Tak hormat pengundi kalau tidak laksana manifesto
SHAH ALAM - Tidak menunaikan janji dalam manifesto menunjukkan sikap tidak hormat ahli politik kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada mereka.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow mencadangkan setiap manifesto parti 'diikat' dengan undang–undang supaya tindakan boleh diambil kepada pihak yang tidak memenuhi manifesto.
Menurutnya, sudah sampai masanya langkah baharu diambil bagi memastikan setiap manifesto pilihan raya dipenuhi.
Beliau berkata, ahli atau parti politik yang membuat janji perlu bertanggungjawab.
“Menyedihkan bila janji dibuat dalam manifesto pilihanraya tak ditepati selepas menang pilihanraya.
“Tindakan ini memperlihatkan sikap tak hormat kepada pengundi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seperti diketahui manifesto pilihan raya adalah dokumen bertulis mengandungi janji bakal dilaksana jika menang dalam proses pilihanraya.
"Manifesto memudahkan rakyat faham rancangan yang bakal dilaksanakan.
“Namun malang untuk diketahui, status manifesto hanya janji manis yang tidak terikat dengan undang–undang. Ini bermakna, ahli atau parti politik yang buat manisfesto ini tidak perlu tunaikan janji selepas menang dan perintah negara.
“Jika kita masih ingat pada tahun 2013 yang lalu, mahkamah rayuan memutuskan sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah. Dalam kes terbabit, hakim bersetuju hujahan manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang - undang,” katanya.
Mengambil kira hal tersebut, Muzaffar berkata, proses penambahbaikan perlu dilaksana bagi melindungi rakyat khususnya pengundi daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab apabila tiba pilihan raya.
“Mahkamah diminta melihat semula status undang-undang mengenai manisfesto mana–mana ahli atau parti politik,” katanya.
Menurutnya lagi, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga disaran mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto ini untuk diberikan satu kuasa undang undang terhadapnya.
Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Piliharaya 1954 [Akta 5] bagi menyelesaikan perkara ini demi melindungi pengundi daripada ditipu atau dikelirukan dengan mana-mana manifesto pilihan raya dimasa akan datang,” katanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.