https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kisah sang bedal pemangsa ganas

Oleh

Buaya atau nama saintifiknya Crocodylinae merupakan spesies reptilia yang mendiami dunia ini sejak jutaan tahun dahulu. Haiwan maging ini hidup di kawasan beriklim tropika di benua Afrika, Asia, Amerika dan Australia. Haiwan bergelar sang bedal itu juga terkenal sebagai pemangsa yang ganas dan mempunyai antara gigitan terkuat di dunia. 

Menurut laman web LiveScience, terdapat 13 spesies buaya pelbagai saiz yang mendiami muka bumi ini, manakala bilangannya dianggarkan kurang daripada 500,000 ekor.

Buaya dikatakan jauh lebih berbahaya daripada ikan jerung. Ahli ekologi hidupan liar Amerika Syarikat, James Perran Ross berkata, reptilia itu dianggarkan membunuh seramai 1,000 orang pada setiap tahun, 100 kali ganda berbanding angka korban jerung sebanyak 10 orang.

Buaya paling besar pernah diukur dan direkodkan sehingga kini ialah buaya air masin yang ditangkap di Filipina.

Buaya tembaga diberi nama Lolong merupakan buaya terbesar di dunia yang pernah ditangkap, demikian menurut rekod dunia diletakkan Guinness World Records. Memiliki panjang 6.17 meter dari muncung hingga ekor, buaya jantan itu adalah seberat 1,075 kilogram.

Dikurung

Lolong ‘diberkas’ di sebatang anak sungai di bandar Bunawan, wilayah Agusan del Sur di Filipina pada tahun 2011.

Bukan senang untuk menangkap buaya raksasa itu yang memerlukan keringat berpuluh-puluh orang termasuk penduduk setempat, kakitangan kerajaan dan pemburu-pemburu buaya, malah pemburuannya juga mengambil masa selama beberapa minggu sebelum reptilia ganas itu akhirnya berjaya ditangkap.

Buaya itu dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 50 tahun.

Lolong disyaki memakan seorang nelayan hilang dan membaham seorang budak perempuan. Tengkorak kanak-kanak itu dijumpai dua tahun sebelum itu.

Buaya itu dinamakan sempena Ernesto ‘Lolong’ Goloran Canete yang merupakan salah seorang pemburu buaya dari Pusat Pemeliharaan Buaya dan Hidupan Liar Palawan. Dia mengetuai operasi memburu reptilia tersebut.

Selepas ditangkap, Lolong diletakkan dalam sebuah kurungan di Gunawan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, aktivis-aktivis bukan kerajaan telah menggesa pentadbiran tempatan supaya melepaskan semula Lolong di tempat dia ditangkap.

Perdebatan berhubung isu itu berakhir apabila Datuk Bandar Bunawan ketika itu, Edwin Elorde dan penduduk tempatan menentang gesaan itu.

Mereka memberi alasan Lolong akan mengancam manusia dan haiwan ternakan jika dibenarkan kembali ke habitat asalnya.

Lolong mati dalam kurungan 18 bulan selepas ia ditangkap pada Februari 2013, dipercayai akibat kegagalan jantung dan jangkitan kulat.

Walaupun Lolong digeruni ekoran pernah membaham manusia, namun, gelaran buaya yang paling ditakuti layak diberikan kepada Gustave.

Difilemkan

Terdapat seekor raksasa ganas di Afrika Timur yang dikatakan kebal daripada peluru senapang. Menurut cerita mulut ke mulut, sang bedal bernama Gustave itu telah membunuh 300 orang sepanjang ‘kerjayanya’ selama berpuluh-puluh tahun sebagai seekor buaya besar.

Gustave bermaharajalela di Sungai Rusizi, tebing utara Tasik Tangayika, Burundi di Afrika Timur.
Buaya itu diceritakan gemar menghendap, melibas dan membaham manusia yang berada di gigi air.
Legenda tempatan mendakwa Gustave sungguh besar dan sanggup membunuh badak air, binatang buas berkulit liat sehinggakan pemburu haram terpaksa menggunakan pelancar roket untuk membunuhnya.

Cerita buaya Sungai Nil itu menjadi buah mulut sejak tahun 1990-an lagi. Spesies buaya air tawar itu tidak pernah dapat ditangkap sekali gus panjang dan berat sebenarnya tidak diketahui.
Menurut sebuah dokumentari yang disiarkan di kaca televisyen pada awal tahun 2000-an, buaya jantan itu dikatakan memiliki panjang lebih 6 meter dan berat lebih satu tan tetapi ada juga pihak yang mendakwa, panjang reptilia ganas itu melebihi 7 meter, manakala usianya menghampiri 100 tahun.

Dianggap buaya paling ganas di dunia, kisah Gustave diadaptasi ke layar perak menerusi filem seram cemas, Primeval pada tahun 2007.

Negara kita juga menyimpan banyak kisah tentang sang bedal, namun, tiada yang lebih popular daripada legenda Bujang Senang. Buaya tembaga itu mengganas di Pulau Borneo atau lebih tepat, Sarawak selama sekurang-kurangnya 30 tahun.

Ada beberapa versi tentang Bujang Senang, termasuk buaya itu dinamakan sempena Sungai Senang, salah satu daripada anak sungai Batang Lupar.

Batang bermaksud sungai besar dalam kalangan penduduk tempatan. Buah mulut menyebut bahawa panjang buaya raksasa itu adalah lebih 7.5 meter, namun, selepas Bujang Senang dibunuh pada tahun 1992, buaya itu diukur memiliki panjang 5.8 meter dan berat satu tan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.