Menteri jangan mudah 'sentap'
Oleh
HARI
ini ,117 hari pembentukan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan sejak
mengangkat sumpah jawatan pada 2 Julai lalu. Sudah tentu rakyat secara
keseluruhannya masih menilai keupayaan serta prestasi semua menteri yang
dilantik. Tidak dinafikan ada yang perform dan ada yang masih
mencari-cari rentak.
Yalah sebagai Kabinet baharu
lebih-lebih lagi dalam kalangan menteri yang masih 'hijau’ dalam
politik pasti mereka memerlukan masa untuk menghadam
kementerian-kementerian yang diterajui. Apatah lagi jika melibatkan
kementerian-kementerian penting dan kritikal.
Selain rakyat umum antara pihak yang sering
menilai keupayaan seseorang menteri itu ialah pihak media atau secara
khususnya para wartawan. Golongan ini adalah pihak yang sering berurusan
dengan pak menteri sama ada untuk membuat liputan sesebuah acara atau
jika ada sidang media.
Kalam terpanggil
untuk membincangkan isu tersebut pada tulisan minggu ini kerana terdapat
beberapa menteri yang dilihat cuba berkonfrontasi dengan pihak media.
Bak
kata Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, orang politik
termasuk mereka yang bertaraf menteri, usah bergaduh dengan media.
Kalam amat bersetuju dengan kenyataan bekas timbalan menteri ini. Bagi
Kalam tiada gunanya sesiapa pun termasuk menteri bergaduh dengan pihak
media.
Mungkin pak menteri ini tidak tahu
peranan media sebagai jambatan antara mereka dengan rakyat. Mahu tidak
mahu mereka perlu berbaik-baik dengan pihak media agar segala maklumat
dapat disampaikan kepada rakyat dengan mudah.
Yang
pasti, setiap pak menteri perlu berjiwa kental. Mereka juga jangan
mudah 'sentap' dan jangan mudah melenting. Kalau tidak, usah jadi
menteri. Sebaliknya mereka perlu sedia menjawab apa-apa soalan daripada
pihak media walaupun `panas’ dan bersifat kontroversi.
Di
sinilah peranan pegawai-pegawai menteri seperti Setiausaha Akhbar untuk
memberi sebarang input atau maklumat berhubung isu-isu terkini
berkaitan kementerian. Mereka wajib tahu isu-isu terkini yang dikaitkan
dengan bos atau kementerian masing-masing. Jangan biarkan bos mereka
termangu-mangu kerana tiada maklumat.
Pak
menteri ini juga perlu sedar terdapat soalan-soalan yang ditanya oleh
para wartawan ada hubung kaitnya dengan kepentingan rakyat walaupun
sesetengah pihak melihat isu itu remeh. Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad adalah pemimpin yang bijak menangani soalan media, pada
masa sama jawapan yang diberikan paling mudah untuk dibuat berita.
Kalam
berharap anggota Kabinet yang lain khususnya yang masih baharu dalam
politik perlu mencontohi sikap profesional yang ditunjukkan oleh Perdana
Menteri semasa diadakan sidang media. Jangan anggap diri kita terlalu
hebat dan bijak.
Seperkara lagi tentang
kepentingan mana-mana menteri menjaga setiap perkataan dan perbuatan.
Selepas mengangkat sumpah sebagai menteri mereka bukan lagi orang awam.
Oleh itu jangan sesekali post gambar atau rakaman video dalam media
sosial yang boleh mencetuskan kontroversi seperti gambar tidak berbaju
melibatkan seorang menteri muda.
Bagi Kalam,
menteri berkenaan tidak boleh salahkan sesiapa kerana beliau sendiri
yang memuat naik gambar tersebut sehingga menerima kecaman. Alangkah
baiknya jika menteri terbabit fikir sebelum bertindak.
Renung-renungkanlah.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.