SEMUA pihak perlu patuh pada Perlembagaan Persekutuan, termasuk
Raja-Raja Melayu, kata Dr Mahathir Mohamad, kerana ia undang-undang
utama negara mengatasi mana-mana perlembagaan negeri yang ada
sebelumnya.
Dalam tulisan di blognya hari ini, perdana menteri berkata,
undang-undang tubuh Johor dan Terengganu yang digubal lebih awal sebelum
Merdeka terbatal dengan perlembagaan baharu yang diterima oleh semua
negeri.
“Adalah mustahak semua pihak yang berkenaan menghormati perlembagaan
dan patuh dengannya. Kegagalan berbuat demikian akan mencabul kedaulatan
undang-undang,” tulisnya di blog Chedet.
Dr Mahathir yang sedang dalam rangka lawatan ke China menggariskan
sejarah kelahiran Perlembagaan Persekutuan semasa peralihan daripada
negeri-negeri naungan kepada negara merdeka pada 1957.
Beliau menerbitkan tulisan itu tidak lama selepas pergantian menteri
besar di Johor dan barisan exco kerajaan negeri minggu lalu, yang
dikatakan dipengaruhi oleh pihak istana.
Pada 10 April lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
meminta “pihak tertentu” – yang dipercayai ditujukan kepada Pakatan
Harapan – supaya jangan campur tangan dalam urusan negeri Johor kerana
negeri itu masih ada sultan.
Pada hari yang sama, Dr Mahathir membalas kenyataan itu dengan berkata bukan peranan Sultan Johor untuk memilih calon menteri besar kerana ia keputusan politik yang dibuat oleh parti pemerintah.
Dalam tulisan di blognya hari ini, Dr Mahathir mengingatkan bahawa
Malaya yang Merdeka pada 1957 dipersetujui untuk jadi sebuah negara
demokrasi dengan rakyat memilih kerajaan.
“Raja-raja menjadi ketua perlembagaan tanpa kuasa eksekutif.
Kedudukan mereka dilindungi oleh Perlembagaan yang merupakan
undang-undang utama negara,” kata perdana menteri.
“Parti yang menang pilihan raya akan menamakan perdana menteri (atau
ketua menteri dan menteri besar) dan ketua perlembagaan akan
mengesahkannya.”
Tambah perdana menteri, sekiranya raja berpelembagaan enggan
mengesahkan dan mencadangkan calonnya sendiri, parti yang menang pilihan
raya dan menguasai dewan legislatif boleh menolaknya melalui undi tidak
percaya.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, dikatakan kecewa dengan
tindakan Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal kerana
merombak barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri walaupun sudah
dipersetujui pada peringkat parti barisan exco lama tidak diganti.
Pada 13 April lalu, bekas menteri besar Osman Sapian memberitahu
wartawan yang Sultan Ibrahim menitahkan agar barisan exco dirombak
sebagai salah satu syarat kepada menteri besar yang baharu.
Tiga exco baru dilantik ialah Tosrin Jarvanthi (Bersatu-Bukit
Permai), Mohd Solihan Badri (Bersatu-Tenang) dan Tan Chen Choon
(DAP-Jementah).
Barisan exco baharu di bawah Dr Sahruddin mengangkat sumpah di
hadapan Sultan Johor pada Isnin lalu di Istana Bukit Serene, Johor
Bahru.
Pada majlis sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Dr Sahruddin yang membawa gelaran “Datuk”.
Pada hari sama, Dr Mahathir berkata Istana Johor tidak mempengaruhi barisan baru ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri itu
Semua pihak termasuk Raja-Raja perlu patuh Perlembagaan, kata Dr Mahathir
Reviewed by editorreformis
on
April 25, 2019
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.