https://critoxium.com/shop/

Terkini

“ICERD: Pembatalan adalah langkah tepat”

Oleh Shahir Adnan

1. International Convention on the Elimination of all forms of Racial Discrimination (ICERD) merupakan satu mekanisma yang digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 21 Disember 1965 untuk membasmi isu perkauman yang berlaku di sesebuah negara. Isu ini menjadi tular apabila menteri-menteri kerajaan Pakatan Harapan membangkitkan isu ini.

2. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri Malaysia melalui siaran akhbar yang mengesahkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa ini demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini. Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bersikap tegas dalam membuat keputusan penting ini.

3. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa menteri-menteri lain, agar menarik balik kenyataan tidak berasas mereka yang menyatakan bahawa ICERD tidak menggugat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan mereka sebelum ini jelas bercanggah dengan kenyataan media Pejabat Perdana Menteri.

4. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru barisan Ahli Parlimen Kerajaan agar mengusulkan pembatalan ratifikasi ini di dalam sidang Parlimen agar isu ini ditutup secara rasmi dan dipersetujui oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan dan Pembangkang. Siaran media pengumuman pembatalan ratifikasi ini sebenarnya tidak mencukupi untuk menunjukkan penolakan sebulat suara kerajaan Malaysia terhadap ICERD.

5. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang turun padang menunjukkan bantahan terhadap ICERD. Suara bantahan ini telah dipelopori oleh barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia, bersama-sama Dewan Pemuda IKATAN Malaysia dan Pemuda BERJASA di bawah Gagasan Sejahtera. Di samping itu, Gagasan Sejahtera turut bersama-sama parti pembangkang lain seperti Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan NGO-NGO lain untuk menyatakan penolakan kepada ICERD.

6. Dewan Pemuda IKATAN berharap isu ICERD ini tidak akan dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak demi menjaga keharmonian perpaduan kaum di Malaysia dan kesejahteraan hidup semua anak Bangsa Malaysia. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Biarlah kita sendiri yang mentadbir negara kita, berdasarkan undang-undang dan perlembagaan kita tanpa campur tangan kuasa asing.

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
merangkap
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.