Lima pilihan untuk atasi PRK tidak perlu
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
BERDASARKAN pemerhatian
saya, memang banyak pihak yang tidak selesa dan marah-marah bila
berlakunya PRK yang disengajakan seperti apa yang berlaku dalam PRK Port
Dickson (PD) ini.
Kata mereka, peletakan jawatan Ahli
Parlimen PD, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 12 September lalu tidak
patut berlaku kerana beliau baru dipilih kira-kira 4 bulan lalu.
Peletakan jawatan beliau ini seolah-olah
mempermainkan amalan demokrasi dengan mensia-siakan mandat yang telah
diberikan oleh pengundi PD kepada beliau dalam PRU14.
Kos perbelanjaan bagi PRK PD yang
dianggarkan berjumlah RM3.6 juta juga disifatkan sebagai satu
pembaziran, apatah lagi di waktu negara sedang mengalami masalah
kewangan.
Walaupun begitu, kemarahan kita ke atas
peletakan jawatan Ahli Parlimen PD ini sepatutnya perlulah dihalakan
kepada sistem pilihan raya yang membenarkan perkara ini dilakukan.
Ini kerana halangan yang dikenakan oleh
sistem yang ada di negara kita ke atas Ahli Parlimen yang sengaja
meletakkan jawatan tanpa sebab yang munasabah sangat ringan.
Halangan yang ada hanyalah bahawa Ahli
Parlimen yang meletakkan jawatan ini hilang kelayakan untuk menjadi Ahli
Parlimen bagi tempoh lima tahun (Perkara 48(6) PP).
Halangan yang lain adalah bahawa
kekosongan luar jangka yang berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh
Parlimen akan terbubar tidak boleh diisi (Perkara 54 PP).
Bagi menghalang PRK yang disengajakan
seperti di PD ini dari terus berlaku pada masa hadapan, terdapat lima
pilihan yang boleh dilakukan untuk mengubah sistem ini.
Pilihan pertama adalah untuk
mewujudkan penalti yang jauh lebih keras kepada mana-mana Ahli Parlimen
yang sengaja meletakkan jawatan tanpa apa-apa sebab yang munasabah.
Untuk itu, Perkara 48(6) PP perlu
dipinda bagi menjadikan Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan ini hilang
kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen untuk tempoh seumur hidup.
Pilihan kedua adalah untuk
memasukkan peruntukan baru ke dalam PP bagi mengenakan denda wang yang
sangat tinggi ke atas Ahli Parlimen yang sengaja meletakkan jawatan.
Invoke Malaysia mengenakan denda RM20
juta kepada calon PRU yang melanggar akujanji dan jumlah ini juga boleh
dikenakan kepada Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan.
Pilihan ketiga adalah untuk
mewujudkan penalti yang keras kepada parti yang mana-mana Ahli
Parlimennya sengaja meletakkan jawatan tanpa apa-apa sebab yang
munasabah.
Untuk itu, perlu dimasukkan peruntukan
baru ke dalam PP bagi menghilangkan kelayakan parti yang Ahli
Parlimennya meletakkan jawatan dari terus bertanding di kerusi sama.
Tempoh hilang kelayakan untuk bertanding
di kerusi sama kepada parti ini bolehlah difikirkan bersama dan ia
boleh juga ditambah dengan denda wang yang sangat tinggi.
Pilihan keempat adalah untuk
menjadikan kekosongan kerusi Parlimen yang berpunca daripada tindakan
Ahli Parlimen meletakkan jawatan sebagai langsung tidak boleh diisi.
Untuk itu, Perkara 54 PP yang menyatakan kekosongan luar jangka dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar tidak boleh diisi perlu dijadikan langsung tidak boleh diisi.
Untuk itu, Perkara 54 PP yang menyatakan kekosongan luar jangka dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar tidak boleh diisi perlu dijadikan langsung tidak boleh diisi.
Pilihan kelima adalah untuk
menjadikan sebarang kekosongan kerusi Parlimen hendaklah diisi oleh
calon yang dikemukakan namanya oleh parti yang diwakili oleh Ahli
Parlimen itu.
Untuk itu, Perkara 54 PP perlu dipinda bagi memansuhkan terus keperluan untuk mengadakan PRK ini dan memadai dengan pilihan pengganti oleh parti yang menang sahaja.
Untuk itu, Perkara 54 PP perlu dipinda bagi memansuhkan terus keperluan untuk mengadakan PRK ini dan memadai dengan pilihan pengganti oleh parti yang menang sahaja.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.