https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kebebasan bersuara gelanggang melepas geram



Oleh: Rossem

Di mana-mana negara pun di dunia ini bila peralihan kuasa berlaku daripada kerajaan lama kepada kerajaan baru, rakyat akan mengalami kejutan budaya. Lebih-lebih lagi jika kerajaan sebelumnya memerintah terlalu lama, sama ada melalui sistem demokrasi atau junta tentera. Rakyat yang sudah puluhan tahun terbiasa dengan corak, gaya pemerintahan lama, lebih-lebih lagi mereka yang mendapat manfaat langsung daripadanya, bila berganti kerajaan baru akan merasai kekok, kehilangan dahan tempat bergantung, hilang sumber rezeki dan sebagainya.

Kerana itulah banyak negara menghadkan tempoh selama dua penggal sahaja untuk jawatan perdana menteri atau presiden. Pentadbiran Amerika Syarikat membenar hanya dua penggal (10 tahun) untuk setiap presiden, tak boleh terlajak daripada tempoh itu meskipun rakyat menyukainya. Indonesia juga demikian- dua penggal, kemudian berehat, giliran orang lain pula sebagai presiden. Sudah sampai masanya kerajaan baru Malaysia mengambil contoh daripada sistem tersebut. Jawatan perdana menteri tak boleh melebihi dua penggal. Mesti ganti orang lain.

Usia pemerintah orde baru Indonesia – Suharto, 32 tahun. Bermula daripada rampasan kuasa tentera. Sejak itu rakyat kehilangan kebebasan bersuara. Parti politik dibenar hanya tiga parti, Golkar, Parti Persatuan Pembangunan (3P) dan Parti Demokrasi Indonesia (PDI). Parti-parti kecil harus memilih bergabung dengan salah satu daripada tiga parti itu. Dasar perjuangan ditentukan pemerintah.

Majalah, suratkhabar yang mengkritik pemerintah diharamkan. Aktiviti keagamaan diseleksi, dibenar hanya yang cocok dengan selera pemerintah.

Sehingga dicipta lucuan. Kalau sakit gigi, mahu cabut gigi, pergilah ke Singapura. “Kenapa harus ke Singapura?” tanya pesakit. “ Di Indonesia tak benarkan buka mulut”-Bisa dihukum.

Tahun 1998, ( serentak dengan Malaysia) reformasi meltus, rakyat keluar ke jalan raya. Suharto tumbang. Jusuf Habibie mengambilalih sebagai Presiden Republik Indonesia- tak lama, kerusinya diganti Abdulrahman Wahid atau Gus Dur. Kyai mursyid Nahdatul ulama (NU) itu membuka kunci kebebasan bersuara seluas-luasnya kepada rakyat. Mulut rakyat yang terkunci selama 32 tahun terbuka. Rakyat dapat bersuara.

Peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh rakyat. Semua golongan menuntut hak. Sosial, budaya bahkan agama. Kerajaan terpaksa melayani kerana kejayaan menumbangkan orde baru- Suharto didokong majoriti rakyat Indonesia tanpa mengira kelompok. Kesan negatif kepada Islam ialah suburnya liberalisme, pluralisme dan Islam Nusantara. Tumbangnya orde baru, ikut tumbang ialah mereka yang mendapat manfaat dari kerajaan terdahulu dengan cara salah seperti korupsi, penyelewangan, salah guna kuasa dan sebagainya.

Selepas Gus Dur, tiga presiden Indonesia bergantian di tampuk kuasa. Pintu kebebasan bersuara yang dibuka seluas-luasnya Almarhum Gus Dur berterusan, Megawati, Sisilo Bambang Haryiono (SBJ) dan Jokowi tidak menguncinya. Kehidupan rakyat bertambah baik, ekonomi Indonesia terus meningkat dari sebelumnya. Korupsi diperangi habis-habisan. Indonesia muncul sebagai sebuah negara disegani di rantau ini.

Berbalik kepada Malaysia. Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara adalah dari kalangan mereka yang berjuang berslogankan kebebasan bersuara. Sejak zaman reformasi (1978), era siri gelombang BERSIH sehingga sekarang tak berubah. Setiap rakyat punya hak bersuara seperti termaktub dalam perlembagaan Malaysia .

Tak terkecuali, LBGT juga bersuara. Isu tandas pondan pun diviralkan. Pondan ini bukan baru dalam masyarakat kita, zaman dun takala mula sudah wujud, setiap kampung ada pondan. Dipanggil juga mak nyah, bapok, fiqah Islam menyebut kunsa, sekarang popular sebagai LBGT. Dahulu pondan ini tersisih dari masyarakat, kalau bertamu ke rumah, duduk di jemuran atau serambi . Sekarang berubah, dengan semangat zaman, ada pondan berjaya memasuki universiti, jadi peguam. Bila dikalangan mereka ada yang berpendidikan tinggi, tercetuslah idea untuk melantik seorang ketua untuk menjaga kebajikan golongan mereka. Baru-baru ini ketua pondan bertemu Menteri Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa. Cyebertopper pun menulis di facebook; Mujahid Yusof Rawa menteri jaga LBGT?

Terdapat juga dari kalangan agamawan mengutip berita bersumber cybertopper sebagai berita benar, kemudian menyebarkan ”fitnah” itu di majlis-majlis kuliah mereka, bahkan sehingga dijadikan teks khutbah aidil adha oleh musuh-musuh politik kepada kerajaan. Sepatutnya, golongan agamawan datang berjumpa menteri agama. Apa benar Kerajaan Malaysia mengizinkan pondan kahwin sejenis?.

Agamawan dihormati dalam masyarakat, tak wajar mengambil berita yang tak pasti.

Jangan disalahgunakan kebebasab bersuara!

Kebebasan bersuara ini menjadi kejutan kepada ramai rakyat Malaysia yang tidak terbiasa dengan situasi dan kondisi seperti itu. Kelmarin saya bertemu dengan seorang pegawai penyiaran diari Kuala Lumpur. Beliau memberitahu “ kami boleh menyiarkan berita pembangkang disamping berita kerajaan. Tiada arahan daripada Menteri Komunikasi melarangnya. Dahulu, di zaman BN, dibenar tayang hanya berita BN, berita pembangkang boleh, tetapi yang negatif sahaja”.

Facebook dianggap media paling cepat berkembang dan mesejnya sampai ke sasaran dengan pantas. Tulisannya tanpa diedit pihak lain. Penulis itu sendiri menulis, masukkan foto kemudian posting. Mereka menulis apa sahaja terlintas di fikiran . Atas nama kebebasan bersuara, mereka berjaya, berpuas hati dan tampak bergembira tetapi di hati nurani berdukacita.

Saya salute kepada seorang kawan. Menjelang PRU14 kelmarin beliau antara pengkritik paling pedas terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan. Usai PRU14, PH menerajui kerajaan, beliau mendiamkan diri. Tiada lagi tulisan kritikannya. Tiada lagi suara menjelekkan politikus PH.
Saya bertanya beliau, jawabannya “ Saya menghormati pilihan majoriti rakyat Malaysia - undi PH. Saya seorang demokratis tulin”.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.