Kenapa pantang waktu hamil
Pantang
larang ialah larangan keras terhadap suatu tindakan berdasarkan
kepercayaan bahawa tindakan sedemikian boleh mendatangkan risiko jika
dilakukan.
Setiap etnik sama ada
Melayu, Cina mahupun India mempunyai pantang larang tertentu yang
menghalang wanita mengandung daripada mengambil sesetengah jenis makanan
seperti nanas, kopi, rebung, durian, isi kelapa tua, air tebu, pegaga
dan makanan yang gatal. Ia dikatakan ‘tajam’ dan boleh menyebabkan
keguguran kandungan atau uri melekat pada pangkal rahim.
Hakikatnya,
pemakanan tidak menyebabkan terjadinya keguguran. Punca keguguran
disebabkan ketidaksempurnaan janin atau hormon ibu bermasalah atau
kandungan berlaku di luar rahim.
Justeru,
wanita hamil boleh memakan makanan tadi kerana tiada cukup bukti
mengatakan ia berbahaya kepada ibu mahupun kandungannya. Dari perspektif
perubatan, ada beberapa jenis makanan yang sebaiknya dihindari ketika
hamil kerana boleh menyebabkan jangkitan seperti salmonella,
toksoplasmosis, listeria atau E Coli yang membahayakan bayi dalam
kandungan.
Hindari
daging mentah dan sushi, sashimi, tiram mentah, kerang atau makanan
yang dimasak kurang matang, kerana ia mengandungi toksoplasmosis,
parasit yang menyebabkan jangkitan serius pada janin anda dan juga E.
Coli yang berbahaya bagi ibu hamil.
Telur
separuh masak atau mentah dan hati mungkin sumber salmonella yang boleh
menyebabkan cirit birit. Selain itu, daging barbeku juga harus
dielakkan kerana dikhuatiri tidak dimasak sepenuhnya. Justeru, cuci
piring dan alat masakan yang terkena daging mentah dengan bersih untuk
mengelakkan jangkitan.
Selain itu, keju
seperti brie dan camembert, blueveined, keju daripada susu kambing yang
tidak dipasteur mengandungi listeria. Listeria adalah bakteria yang
mampu menembus plasenta dan menyebabkan jangkitan janin. Listeria
berisiko menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang dan keracunan dalam
darah.
Minuman manis, air berkarbonat
dan makanan tinggi kandungan gula juga tidak digalakkan diambil
berlebihan sewaktu hamil kerana boleh mengakibatkan ibu mendapat
diabetes. Diabetes yang tidak terkawal boleh mengganggu tumbesaran
janin, berat bayi rendah, menyebabkan kecacatan pada janin dan
menyebabkan kelahiran pramatang dan lebih buruk lagi kematian janin
.
Anda
masih boleh menikmati kopi. Bagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil
lebih 200mg kafein sehari iaitu bersamaan dua cawan kopi segera atau
satu cawan kopi serbuk yang dibancuh.
Pengambilan kafein melebihi 200mg
sehari ketika hamil membawa risiko keguguran yang lebih tinggi,
mengurangkan penyerapan nutrisi yang optimum dan menyebabkan berat lahir
bayi rendah.
Bayi lahir dengan berat
lahir rendah mempunyai risiko masalah kesihatan lain ketika membesar.
Had 200mg meliputi semua sumber kafein termasuklah semua jenis teh dan
teh hijau, kola, minuman tenaga, coklat, latte, kapucino dan espreso.
Jika anda perlu mengurangkan pengambilan kafein, bertukar daripada kopi
dibancuh kepada kopi segera kerana kandungan kafeinnya lebih rendah.
Bayi
yang dikandung oleh ibu ketagih kopi boleh menyebabkan pembuluh darah
di dalam tubuh bayi mengecil. Jika pembuluh darah mengecil, akibatnya
bayi akan mengalami aliran darah yang tidak lancar.
Bukan
aliran darah saja yang tidak lancar, oksigen juga tidak diedar dengan
lancar ke seluruh tubuh. Bayi yang kekurangan oksigen dan juga aliran
darah terdedah kepada pelbagai gangguan kesihatan.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.