Hapus tol: Kerajaan PH hilang kredibiliti
Oleh USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
SAYA bangun bertanya
soalan tambahan hari ini di Dewan Rakyat dalam isu penghapusan tol.
Soalan asal ialah dari Tuan Muslimin bin Yahaya (PH -Sungai Besar) yang
minta Menteri Kerja Raya menyatakan berkaitan West Coast Expressway
(WCE) Banting ke Taiping; berapa tahun konsesi diberikan kepada WCE dan
juga berhubung jumlah pondok kutipan tol yang akan didirikan.
Saya bangkitkan janji PH yang sampai ke
hari ini masih boleh diakses di laman web rasmi mereka bahawa PH memberi
keyakinan akan menghapuskan tol secara berperingkat berdasarkan kontrak
konsesi selepas 100 hari mentadbir Putrajaya.
Seterusnya di dalam laporan yang disiarkan oleh Harian Metro
pada 29 Ogos 2018, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir
berkata Kerajaan PH konsisten melunaskan janji penghapusan tol secara
berperingkat di seluruh negara dengan mengambil pertimbangan kedudukan
kewangan negara. Kali ini beliau menambah, kerajaan tidak boleh
tergesa-gesa selepas mengetahui keadaan sebenar masalah kewangan dan
beban hutang ditinggalkan kerajaan terdahulu. Beliau juga turut
dilaporkan berkata bahawa penghapusan tol bukan di antara janji 100 Hari
dan ia berbeza dengan apa yang disiarkan oleh laman web rasmi PH.
Terkini apabila Perdana Menteri sendiri
di Bali Indonesia pada 12 Oktober 2018 yang lepas menyatakan bahawa
pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat
diwujudkan.
Saya bangkitkan tiga kenyataan berbeza
ini dari sumber pimpinan PH yang jelas menunjukkan hilangnya kredibiliti
PH untuk terus mentadbir negara.
Jawapan Menteri Kerja Raya di Parlimen
hari ini juga yang menyatakan bahawa “kerajaan akan membuat pertimbangan
berasaskan kepada kemampuan kewangan yang sedia ada,” jelas menunjukkan
ketiadaan komitmen di Kerajaan PH untuk menunaikan janji yang telah
ditabur kepada rakyat.
Di pihak PAS, kita telah menyatakan
komitmen ini di dalam manifesto Gagasan Sejahtera bahawa tol wajib
distruktur semula bagi mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan
semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.