"Kuasa Penembusan China di Asia"
Oleh: Abdul Muein Abadi
1. Faktor 'China’ semakin menjadi-jadi dalam menentukan peralihan kuasa beberapa rejim di Asia. Terbaru, tarikh 24 September 2018 menjadi tarikh keramat buat warga Maldives apabila calon pembangkang Ibrahim Mohamed Solih mengalahkan Presiden Abdulla Yameen yang pro-China. Sebelum ini, faktor China turut memainkan peranan besar dalam pilihan raya Sri Lanka, Pakistan, dan juga Malaysia.
2. Ramai yang tidak menyedari bahawa Maldives – di sebalik reputasinya yang terkenal sebagai destinasi pelancongan – sebenarnya sejak sekian lama telah menjadi sasaran orbit Inisiatif ‘Belt and Road’ Beijing.
3. Secara keseluruhannya, Maldives telah berhutang sekitar US$1.3 bilion dengan China di mana menurut bekas Presiden Maldives yang tinggal dalam buangan, Mohamed Nasheed, 80 peratus daripada keseluruhan hutang Maldives adalah dengan China. Kemuncaknya, Maldives telah mengizinkan tiga kapal perang China untuk berlabuh di Male pada Ogos 2017 sedang dalam masa yang sama, Maldives menolak sama sekali jemputan latihan tentera laut India.
4. Dengan pendedahan bahawa 16 pulau kecil Maldives telah dipajak kepada China serta pelbagai langkah penangkapan besar-besaran kepada ahli politik pembangkang, akibatnya kerajaan Abdulla Yameen ditolak rakyat dalam pilihan raya Presiden 2018.
5. Dalam kes Sri Lanka, campur tangan China cukup jelas; menjelang pilihan raya 2015, Duta China melobi secara terbuka hingga ke padang golf demi memenangkan bekas Presiden Mahinda Rajapaksa yang menandatangani pelbagai pinjaman China bagi pihak Colombo. Antara projek China di Sri Lanka yang mendapat perhatian di seluruh dunia ialah pelabuhan Hambantota yang akhirnya diserahkan kerajaan Sri Lanka kepada China akibat ketidakmampuan untuk membayar hutang pembinaanya.
6. Demi mengekalkan Presiden Rajapaksa di puncak kuasa, New York Times melaporkan bahawa “sekurang-kurangnya $7.6 juta telah dibelanjakan daripada akaun Harbor milik China di Bank Standard Chartered untuk membantu kempen Rajapaksa”. Namun begitu, Rajapaksa telah tewas dalam pilihan raya 2015 tersebut – akibat sentimen anti-China di Sri Lanka. Rajapaksa ‘mewariskan’ hutang sebesar US$8 bilion buat Sri Lanka kepada China.
7. Di Pakistan pula, sejak 2011 China telah memesatkan kehadiran mereka di negara tersebut – antaranya ialah projek Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) yang bernilai sekitar $60 bilion. 13 November 2016 menyaksikan operasi China di Pakistan mula berjalan apabila kargo China dipindahkan dari darat ke Pelabuhan Gwardar untuk dipindahkan melalui kapal maritim ke Afrika dan Asia Barat. Pakistan dilimpahi pelbagai projek infrastruktur dan tenaga yang mampu melonjakkan KDNK mereka.
8. Walau bagaimanapun, segala terma yang sensitif tidak didedahkan oleh kerajaan Pakistan yang terdahulu. Maka apabila pemimpin pembangkang – yang juga merupakan legenda kriket Pakistan – Imran Khan mengambil alih teraju kepimpinan, terdapat desakan supaya segala-galanya didedahkan.
9. Di Asia Tenggara pula, faktor China ini memainkan peranan yang bercampur-campur: positif dan juga negatif. Jika di Malaysia, ketiadaan ketelusan dan analisis kos-faedah buat negara sewaktu kerajaan BN yang terdahulu menandatangani MoU dengan China telah mengakibatkan persepsi negatif hingga meruntuhkan BN, di Kemboja pula China telah menjadi ‘sekutu’ penting dalam kempen pilihan raya 2018 buat Perdana Menteri Hun Sen.
10. Pelaburan modal China di Kemboja berjumlah US$1.08 bilion pada 2016 sahaja. Duta China di Kemboja bahkan turun menyertai majlis kempen pilihan raya Hun Sen di Phnom Penh. Malah ketika kempen sedang berlangsung, China mengumumkan tambahan pinjaman $259 juta kepada Kemboja.
11. Kesemua kes pengaruh China di Malaysia, Maldives, Pakistan, Sri Lanka, dan Kemboja ini membuktikan satu perkara: tesis ‘Sharp Power’ atau ‘Kuasa Penembusan’ China seperti mana yang didakwa The Economist dan sarjana Joseph Nye semakin berleluasa di Asia.
12. ‘Kuasa Penembusan’ bermaksud campur tangan asing secara halus dengan menggunakan pinjaman dan modal sebagai ‘senjata geopolitik’. ‘Kuasa Penembusan’ ini menyasarkan negara dengan pemimpin yang tidak telus dan bermasalah dari segi tadbir urus.
13. Dunia sudah serik dengan ‘Hard Power’ dan ‘Soft Power’ Amerika Syarikat – tidak perlu ditambah lagi dengan ‘Sharp Power’ China ini.
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.