi oleh (bekas) pembangkang untuk membangkitkan kemarahan
rakyat. Sama ada kenyataan-kenyataan itu sudah diputar belit atau
sesetengah menteri itu benar-benar percaya bahawa mereka tidak boleh
disentuh, sehingga mereka boleh menghina rakyat sampai begitu sekali.
Masih ingat lagikah logo yang buruk ini?
Bagaimana kita hendak pulih semula?
Memetik kata-kata Bridget Welsh: "Sepanjang dua dekad yang lalu, Umno
membuktikan ia tidak boleh berubah, tidak boleh menangani atau
membanteras trend negatif ini. Malah, keadaan sebaliknya yang berlaku.
Tindak balas terhadap perkembangan yang berlaku menjadikan parti itu
semakin lemah.
"Ketika Umno berdepan krisis demi krisis, reaksinya ialah
mempertahankan Umno daripada musuh dan bukannya meneliti masalah dalaman
parti dengan lebih bermakna. Tindak balas sama juga ternampak sepanjang
tahun 2015-2016 berhubung skandal 1MDB dan kesannya masalah-masalah
dalaman parti jadi semakin meruncing.
"Umno hari ini terperangkap dalam jeratnya sendiri. Ia memusnahkan
dirinya sendiri. Seperti barah, keadaan dalam parti sudah sampai ke
peringkat yang bertambah serius.
"Dalam Umno hampir tiada keazaman politik untuk melakukan perubahan
norma atau struktur yang sewajarnya, yang diperlukan oleh Umno untuk
memenangi semula sokongan majoriti rakyat Malaysia."
Tetapi bagaimana?
Umno perlu menjauhkan diri daripada tabiat lama bersikap seperti
elit. Kita di sini untuk mewakili rakyat. Bukannya untuk rakyat merayu
kita. Pemimpin dan ahli Umno perlu membetulkan perangainya. Kita perlu
terus menilai persepsi rakyat terhadap kita.
Saya tahu bukannya mudah untuk menyenangkan hati semua orang, malah
hampir mustahil. Tetapi apakah rugi untuk memahami kenapa rakyat menolak
kita, atau lebih teruk lagi, bencikan kita, kerana inilah yang akan
diterjemahkan kepada undi semasa pilihan raya.
Umno perlu faham kenapa, sebelum ini, tiada orang berani berkata
benar kepada pemimpin? Adakah kerana mereka pernah mencuba dan dimarahi?
Adakah kerana pemimpin lebih selesa dalam kepompong khayalannya
sendiri? Adakah kerana kebenaran itu pahit dan perit?
Umno harus menarik lebih banyak cerdik pandai dan memberikan mereka
ruang untuk cemerlang. Bukannya dengan mencantas pucuk karier politik
mereka hanya kerana tuan-tuan rasa kurang selesa dengan ilmu dan
kemampuan tuan-tuan sendiri. Saya tahu, semua orang mahu jadi pemberani.
Tetapi hakikatnya: "Keberanian tidak datang daripada kesetiaan,
sebaliknya daripada berkhidmat demi kepentingan Negara dan bangsa.
Keberanian datang daripada bekerja dengan rakyat, bukannya menentang
mereka, daripada bekerjasama dan mengasah bakat mereka, bukannya melayan
mereka sebagai pak turut untuk dibeli, ditipu dan diketepikan.
Keberanian ditunjukkan dalam tindakan berkumpulan, bukannya bertindak
seorang diri."
Umno perlu membanteras politik wang. Daripada apa yang saya faham,
politik wang sudah jadi sesuatu yang lumrah menjelang hujung dekad
1980-an tetapi sejak itu, ia sudah berakar umbi.
Walaupun saya sangat sedar bahawa politik selalu memerlukan wang,
tetapi secara peribadi saya tidak fikir wang adalah alasan untuk
berpolitik. Kepentingan rakyatlah sebabnya orang berpolitik.
Wang dalam
politik harus dikawal selia. Sangat memualkan apabila wang dijadikan
sebab untuk memajukan kepentingan politik.
Mari kita renungkan Umno ini dengan lebih mendalam.
Ada orang yang menggunakan wang untuk kuasa, dan menggunakan kuasa
yang ada untuk mendapatkan lebih banyak wang, yang kemudian membolehkan
mereka semakin mengukuhkan kuasa.
