Keputusan Google
menyekat syarikat pembuat telefon pintar kedua terbesar di dunia,
Huawei menggunakan aplikasi miliknya disifatkan hukuman mati terhadap
syarikat gergasi teknologi itu.
Keputusan tersebut juga mendedahkan pengguna Huawei kepada isu-isu
keselamatan siber malah tindakan itu juga disifatkan sebagai ‘permulaan
kepada pengakhiran’ Huawei.
Kata Ketua Pegawai Pegawai Eksekutif (CEO) firma keselamatan siber
Edgescan, Eoin Keary, ketidakupayaan pengguna Huawei untuk mengemaskini
aplikasi telefon bimbit mereka adalah isu serius kerana lama kelamaan ia
akan ketinggalan zaman dan mudah diserang virus.
Pemilik telefon bimbit Huawei dijangka tersekat selamanya dengan
versi aplikasi yang ada sekarang dan menghadapi pelbagai masalah
keselamatan.
Ini kerana masalah itu yang hanya boleh dikendali melalui pengemaskinian
dibuat Google melalui Play Store yang tidak boleh diperoleh oleh
peralatan Huawei menyebabkannya terdedah kepada ancaman keselamatan.
Buat sementara waktu ini perkhidmatan Google Play dan perlindungan
keselamatan daripada Google Play Protect akan terus berfungsi untuk
peralatan Huawei yang sedia ada.
“Namun risiko jangkitan virus secara dramatik akan meningkat terhadap
peralatan Huawei dan akan berhenti berfungsi tidak lama lagi. Jika isu
keselamatan tiada dan telefon bimbit menjadi tidak selamat adakah orang
ramai akan meletakkan hal-hal peribadi dalam telefon?,’’ tanya Keary.
Pengguna yang membeli telefon bimbit terbaharu Huawei tidak akan mempunyai akses kepada Gmail, Google Maps dan aplikasi lain.
Tindakan Google itu dilakukan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS),
Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif menghalang syarikat AS
menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat yang diperbuat atau
dikawal oleh firma yang mengancam keselamatan negara selain
mengisytiharkan darurat negara terhadap isu tersebut.
Hakikatnya, pertelagahan antara Huawei yang merupakan syarikat penjualan
peralatan telekom terbesar di dunia dengan AS telah berlanjutan sejak
hampir 10 tahun lalu.
AS dan beberapa negara lain mengesyaki Huawei menggunakan rangkaian 5G
jalur lebar miliknya untuk mengintip bagi pihak kerajaan China.
Pada bulan lalu, Times of London melaporkan Agensi Perisikan Pusat (CIA)
mempunyai bukti bahawa Huawei `menerima bantuan daripada beberapa
cawangan organisasi keselamatan China’.
Maklumat yang diperoleh dikongsi dengan sekutunya, United Kingdom (UK)
dalam usaha menekan negara itu agar tidak menggunakan rangkaian 5G
Huawei ekoran keputusan Perdana
Menteri, Theresa May memilih Huawei sebagai sebahagian daripada rangkaian telefon bimbit terpantas 5G di negaranya.
Pada Mei tahun lalu, Pentagon melarang sebarang penjualan telefon bimbit
keluaran Huawei dan ZTE kerana menurut Jabatan Pertahanan, penggunaan
telefon berkenaan boleh mengundang risiko keselamatan.
Katanya, peralatan Huawei dan ZTE mendedahkan risiko tidak dijangka
terhadap misi, maklumat dan jabatan sumber manusia di Pentagon.
Huawei bersungguh-sungguh menafikan tuduhan mengintip malah bersedia
untuk menandatangani perjanjian `tiada pengintip’ dengan
kerajaan-kerajaan luar seperti UK untuk meredakan kebimbangan dan
membuka lebih banyak peluang perniagaan.
Huawei yang beroperasi di 170 negara dibina pada 1987 oleh bekas
jurutera Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Ren Zhengfei, 74, dan
muncul sebagai antara pengeluar peralatan rangkaian terkemuka di dunia
selepas Ericsson dari Sweden.
Namun perkhidmatan Zhengfei dalam PLA mencetuskan kebimbangan berikutan
hubungan rapatnya dengan kerajaan dan tentera China walaupun
dinafikannya.
Walaupun tiada bukti yang ditemukan, antara tuduhan terhadap syarikat
itu adalah keupayaan menerobos ke dalam data yang telah dikod
sehinggalah melumpuhkan kemudahan komunikasi.
Terdahulu pada Disember lalu, anak perempuan Zhengfei, Meng Wanzhou yang
adalah Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei ditahan di Kanada atas
arahan AS dan kini menghadapi pertuduhan jenayah di negara berkenaan.
Beliau dituduh menggunakan sebuah syarikat di Hong Kong untuk menjual
peralatan kepada Iran sekali gus melanggar sekatan AS namun dinafikan
Huawei.
Dalam pada itu, China boleh bertindak balas dengan menyasarkan syarikat
AS yang beroperasi di negaranya seperti Apple yang bergantung kepada
pengeluar China dan kemungkinan terpaksa berpindah kepada pembekal lain
sekali gus menyaksikan peningkatan harga iPhone.
Intel, Microsoft, Qualcomm Broadcomm dan Micron membekal komponen atau
perkhidmatan yang digunakan oleh produk Huawei seperti komputer riba
Mate manakala gelas Corning serta pembesar suara Dolby digunakan dalam
telefon bimbit Huawei.
Sementara itu, ekoran keputusan sekatan itu yang menimbulkan huru-hara
terhadap urus niaga saham di AS, Trump kemudian mengemukakan penangguhan
sekatan selama 90 hari terhadap
Huawei dengan alasan memberi `ruang bernafas’ bagi mengelak kekacauan lebih besar.
Namun tegasnya, penangguhan itu tidak membawa sebarang perubahan kepada
sekatan berkenaan sebaliknya hanya memberi lesen sementara yang
membenarkan Huawei meneruskan hubungan perniagaan dengan firma AS yang
bergantung kepada peralatan Huawei bagi mengelak perkhidmatan yang
kritikal.
Huawei dikatakan lebih setahun terkehadapan berbanding pesaingnya dalam
kepakaran teknologi malah Zhengfei menegaskan tindakan Trump tidak akan
membantutkan cita-cita syarikatnya.
Katanya, AS memperkecilkan kekuatan Huawei selain menegaskan teknologi
5G tidak akan terjejas sebaliknya pesaing mereka akan ketinggalan tiga
tahun ke belakang dalam teknologi tersebut.
Tegas beliau, penangguhan itu tidak akan memberi kesan kepada Huawei
malah Google dan syarikat berkenaan telah berbincang bagi mencari jalan
keluar terhadap sekatan tersebut.
Menurut Zhengfei, Huawei tidak boleh dipulaukan dari dunia ini malah
mereka boleh membuat cip sama seperti yang diperbuat oleh AS.
Huawei tidak boleh ‘dipulaukan’
Reviewed by editorreformis
on
Mei 27, 2019
Rating: 5
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
2489504
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Post Comment
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.