Teladani pimpinan Jokowi
Oleh
DALAM
dunia percaturan geopolitik antarabangsa, apa yang tercetus secara
tersurat tidak semestinya menggambarkan senario sebenar kerana lazimnya
aktiviti yang berlaku di sebalik tabir adalah naratif yang sepatutnya
diambil kira. Sebab itu juga setiap keputusan yang bersangkut paut
dengan dasar luar sesebuah negara perlu dibuat setelah mengambil kira
isyarat yang tersirat melebihi daripada yang tersurat.
Sebab itu juga kemelut pembunuhan
Jamal Khashoggi telah membuahkan keadaan serba salah dalam kalangan
pemimpin negara Islam kerana secara zahirnya kelihatan tercetus
pertembungan antara dua negara Islam iaitu Turki dan Arab Saudi.
Bukannya pemimpin negara Islam lain tidak sensitif dengan isu ini tetapi
apa yang kelihatan secara tersurat sebenarnya tidak menggambarkan
senario yang sebenar-benarnya.
Apabila Presiden Turki, Recep Erdogan memilih
Selasa lepas untuk menghebahkan kepada dunia secara terperinci mengenai
pembunuhan tersebut, pemilihan hari tersebut tidak dianggap berlaku
secara kebetulan kerana pada waktu yang sama bermulanya Persidangan
Pelaburan Riyadh yang dianggap sebagai pemangkin kepada kejayaan Visi
2030 ilham Putera Mahkota, Mohammed Salman. Walaupun tiada bukti baharu
disampaikan Erdogan, tetapi kesan terhadap Riyadh begitu dalam sekali.
Perlu
diungkitkan apabila pengasas kumpulan Hamas, Sheikh Ahmed Yassin
dibunuh secara terancang oleh tentera Israel pada 2004, reaksi dunia
terhadap tindakan kejam Tel Aviv tidaklah sekeras seperti mana yang
dikenakan terhadap Riyadh ketika ini. Tetapi pemimpin dunia Islam secara
sepadu bersama-sama dengan rakyat Palestin mengutuk Israel walaupun
reaksi pemimpin dunia bukan Islam agak hambar.
Begitu
juga ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan
keputusan memindahkan pejabat Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke
Baitulmuqaddis Disember lalu, kesepaduan pemimpin dunia Islam begitu
menyerlah sekali mempertahankan hak rakyat Palestin. Kesatuan ini telah
mengekang negara lain daripada mengikuti jejak AS yang setakat kini
hanya Guatemala yang telah memindahkan pejabat kedutaan mereka ke
Baitulmuqaddis.
Beberapa hari lepas, muafakat
pemimpin negara Islam sekali lagi tercabar apabila Perdana Menteri
Australia yang baru sahaja memegang jawatan iaitu Scott Morrison telah
mencadangkan supaya Kedutaan Australia juga dipindahkan ke
Baitulmuqaddis. Ketika Trump membuat keputusan Disember lalu, Canberra
begitu berkeras tidak mahu mengikuti jejak Washington kerana berpendapat
penyelesaian dua negara tidak mampu dicapai jika status Baitulmuqaddis
dibolot Israel sepenuhnya.
Jika Trump pada
awalnya kelihatan seolah-olah menyebelahi Riyadh dalam kes Khashoggi
tetapi akhirnya terpaksa mengenakan tekanan, ia adalah kerana
kepentingan politik beliau yang bakal diuji pada pemilihan separuh
penggal dua minggu lagi. Begitu juga dengan cadangan Morrison itu ada
kena mengena dengan kepentingan politik tempatan Australia yang mana
gabungan parti beliau hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di Parlimen.
Dalam
kedua-dua kes iaitu pembunuhan Khashoggi dan cadangan Morrison,
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) telah mempamerkan gaya pemimpin
negara Islam yang perlu dicontohi kerana ketegasan yang diperlihatkan.
Apabila cadangan Morrison diumumkan, Jakarta adalah antara negara Islam
terawal membantah niat Canberra itu. Malah Jokowi bagaikan telah
mengugut Canberra bahawa Jakarta akan mengkaji semula hubungan dua hala
jika Morrison bertegas dengan cadangan tersebut. Jokowi turut
membayangkan persefahaman perdagangan antara kedua-dua negara yang
sepatutnya dimeterai hujung tahun ini mungkin akan terbantut oleh kerana
isu Baitulmuqaddis.
Paling menarik ketika
pertemuan Jokowi dengan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir yang
melakukan lawatan ke Indonesia Isnin lepas, Jokowi telah membuat gesaan
supaya siasatan terhadap kes pembunuhan itu dilakukan secara telus dan
adil.
Perlu ditekankan hubungan Jakarta dan
Riyadh adalah amat akrab sebagaimana juga hubungan Kuala Lumpur dan
Riyadh. Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke
Malaysia dan selepas itu ke Indonesia pada Februari 2017 adalah
manifestasi hubungan istimewa ketiga-tiga negara Islam ini.
Teladan
kepimpinan yang dipamerkan oleh Jokowi ketika berhadapan kedua-dua kes
yang melibatkan Khashoggi dan Baitulmuqaddis adalah manifestasi pemimpin
yang prihatin dengan geopolitik dunia Islam yang perlu diambil iktibar
oleh pemimpin negara Islam lain terutama sekali dari rantau Arab. Amat
jelas Jokowi bertindak di atas kepentingan negara Islam dan bukan untuk
meraih manfaat politik tempatan.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.