Jokowi isytihar kemenangan, Prabowo dakwa wujud penipuan
JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’
Widodo hari ini mengisytiharkan kemenangannya dalam pilihan raya
presiden republik itu, sekali gus mengekalkan jawatan disandang untuk
tempoh lima tahun lagi.
Beliau
berkata, keputusan tidak rasmi menunjukkan tiket gandingannya dengan
ulama terkenal Ma’ruf Amin memperoleh 54 peratus undian popular dalam
pilihan raya semalam.
Jokowi
yang berganding dengan Ma’ruf menentang bekas jeneral tentera, Prabowo
Subianto dan Sandiaga Uno yang memperoleh 45 peratus undi, menurut
‘kiraan pantas’ tidak rasmi sampel undian oleh peninjau persendirian.
Kiraan
peninjau dipercayai terbukti tepat dalam pilihan raya sebelumnya,
walaupun keputusan rasmi tidak akan diumumkan sehingga 22 Mei ini.
“Kita
perlu menunggu keputusan rasmi namun 12 peninjau memberi keputusan
jelas. Kami menyampaikan bahawa tiket gandingan Jokowi-Ma’ruf memperoleh
54.5 peratus undi sementara Prabowo memperoleh 45.5 peratus,” kata
Jokowi dalam sidang media di selatan ibu kota ini.
Prabowo
juga mendakwa memperoleh kejayaan mengatasi Jokowi, memetik tinjauan
dalaman menunjukkan beliau menang 62 peratus undi selain mengadu
penipuan meluas dalam pilihan raya.
Laman
web Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) meletakkan Prabowo dengan 45
peratus undi hari ini berdasarkan keputusan daripada 808 atau lebih
800,000 stesen pengundian.
Jokowi
memaklumkan media, beliau menerima panggilan ucapan tahniah daripada 22
pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir
Mohamad dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan serta menjemput
pencabarnya untuk bertemu.
Pada masa sama, Jokowi menggesa penyokongnya menunggu keputusan rasmi untuk mengesahkan kemenangan beliau.
Sementara
itu, dalam sidang media berasingan beberapa minit selepas Jokowi
mengumumkan kejayaannya, Prabowo sebaliknya menolak dan berkata
pasukannya mempunyai bukti penipuan meluas dalam pilihan raya.
“Kami
mengisytiharkan kejayaan kerana mempunyai bukti penipuan meluas di
peringkat kampung, daerah kecil dan daerah di seluruh Indonesia,”
katanya berdiri bersebelahan rakan gandingan, Sandiaga, yang lebih
sugul.
Pada
2014, Prabowo juga mengisytiharkan kejayaan sebelum mencabar keputusan
di Mahkamah Perlembagaan yang mengesahkan kemenangan Jokowi.
Seorang
jurucakap Prabowo berkata, jeneral itu akan membawa aduannya ke
Mahkamah Perlembagaan jika KPU mengesahkan kemenangan Jokowi.
Akhbar The Jakarta Post juga membawa tajuk muka depan mengisytiharkan ‘Lima Tahun Lagi’ bersebelahan gambar Jokowi. -Reuters
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.