https://critoxium.com/shop/

Terkini

Syed Saddiq: Pengunduran Tok Pa, pengakhiran Umno

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keputusan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti sebagai permulaan kepada pengakhiran parti berkenaan.

Syed Saddiq berkata Mustapa atau lebih dikenali dengan Tok Pa, adalah antara pemimpin Umno yang beliau paling hormati sejak dari dahulu sehingga kini, dan beliau masih mengagumi ketokohan ahli parlimen Jeli itu.

“Saya jadi menteri, saya lihat beliau di Parlimen saya masih menghormati beliau, bukan sahaja pemimpin berpengalaman, malah apa beliau buat untuk negara banyak membantu dan tidak boleh dinafikan.

“Apabila mendengar beliau keluar Umno, saya terkejut dan saya berpendapat ia pengakhiran kepada Umno…kehilangan orang macam beliau (Mustapa) sesuatu yang besar kepada Umno,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi antara 4 pendebat dalam siri debat umum bulanan dikenali “Re:Action-Youth Engaged” anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan di universiti berkenaan, malam tadi.

Tiga yang lain ialah pendebat terbaik Asia 2018, Ahmad Syarifuddin Ahmad Fakhir; pelajar kolej Yayasan United Engineers Malaysia (UEM), Kishen Sivabalan dan pelajar tingkatan 4 Sekolah Seri Puteri Cyberjaya Atiyah Khairuddin.

Mustapa dalam satu kenyataan hari ini mengisytiharkan dirinya keluar dari Umno selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Beliau mengambil keputusan itu setelah melakukan pemerhatian tentang landskap politik Malaysia, hala tuju Umno dan Barisan Nasional serta masa depan negara.

Ditanya sama ada PPBM mengalu-alukan Mustapa menyertai parti itu, Syed Saddiq yang juga menteri Belia dan Sukan berkata beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu akan berlaku.

“Saya berharap Tok Pa bersama kita untuk masa depan rakyat Malaysia kerana beliau pemimpin yang sangat bagus, tapi sekiranya tidak bersama, saya tetap akan hormati beliau,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program debat malam ini, Syed Saddiq menyifatkan program tersebut berjaya kerana perbincangan dan pengucapan awam mengenai isu-isu semasa dibincangkan secara umum oleh golongan muda.

“Saya berpandangan kejayaan hari ini akan disusuli dengan lebih banyak perbincangan formal, akan ada perbincangan yang lebih rancak di media sosial dan juga media arus perdana termasuk televisyen dan radio,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.