https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tragedi Christchurch: Asalnya dan ke mana selepas ini?

Oleh Yunus Tasim

Tragedi pembunuhan orang Islam ketika salat Jumaat di Christchurch, New Zealand, mengejutkan dunia. Namun, ia bukanlah satu-satunya tragedi yang berlaku kebelakangan ini.

Pada Januari lalu 20 orang terbunuh dalam serangan bom di sebuah gereja di Jolo, Filipina. Kedua-dua serangan ini hampir sama. Ia didorong oleh kebencian dan menyasarkan orang awam.

Dalam serangan di Christchurch, ekstremis ketuanan kulit putih Brenton Tarrant telah menyiarkan sebuah manifesto.

Para penganalisis yang meneliti manifesto ini mendapati sentimen dan mesej yang terdapat dalam manifesto ini berbunyi hampir sama dengan mesej yang sering disebarkan oleh kumpulan ekstremis seperti ISIL dan Al Qaedah.

Walaupun pengganas ketuanan kulit putih mempunyai latar belakang etnik dan budaya yang berbeza daripada ISIL dan Al Qaedah, teras ideologi mereka hampir sama.

Proses dan mekanisme yang digunakan oleh penjaja kebencian ini juga hampir sama. Lazimnya proses ini bermula dengan kemunculan satu ideologi. Kandungan utama ideologi mereka ialah menyalahkan kelompok tertentu sebagai punca masalah mereka.

Kesemua mereka menganggap bangsa atau kelompok yang mereka wakili sedang diserang. Kesemua mereka menyalahkan golongan yang menjadi sasaran kebencian mereka sebagai penyebab masalah yang dihadapi.

Kesemua mereka beranggapan suasana “diserang” itu menjustifikasikan penggunaan kekerasan dan keganasan bagi “membela” kelompok mereka.

Kesemua mereka menggunakan dan menjaja kebencian sebagai sebahagian daripada senjata masing-masing. Kumpulan ini akan menggunakan ketakutan untuk mengapi-apikan kebencian yang ditujukan kepada kelompok sasaran.

Selain mentakrifkan sesuatu kelompok sebagai ancaman, stereotaip akan digunakan untuk memaparkan semua ahli dari kelompok berkenaan sebagai sama. Ini mungkin mengambil bentuk memaparkan semua ahli kelompok berkenaan sebagai musuh, penipu, penceroboh, atau berniat memusnahkan pihak lain.

Sebarang salah laku anggota kelompok sasaran akan diperbesarkan dan dipaparkan sebagai mewakili semua anggota kelompok berkenaan. Sebarang kebaikan akan disenyapkan.

Untuk menyemarakkan lagi kebencian terhadap kumpulan sasaran ini, mereka akan dijembalangkan atau “demonized” sebagai sentiasa bersifat jahat.

Kelompok sasaran akan dipaparkan sebagai sentiasa berniat memusnahkan golongan yang “dibela” oleh penjaja kebencian ini.

Untuk memastikan kebencian terhadap kelompok ini berterusan, proses yang turut digunakan ialah menyah-insankan atau “dehumanize” kelompok ini. Berbagai isitilah dan label akan digunakan untuk menyahkan sifat keinsanan mereka.

Istilah seperti “kurang ajar”, “celaka”, “biadab”, “dengki” dan “jahat” digunakan untuk melabel kelompok ini. Proses menyuburkan kebencian ini memakan masa dan lazimnya melibatkan penggunaan propaganda.

Berita palsu dan fitnah akan digunakan untuk mengukuhkan mesej kebencian. Ia akan menyebabkan kemarahan dan kebencian yang memuncak-muncak. Adakalanya mesej penjaja kebencian ini bersifat logikal dan meyakinkan.

Sebagai contoh, perjuangan ekstremis ketuanan kulit putih telah lama wujud di pinggiran masyarakat AS dan juarai oleh kumpulan seperti KKK dan Aryan Nation.

Sentimen dan mesej mereka mula menjadi fenomena arus perdana bila ia turut menjadi agenda politik presiden Donald Trump. Slogan “Make America Great Again” Trump menggambarkan ideologi ekstremis ketuanan kulit putih.

Demikian juga dengan mesej yang dibawa oleh gerakan berhaluan kanan di Eropah dengan perjuangan anti-imigran mereka.

Bila agenda ekstremis ketuanan kulit putih mula menjadi agenda arus perdana, kita dapati kesediaan penjaja kebencian bertindak lebih berani dan menggunakan keganasan akan meningkat.

Ini dapat dilihat di AS. Sejak Donald Trump menjadi presiden negara itu, serangan ke atas golongan minoriti telah meningkat.

Satu soalan yang boleh kita tanya ialah sama ada keganasan seperti yang berlaku di Christchurch dan Jolo itu boleh berlaku di sini. Jawapannya ialah sudah tentu!

Proses dan mekanisme yang membolehkan ideologi kebencian merebak sudah pun wujud di Malaysia. Jika sebelum ini ia lebih dijuarai NGO dan ahli akademik pinggiran, kini ia sudah menjadi sebahagian dariada ideologi yang didokong oleh parti politik tertentu.

Proses stereotaip, menjembalangkan dan menyahinsankan kelompok yang menjadi sasaran kemarahan penjaja kebencian ini juga sedang berlaku di Malaysia.

Jika keganasan seperti yang berlaku di Christchurch berlaku di Malaysia, maka yang bersalah bukan sekadar mereka yang melakukan keganasan. NGO, ahli akademik dan pemimpin politik yang mengapi-apikan sentimen kebencian itu sama-sama menyumbang kepada masalah ini.

Demikian juga dengan mereka yang berkongsi dan menularkan mesej daripada penjaja kebencian ini. Lihat keliling anda dan kenalilah mereka yang sama-sama bersubahat menyemai mesej kebencian itu.

Jangan satu hari nanti anda dilihat sama dengan para penyokong Brenton Tarrant. Penjaja kebencian, sama ada di AS, Eropah, New Zealand atau di Malaysia adalah watak yang sama.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.