https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jika Ada Integriti , Presiden Pas Perlu Dedah Nama





 Pemuda AMANAH Nasional mencabar Presiden PAS yang juga MP Marang untuk mendedahkan identiti pemimpin Pakatan Harapan yang kononnya memgakui bahawa AMANAH ditubuhkan sebagai alat DAP.


Pemuda AMANAH Nasional percaya bahawa tuduhan liar yang dibuat tanpa sebarang bukti ini hanyalah satu lagi cubaan untuk mewujudkan persepsi jahat terhadap AMANAH yang semakin mendapat tempat di kalangan rakyat yang mendambakan politik Islam yang berkonsepkan rahmatan lil Alamin.

Pemuda AMANAH Nasional dengan tegas ingin mengulangi cabaran yang dibuat oleh Timbalan Presiden AMANAH, YB Dato' Salahuddin Ayub terhadap Presiden PAS untuk terus mendedahkan identiti pemimpin Pakatan Harapan tersebut dan tidak lagi berselindung di sebalik pelbagai alasan yang menunjukkan niat jahat terhadap sesama Muslim. Pendedahan ini adalah wajar bagi membuktikan bahawa Presiden PAS adalah seorang yang berintegriti dan tidak berpegang pada khabar angin dan sangkaan jahat semata-mata.

Adalah sangat dikesalkan apabila tuduhan ini yang masih gagal dibuktikan turut dilafazkan oleh pemimpin tertinggi mereka sendiri yang sewajarnya memilih untuk berpolitik secara matang dan sejahtera sebagaimana yang dicanang-canangkan. Permainan persepsi jahat yang menjadi strategi ampuh PAS saban hari adalah sangat bertentangan dengan konsep politik matang & sejahtera yang dibangga-banggakan.

Adalah sangat menghairankan apabila PAS lebih ghairah menyerang parti AMANAH tetapi begitu lunak bersama UMNO. Rakyat haruslah membuka mata bagaimana politik matang & sejahtera yang dilaungkan semasa pemerintahan UMNO dahulu semakin jelas hanyalah sekadar retorik semata-mata.

Kepada Presiden PAS, sedarlah bahawa perbuatan mengadu domba ini tidak akan membawa politik negara ke tahap yang lebih baik akan tetapi ia akan dikenang oleh rakyat sebagai satu lagi episod dalam siri tuduhan rambang tanpa asas oleh pimpinan PAS terhadap seteru politik.

AMANAH sebagai salah satu parti komponen yang membentuk gabungan Pakatan Harapan akan teguh bersama rakan-rakan komponen yang lain selagi mana tidak bercanggah dengan prinsip agama serta kedaulatan undang-undang.

MOHD SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional
Ahli Dewan Negeri Taman Templer

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.