Memo UMMAH desak Waytha, Kula dilucutkan
Oleh HJ AMINUDDIN YAHAYA
GERAKAN Pembela Ummah
(UMMAH) sebagai gabungan lebih daripada 300 pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) di seluruh negara, amat berdukacita dengan pemergian Muhammad Adib
Mohd Kassim pada 18 Disember 2018, dan sesungguhnya percaya bahawa
rakyat pelbagai latar menangisi pemergiannya sebagai wira Jabatan Bomba
dan Penyelamat Malaysia yang gugur ketika berbakti untuk negara. Ucapan
sepenuh takziah kami panjangkan kepada ahli keluarga Adib.
Gugurnya Adib adalah akibat serangan
tidak berperi-kemanusiaan oleh para perusuh dan ekstremis Hindu di
sekitar kawasan Kuil Sri Maha Mariaman, di Seafield. UMMAH mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan ganas para pelampau ini, dan menyambut baik
pengumuman Polis Diraja Malaysia yang mengklasifikasikan semula siasatan
kejadian tersebut sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun
Keseksaan.
Dalam pada UMMAH meletakkan kepercayaan
penuh untuk tatacara dan proses keadilan dilaksanakan, UMMAH juga ingin
menegaskan bahawa punca dan akar permasalahan kejadian rusuhan di Kuil
tersebut sehingga mengorbankan Adib, perlu ditangani dengan tegas dan
segera:-
(a) dalam sidang media pada
26.11.2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy telah
menuduh kononnya pihak Polis lambat bertindak dan memberikan maklumat
salah dalam rusuhan tersebut. Ini membuka ruang dan menghasut kebencian
orang ramai terhadap pihak berkuasa;
(b) pada 27.11.2018, Waytha dan
Menteri Sumber Manusia Kulasegaran cuba menghasut kaum Hindu di kawasan
Kuil Seafield tersebut untuk membelakangkan Penghakiman Mahkamah Tinggi
yang telah diputuskan sejak dari tahun 2014 agar Kuil tersebut
dipindahkan (dengan bayaran pampasan yang telah dibuat dan tanah gantian
yang telah disediakan, di mana Kuil baharu sudah pun siap didirikan dan
mula beroperasi), hanya semata-mata kerana kedua-dua Menteri ini ingin
tampil sebagai wira kepada satu kaum.
UMMAH percaya di sinilah mula kebencian
kepada pihak berkuasa dibakar, atas hasutan oleh Menteri-menteri tidak
bertanggungjawab, dan atas campur tangan terhadap pertikaian yang telah
pun sebenarnya diputuskan oleh Mahkamah. Sikap angkuh, bongkak dan
sombong membelakangkan kedaulatan undang-undang, serta
sewenang-wenangnya mencampuri bidangkuasa kehakiman oleh eksekutif ini
menjadi punca kepada rusuhan oleh para pengganas Hindu tersebut,
sehingga akhirnya mengorbankan Adib.
Justeru, UMMAH mendesak dan menggesa pihak Kerajaan agar mengambil langkah-langkah tegas seperti berikut:-
(a) Perdana Menteri perlu dengan
segara dan serta merta memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(portfolio perpaduan) Waytha Moorthy dan Menteri Sumber Manusia
Kulasegaran, atas rekod buruk menyebarkan fitnah dan kebencian terhadap
hubungan baik sesama kaum dan pihak berkuasa. Waytha dan Kulasegaran
tidak mempunyai kelayakan mahupun kredibiliti untuk memegang sebarang
jawatan awam, atas sikap rasis dan kebenciannya yang melampau, serta
kejahilannya terhadap prinsip Kedaulatan Undang-undang;
(b) Polis perlu segera dan tanpa
lengah menyiasat kedua-dua Menteri, Waytha dan Kulasegaran di bawah
peruntukan-peruntukan perundangan berikut:-
(i) Seksyen 186, 188 dan 217 Kanun
Keseksaan, iaitu membelakangkan undang-undang, menghalang tugas penjawat
awam, dan cuba untuk mengingkari keputusan Mahkamah;
(ii) Seksyen 505(b) dan (c) Kanun Keseksaan, iaitu membuat kenyataan yang melaga-lagakan di antara dua komuniti agama; dan
(iii) Seksyen 4(1) Akta Hasutan,
dibaca bersama Seksyen 3(1)(e), iaitu mengembangkan perasaan niat jahat,
permusuhan dan kebencian antara kaum.
Yang menjalankan amanah,
HJ AMINUDDIN YAHAYA
Pengerusi UMMAH -
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.