Mengorak langkah 100 Hari Kerajaan Terengganu
Oleh YB DR AZMAN IBRAHIM
KALAU dilihat secara baca sepintas lalu, memang tak ada perkataan pertanian yang ditulis dalam Manifesto PRU14 PAS Terengganu.
Tapi kita perlu baca dan faham apa yang
tersirat bagaimana Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan
Pembangunan Desa berperanan untuk mengisi kemenangan ini serta
bergandingan bersama Portfolio lain dalam melaksanakan manifesto.
Tiga sasaran utama yang melibatkan Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa ialah:
1. Bekalan air percuma 20 meter padu kepada penduduk miskin.
Data yang menyatakan bahawa 100 peratus
penduduk Negeri Terengganu telah menikmati bekalan air bersih sebenarnya
tak tepat. Masih ramai lagi penduduk desa atau luar bandar yang
menggunakan air telaga atau boring air. Sebahagian besar mereka
adalah rakyat miskin. Data Profil Kampung yang sedang dikemaskini perlu
tepat dan menggambarkan situasi sebenar rakyat barulah pelan
pembangunan boleh dirancang dengan baik. Janji untuk memberikan bekalan
air percuma tak akan bermakna apa-apa bagi penduduk miskin yang belum
menikmati kemudahan bekalan air. Di sinilah peranan Portfolio
Pembangunan Desa mengambil tugas bekerjasama dengan Kementerian
Pembangunan Luar Bandar untuk menyelesaikan isu bekalan air luar bandar.
2. Menyediakan 20 ribu peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun.
Kita menyedari bahawa Terengganu
bukanlah sebuah negeri industri. Persaingan untuk mengisi ruang di
sektor industri di negeri ini agak tinggi. Terengganu masih lagi sebuah
negeri pertanian.
Kita masih ada kira-kira 12 ribu hektar
tanah kosong yang terbiar di seluruh negeri. Ramai orang muda belia
Terengganu yang tak ada kerja. Pelbagai kemudahan kursus, khidmat
nasihat teknikal serta kemudahan pembiayaan dan bantuan termasuklah
kemudahan pasaran disediakan oleh pelbagai Jabatan dan Agensi seperti
Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang dan
Lembaga Perindustrian Nenas.
Saya menyedari bahawa belia kita tak
dapat maklumat dan tak diberitahu tentang peluang yang boleh diceburi
dalam bidang pertanian dan asas tani. Kerana itu saya telah mengambil
langkah dalam siri program jelajah turun padang untuk bertemu dan
berdialog secara langsung bersama rakyat di peringkat yang paling bawah
bersama Jabatan dan Agensi berkenaan.
Batu Buruk, Kerteh, Bukit Payong dan
Jabi antara lokasi yang telah diadakan program dialog bersama rakyat.
Ghairah rakyat untuk mengetahui tentang peluang-peluang pertanian untuk
mereka ceburi sangat baik sehinggakan program di Jabi turut dihadiri
oleh petani dari Kuala Terengganu.
Kita perlu membangun dengan cara kita sendiri. Pertanian ialah suatu perniagaan dan sumber rezeki rakyat di samping menjamin 'food security'.
Matlamat awal saya, di bawah Program
Sumber Rezeki Baru (SRB) paling minima setiap Dun mesti melaksanakan
satu projek pertanian berkelompok untuk golongan belia. Orang muda belia
mesti mencurahkan tenaga yang ada. Kerajaan Negeri membantu mana yang
perlu.
3. Mengembalikan tanah rakyat yang dirampas dan membuka permohonan tanah baru.
Tanah yang dirampas selepas 2004 adalah
RTB Tapak Rumah dan RTB Pertanian. Begitu juga permohonan tanah baru
majoritinya adalah tanah tapak rumah dan pertanian.
Tanah pertanian perlu diusahakan dan
ditanam dengan tanaman. Tak dinamakan tanah pertanian jika hanya tumbuh
semak dan lalang. Apa halangan yang menghalang dan apa masalah yang
timbul sehingga rakyat tak dapat bertani adalah kerja kerajaan untuk
mencari jalan penyelesaiannya. Kerana itulah pendekatan turun padang
berjumpa masyarakat petani sangat perlu supaya kita boleh dengar sendiri
suara hati mereka. Rakyat segan nak datang jumpa Pengarah Pertanian
Negeri dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang. Exco Pertanian telah
bawa Pengarah turun jumpa rakyat. Satu halangan birokrasi telah berjaya
diatasi.
Halangan diatasi, peluang diberi dan
bantuan disediakan maka rakyat boleh bekerja dan perlu bekerja. Saya
yakin daripada 20 ribu peluang pekerjaan yang disasarkan dalam masa 4
tahun, sektor pertanian mampu menyumbang sebahagian besar peluang.
Industri padi di Terengganu dengan
kawasan IADA KETARA di Besut sebagai pemain utama meliputi kawasan
seluas kira-kira 5 ribu hektar melibatkan kira-kira 4 ribu orang petani.
Rancangan KETARA Fasa 2 dengan peluasan
kira-kira 5 ribu hektar lagi kawasan penanaman padi di Besut dan Setiu
di bawah KETARA telah diajukan oleh Jabatan Pertanian Negeri kepada
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dari jumlah pengembangan
keluasan tanaman padi ini, beberapa ribu lagi peluang pekerjaan mampu
disediakan.
Infrastruktur pertanian dan asas tani di
Negeri Terengganu yang dibina menggunakan ratusan juta wang rakyat saya
telah kenal pasti banyak yang terbiar dan kosong. Projek Kelapa Matag
Kubang Puyu, Projek Kambing Lembah Kaprima, beberapa Taman Kekal
Pengeluaran Makanan (TKPM), ladang ternakan ayam, bebiri dan lembu tiada
tanaman dan ternakan.
Saya telah mengarahkan Jabatan Pertanian
dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menyediakan Kertas Pelan
Pemulihan Projek-projek Yang Terbiar untuk dimanfaatkan kembali.
Tentunya bila pemulihan ini berjaya, ia boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada beberapa ratus orang rakyat lagi.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembagunan Desa Negeri Terengganu.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.