Apakah ini hanya tanggapan saya, atau apakah ini lingkaran setan yang
akhirnya menyebabkan kejelekan seperti politik kotor, rasuah,
ketirisan, penguasaan yang kaya, duit haram dan kemudiannya hilang
keyakinan kepada demokrasi kita. Atau, seperti apa yang berlaku dalam
Umno – hilang keyakinan pada pertubuhan ini.
Bagaimana kalau digubal undang-undang mengawal dana politik? Adakah kita bersedia?
Atau bagaimana dengan idea radikal ini. Buangkan wang daripada
politik Umno dan lihat berapa ramai lagikan orang yang masih berkata
mereka akan berjuang demi hak orang Melayu dan Islam yang menjadi agama
kita. Saya hendak tahu sangat, sebenarnya.
Umno mesti berubah. Kita sekarang dalam era "politik baru".
Memetik Saifuddin Abdullah: "Politik Baru merangkumi empat komponen
utama – integriti politik, inovasi demokrasi, rangka kerja tadbir urus
baru dan pemikiran politik yang progresif.
"Ini sejajar dengan "Realiti Baru" hari ini, yang terdiri daripada
elemen-elemen sejagat (kemajuan ICT dan media sosial, kemunculan
kesedaran baru sosial dan tahap ketiga demokrasi apabila rakyat menuntut
peluasan proses membuat keputusan) dan keadaan setempat (rakyat yang
lebih berpendidikan, urbanisasi, dan kelas menengah yang bertambah).
Politik Baru dan Realiti Baru saling lengkap-melengkapi dan ini memberi
semangat kepada masyarakat untuk mengharungi demokrasi Malaysia yang
matang."
Ini sebabnya kenapa Umno perlu berubah.
Tidak lama dulu, kita sebenarnya mengakui tentang perlunya Umno menyesuaikan diri dan bergerak maju.
Hal itu terkandung dalam ucapan bekas presiden kita.
"Umno mesti berubah. Proses pembaharuan perlu dilakukan supaya
tranformasi dalaman parti kita relevan untuk setiap zaman. Kita lihat
apa yang disebut sebagai realiti baru politik atau politik baru.
"Suasana politik hari ini berbeza daripada ketika Umno lahir pada
dekad 60-an, 70-an, atau pada 80-an dan 90-an. Suasananya sangat berbeza
berbanding persekitaran hari ini. Maknanya, kita mesti mengubah Umno
dari segi pendekatan, kaedah, polisi dan seterusnya.
"Tetapi Umno perlu mengekalkan nilai asasnya yang serupa. Prinsip
perjuangan, matlamat yang sama, tidak harus berubah. Hanya peraturan,
kaedah dan pendekatan."
Jadi, kenapa kita tidak berubah? Kenapa kita begitu khayal dan selesa? Dan sekarang, kita membayar harganya.
Proses reformasi bukan sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata,
tetapi kita harus memulakannya sekarang. Bagaimana kita hendak
melakukannya? Ini sesuatu yang mesti kita semua duduk dan fikirkan
bersama.
Tubuhkan kumpulan pemikir. Semak apakah perubahan institusi dalaman Umno wajar. Buat penyelidikan.
Buat kaji selidik. Jujur dengan diri sendiri. Minta maaf. Berkembang.
Kamus menterjemahkan berkembang sebagai tumbuh dengan beransur-ansur,
atau menjadikan seseorang atau sesuatu berubah dan tumbuh dengan
beransur-ansur.
Pepatah lama "berubah atau mati" berakar dari pemikiran Darwin yang
menyatakan sekiranya sesuatu benda hidup itu tidak menyesuaikan diri
dengan persekitarannya, ia akan mati. Hanya yang tegar akan
melangsungkan hidup, dan mereka itulah yang mengubah diri untuk hidup
dalam persekitaran yang baharu.
Begitulah juga perihalnya dengan Umno. Sama ada kita menyesuaikan diri dan berubah atau, mati.
Kita mesti membuat pilihan. Sekarang.
* Nurul Ashiqin Shamsuri adalah ahli Umno.
Umno – berubah atau diubah
Reviewed by DetikDaily
on
Jun 03, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
KUALA LUMPUR, 8 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dengan memilih Pakatan Harapan (PH) pada...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.