https://critoxium.com/shop/

Terkini

Malaysia Membaca: 10 buku pilihan


6 Ogos lalu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memulakan sesuatu yang bagus di laman sosial, iaitu menyenaraikan 10 buah buku pilihannya, dan mengesyorkan supaya orang lain juga berbuat demikian.

“Saya berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca tahun 2030,” katanya. “Bererti, rakyat Malaysia rakyat paling banyak membaca pada tahun 2030. Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang tinggi.”

Katanya lagi, “Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berkongsi 10 buku kegemaran mereka daripada pelbagai genre dengan tagar (hashtag) #MalaysiaMembaca. Saya mulakan dahulu dengan diri saya.” Lalu dia pun menyenaraikan 10 buah buku pilihannya, iaitu:
               
1) ‘The Alchemist’ karya Paolo Coelho; 2) ‘Trust: The Social Virtue and the Creation of Prosperity’ karya Francis Fukuyama; 3) ‘Manuklon’ karya Rahmat Haroun; 4) ‘Intelektual Masyarakat Membangun’ karya Syed Hussein Alattas; 5) ‘Rasuah’ karya Syed Hussein Alattas; 6) ‘Sejarah Umat Islam’ karya Hamka; 7) ‘Al Tawhid: Its Implications for Thought and Life’ karya Ismail Raji al-Faruqi; 8) ‘Al-Munqidh min al-Dhalal’ karya Al-Ghazali; 9) ‘Al-Kimiyya al-Sa’adah’ karya Al-Ghazali; dan 10) ‘Hikmah Hati’ karya Maszlee Malik.

Berikutan itu ramailah juga orang yang telah menyambut langkah yang dimulakan oleh Dr Maszlee itu. Saya pun telah menyenaraikan 10 buah buku-buku pilihan saya, iaitu:

1. Tafsir Al-Azhar karangan Hamka (10 jilid): Ini buku yang paling banyak saya rujuk apabila mahu memahami al-Quran, dan saya memang selalu perlu merujuk dan memahami al-Quran. Ada beberapa Tafsir yang lain juga yang saya rujuk seperti Tafsir Ibnu Kathir, Fi Dhilalil-Quran (Syed Qutub), Towards Understanding the Quran (Sayid Abul A’la Mawdudi), Al-Quranu ‘l-Karim terjemahan Muhammad Uthman El-Muhammady dari karya Abdullah Yusuf Ali, Tafsir Al-Maraghi dan lain-lain, namun saya lebih selesa merujuk pada Tafsir Hamka.

2. Surah Yusuf (Al-Quran): Surah Yusuf adalah satu bab di dalam al-Quran, yang boleh berdiri sendiri sebagai sebuah buku/cerita. Dan banyak pula buku-buku ditulis mengenai surah Yusuf ini. Saya suka membaca surah ini dan sentiasa berusaha untuk memahami hikmah-hikmah di sebalik penceritaan Allah ini. Tak habis-habis. Antara buku yang mengupas surah ini ialah ‘The Prophet Joseph in the Qur’an, the Bible, and History’ oleh Louay Fatoohi, dan ‘Nabi Yusuf Dalam Al-Quran’ oleh ‘Aidh Abdullah Al-Qarni. Dalam proses itu saya juga telah menulis naskhah teater dari surah ini, ‘Teater Nabi Yusuf’, dan beberapa buah puisi.

3. Menghidupkan Kembali Pemikiran Agama Dalam Islam, oleh Muhammad Iqbal: (Saya membaca terjemahannya ke bahasa Indonesia). Buku yang kebetulan saya membelinya sewaktu masih remaja, ketika di sekolah menengah Maahad Mahmud, Alor Setar, dan membacanya dengan minat hingga ia mempengaruhi dan turut membentuk pemikiran saya jadi kritikal terhadap fahaman Islam yang diajar di sekolah dan kolej waktu itu. Barangkali ia juga turut mempengaruhi pemikiran dalam karya-karya teater saya.

4. Siddhartha oleh Hermann Hesse: Satu-satunya novel yang saya mengulangi membacanya kerana beberapa sebab. Naratifnya sangat indah. Menceritakan kembara jiwa dan raga seorang lelaki bernama Siddhartha mencari makna dan kebahagiaan hidup; menempuh pelbagai pengalaman indah namun gagal mengisi makna hidupnya, sehinggalah dia bertemu seorang penambang yang kerjanya membawa orang menyeberangi sungai di sebuah hutan – di situ dia menemui apa yang dicarinya. (Terjemahan Melayu yang diterbitkan ITBM sangat baik).

