Kenapa hina agama?
Oleh Md. Asham Ahmad
AGAMA hanya memiliki kemuliaan dan ketinggian kerana ia benar. Kalau ia bohong dan dianggap suatu pembohongan apakah lagi yang tinggal padanya? Siapa yang akan mengikuti ajarannya?
AGAMA hanya memiliki kemuliaan dan ketinggian kerana ia benar. Kalau ia bohong dan dianggap suatu pembohongan apakah lagi yang tinggal padanya? Siapa yang akan mengikuti ajarannya?
Mempertahankan institusi-institusinya?
Memuliakan tokoh-tokohnya? Jawabnya orang-orang yang bodoh dan tertipu
sahaja.
Akan tetapi itulah tanggapan ramai manusia
pada hari ini: agama adalah khayalan manusia semata-mata dan para
pengikutnya adalah golongan bodoh, yang terpedaya. Dalam kalangan mereka
yang berpendirian sedemikian, ada percaya bahawa walaupun agama itu
kepalsuan akan tetapi ia adalah alat berguna untuk kesejahteraan negara
kerana dengan agama masyarakat dapat diatur dan dikawal dengan lebih
mudah. Seorang ahli falsafah Perancis dikhabarkan berkata, “Tuhan
sebenarnya tidak wujud, akan tetapi jangan katakan itu kepada khadammu,
takut dia akan membunuhmu semasa engkau tidur dan mencuri wangmu.”
Perkataannya ini membayangkan sikapnya terhadap agama sebagai kepalsuan
yang berguna, sebagai alat semata-mata. Pandangan lain pula mengatakan
agama itu adalah kepalsuan berbahaya; oleh itu ia mesti diperangi dan
dihapuskan. Menurut pandangan ini manusia hanya mencapai kesejahteraan
apabila mereka meninggalkan agama.
Kedua-dua
pandangan di atas menolak kebenaran agama dan sikap inilah yang dominan
dalam masyarakat Barat hari ini. Walau bagaimanapun, sikap ini tidak
lagi terhad kepada orang Barat. Ramai yang turut berfikiran begitu,
termasuklah sebahagian daripada kaum Muslimin.
Tidak
mungkin sah pengakuan seseorang bahawa dia seorang Muslim kalau di
dalam hatinya dia meragui kebenarannya. Sebagai contohnya, seseorang
yang mendakwa bahawa agama adalah diasaskan kepada mitos-mitos kejadian.
Sekiranya yang dia maksudkan dengan kenyataan itu ialah semua agama,
termasuk Islam, maka dia telah secara langsung menafikan kebenaran agama
Islam.
Inilah bahananya apabila
ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi, sosiologi, dan antropologi
diambil dan diajarkan secara melulu tanpa menilai dengan teliti
kesahihan kesimpulan-kesimpulan umumnya. Untuk membolehkan penilaian itu
dibuat pula, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu mencukupi dalam
perkara-perkara fardu ain.
Namun apa
yang berlaku selama ini adalah pengabaian terhadap ilmu-ilmu fardu ain
dan pengabaian ini pula berpunca daripada salah faham mendalam terhadap
konsep ilmu itu.
Maka apa dipelajari
oleh umat Islam pada hari ini hanya terhad kepada hukum-hakam berkaitan
dengan amal ibadat yang asas. Dan sedikit-sebanyak tentang akidah.
Itulah yang mereka sangka fardu ain sedangkan apa dipelajari itu hanya
memadai untuk kanak-kanak kecil dan tidak memadai bagi dijadikan panduan
dalam menilai ilmu-ilmu lain yang bakal dipelajari pada peringkat
pengajian tinggi, sedangkan pada peringkat itulah segala macam falsafah
dan ideologi dibawa masuk dan dipelajari dengan sangkaan semua itu
adalah ilmu-ilmu terkini. Dengan cara itulah bibit-bibit keraguan
terhadap kebenaran agama mula tumbuh.
Penghinaan
terhadap Islam, secara khusus, bukanlah perkara baharu. Ia bermula
dengan ketibaan Islam. Sebaik sahaja Rasululah SAW mengisytiharkan
dakwahnya kepada kaumnya, semasa itu jugalah segala kata-kata pujian dan
sanjungan terhadap baginda SAW berubah menjadi kejian dan nista. Namun
di sebalik penghinaan, penentangan dan ugutan yang diterima, Rasulullah
SAW tetap memohon kepada Allah, “Ya Allah! Kurniakanlah hidayat kepada
kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak tahu!”
Masalah
penghinaan terhadap agama membayangkan krisis dalaman yang menimpa
manusia hari ini kesan daripada pembaratan dan pensekularan. Ia tidak
boleh diatasi semata-mata dengan cara undang-undang tanpa memahami akar
umbi masalah.
Dalam soal ini, kaum
Muslimin mempunyai tugas amat besar, bukan sekadar menunjukkan bantahan
dan kemarahan terhadap penghinaan dilemparkan terhadap Islam, tetapi
yang lebih utama adalah dengan menunjukkan jalan keluar daripada krisis
itu.
Maka perjuangan sebenar bagi
membela Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada manusia adalah
perjuangan yang diasaskan kepada ilmu dan keyakinan. Manusia yang selama
ini sudah hilang keyakinan terhadap agama kerana dakyah kebudayaan
Barat, mesti diyakinkan semula bahawa ilmu dan keyakinan dapat dicapai
olehnya, dan hanya dengan itu kesejahteraan dapat dicapai.
PENULIS ialah Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.