Tiada masalah tempoh MB dua penggal
KOTA BHARU: Kerajaan
PAS Kelantan tidak bermasalah terhadap cadangan Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad untuk mengehadkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri
Besar (MB) kepada dua penggal sahaja.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob
berkata, cadangan dibuat perdana menteri bagi menghadkan jawatan
berkenaan tidak menjadi masalah kepada PAS di Kelantan.
“Kalau hendak tetap dua penggal, tiga,
empat atau lima penggal itu tidak menjadi halangan kepada kita,” katanya
selepas merasmikan sambutan ulangtahun ke-28 dasar Membangun Bersama
Islam (MBI) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke IV di sini
hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’
Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun, Dato’ Abdullah Yakob, Penasihat
Undang-Undangan Negeri, Dato’ Shahidani Abdul Aziz, anggota-anggota Exco
dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, Dato’ Zamri Ismail.
Program itu bermula dengan solat hajat diimamkan pensyarah Pusat Pengajian Pondok Kandis, Ustaz Nik Razi Nik Mat.
Kemudian diikuti kuliah Dhuha disampaikan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Dato’ Dr Johari Mat.
Baru-baru ini ketika membentang
Rancangan Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, Dr Mahathir
mengumumkan beberapa perubahan termasuk cadangan mengehadkan tempoh
jawatan perdana menteri dan menteri besar kepada dua penggal sahaja.
Bagaimanapun cadangan itu memerlukan proses pindaan perlembagaan sebelum dapat dilaksanakan.
Ustaz Ahmad juga berkata, kerajaan
Kelantan mendahului pusat apabila mewujudkan unit pemantauan projek dan
program kerajaan sejak 2014.
Katanya, Sistem Perancangan dan
Pemantauan Pelaksanaan Projek (SPARK) berperanan memastikan pentadbiran
kerajaan negeri telus, integriti dan cekap.
“SPARK berperanan membuat pemantauan dan
penilaian terhadap program yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui
anggota-anggota Exco.
“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga mewujudkan Unit Koordinasi Program Khas yang juga peranan membuat pemantauan,” ujarnya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.