5. Al-Munqidz minal-Dholal oleh Al-Ghazali: Saya ada beberapa versi terjemahan Melayu dan Indonesia dari buku kecil tetapi sangat penting karya pemikir Islam tersohor abad ke-12 ini. Al-Ghazali menceritakan sendiri pengalaman dalam beberapa episod hidupnya saat dia mengalami krisis dalaman diri kerana mencari erti kebenaran. Hendak mengenal Al-Ghazali buku ini adalah wajib. Ia juga telah memberi semacam panduan bagi kehidupan saya. (Dr Maszlee juga suka buku ini).

6. Puisi-Puisi Pilihan Usman Awang: Buku puisi yang selalu diambil dari rak untuk dibaca dan dirujuk. Ada banyak sebab mengapa saya selalu merujuk puisi-puisi karya Sasterawan Negara Usman Awang dalam buku ini. Kehidupan dan aktiviti-aktiviti seni-budaya yang selalu dibuat oleh saya dan rakan-rakan sekeliling, selalu ada hubungan dengan puisi-puisi Usman. Betapa Usman telah mengisi puisi dengan kehidupan yang dihayatinya. Maka puisi-puisi Usman pun terus hidup bersama masyarakat merentasi zaman.

7. Al-Amin karya A.Samad Said: Saya cenderong mengatakan bahawa Al-Amin adalah sebuah karya besar dalam dunia perpuisian kita. Ia selalu ada di rak buku di sebelah meja kerja dan selalu dilihat dengan hasrat hendak membacanya dan membacanya lagi untuk melihat keindahan puisi, sambil menggali khazanah pemikiran di sekitar kehidupan Rasulullah (saw) yang telah dihasilkan oleh pengarang besar dan pemikir bangsa kita bernama A Samad Said. Saya tahu, ia belum dibicarakan seperti yang selayaknya. (Dr Maszlee, marilah kita angkat karya besar ini!).

8. The Great War for Civilisation: the Conquest of the Middle East oleh Robert Fisk: Pengalaman seorang wartawan yang mengikuti perang di Timur Tengah selama 30 tahun. Barangkali tidak ada orang yang lebih arif mengenai perang dalam zaman moden ini, seperti Robert Fisk. Dia memanggil dirinya ‘soldier of journalism’ yang ‘duduk menulis sejarah di sebelah mulut meriam’. Gaya penulisannya lancar. Barangkali kerana dia berani berdiri di atas kebenaran. Membacanya seperti membaca novel. Maka saya bertanya: bilakah kita akan ada seorang wartawan Melayu sehebat Robert Fisk?

9. SHIT karya Shahnon Ahmad: Ada orang anggap ini karya terburuk Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang tak perlu dibaca. Ada yang kata haram membacanya. Tetapi saya tetap mengatakan ia sebuah karya sastera kita yang penting. Betapa seorang seniman berbakat besar menceritakan suatu krisis hebat yang jijik yang dialami bangsanya, ketika senman-seniman lain enggan melihatnya dan enggan menerima kebenaran dalam peristiwa paling kotor dalam sejarah suatu bangsa itu. SHIT turut memperbaiki definisi seni dan sastera.

10. Mou Sumi karya Ahkarim: Ini kumpulan cerpen yang saya suka baca, dan ualangi membaca. Ada banyak karya yang bersaing dalam kepala saya untuk ditempatkan di tempat akhir dalam senarai ini. Karya-karya SN Anwar Ridhwan, Azizi Hj Abdullah, SM Zakir, Irwan Abu Bakar dan juga Fahmi Mustaffa. Tetapi kerana kebetulan beberapa gambaran dalam beberapa cerpen dalam kumpulan ini memang melekat secara positif dalam ingatan saya, maka saya memilih buku ini. Ahkarim belum banyak menghasilkan karya, dan dia bermula agak lewat, tetapi cerpen-cerpennya memberi sesuatu kepada kita apabila membaca.

Saya harap inisiatif Menteri Pendidikan yang agak lain sedikit ini, yang kita pun tak terfikir dia akan buat, akan memberi manfaat kepada masyarakat seni dan sastera kita. Siapa sangka novel ‘Manuklon’ itu menjadi pilihan beliau, di tempat ketiga pula!

Saya sempat membaca beberapa senarai yang dikemukakan melalui fesbuk, dan dapati sangat menarik. Maka saya harap pihak Dr Maszlee akan membukukan senarai-senarai yang dikemukakan oleh ramai pencinta buku, yang menyahut inisiatifnya ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.