https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anak Muda Harus Tolak Kitab Perkauman Pas

Oleh Faiz Fadzil

1. Kenyataan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bahawa 30 peratus anak muda yang mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU Ke-14 tidak mengaji kitab adalah satu kenyataan yang begitu naif dan satu penghinaan kepada tahap intelektual anak muda negara ini.

Sikap PAS ini seolah-olah tidak mengiktiraf kebijaksanaan dan kematangan amalan demokrasi anak muda negara ini yang melakukan revolusi menjatuhkan regim Barisan Nasional (BN) tanpa pertumpahan darah, tidak seperti di Indonesia, Filipina, Mesir dan Iran. 

2. Antara isu utama yang mendorong anak muda negara ini bangkit membuat perubahan dalam PRU yang lalu kerana jijik dengan amalan korupsi dan salah tadbir urus kerajaan kleptokrasi BN yang menyebabkan krisis ekonomi yang menjerut kehidupan anak muda terutama kenaikan kos sara hidup.

Keberanian anak muda membuat perubahan ini menunjukkan tahap intelektual yang tinggi di kalangan pelapis negara yang mahu menyelamatkan negara daripada cengkaman kezaliman BN.

3. Kemajuan sesebuah negara perlu diasaskan oleh tadbir urus yang baik dan keadilan sosial dan ekonomi.

Negara ini yang berlatar belakangkan masyarakat majmuk memerlukan apa sahaja dasar pentadbiran dan model ekonomi yang dirangka kerajaan hendaklah di atas premis keadilan kepada semua kaum.

Setiap anak muda negara ini berhak untuk diberikan peluang pendidikan, pekerjaan, perumahan dan kualiti hidup yang adil tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

4. Justeru, kitab perkauman yang dibawa PAS hendaklah ditolak habis-habisan oleh anak muda negara ini.

Sentimen perkauman yang sedang dicanang PAS dan sekutu baharunya UMNO akan membangkitkan kebencian kaum yang lebih kronik yang boleh mengancam keharmonian kaum dan kemakmuran negara yang sedang dibina oleh kerajaan pada hari ini.

 Piagam kerjasama PAS-UMNO yang bakal dibentuk tidak lama lagi tidak berpremiskan kepada agenda ekonomi dan rakyat, sebaliknya agenda perkauman dan kebencian yang tidak memberikan manfaat kepada negara terutama masa depan generasi muda.

FAIZ FADZIL
TIMBALAN KETUA PEMUDA AMANAH
ADUN PERMATANG PASIR
18 JUN 2019

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.