https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bencana fitnah video seks

Oleh MOHD SHAUKI ABD MAJID

Apakah ia satu fitnah atau konspirasi untuk menjatuhkan seserang ahli politik bila mana seorang menteri kabinet telah menjadi sasaran pihak tertentu yang mengambarkan dirinya sebagai pelak dalam tiga klip video seks yang tersebar beberapa hari yang lalu.

Perkataan `fitnah’ berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Atau dalam pengertian sehari-hari, kata fitnah ini sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.

Banyak hadis Nabi yang membicarakan tentang fitnah dan menganjurkan agar umat Islam menjauhinya kerana ia boleh menimbulkan kekacauan dan kesengsaraan, malah tidak sedikit yang berakhir dengan pertumpahan darah.

Rasulullah s.a.w. selalu mengingatkan kaum muslim agar menghindarkan diri daripada pembicaraan yang salah kerana keterlanjuran lisan boleh diibaratkan seperti terhunusnya pedang.Justeru Rasulullah s.a.w. ketika hendak memulai sesuatu pembicaraan, baginda selalu memohon perlindungan kepada Allah s.w.t. daripada akibat buruknya fitnah.

Dalam al-Quran, perkataan `fitnah’ disebut sebanyak 34 kali dengan erti yang berbeza-beza.
Fitnah dalam maksud ujian atau cubaan terdapat dalam firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 28.

Manakala fitnah dalam erti seksaan terdapat dalam firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal ayat25 yang bermaksud: “Dan peliharalah daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu…
” Lebih daripada itu al-Quran juga menyebut bahawa fitnah itulebih kejam dan berbahaya daripada pembunuhan.
“Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan”. (Surah al-Baqarah ayat 191).

Sikap manusia yang suka melakukan fitnah menggambarkan kelemahan dan kemiskinan dirinya sendiri. Seandainya dia kuat dalam penghujahannya sudah tentu dia tidak akan mengada-adakan cerita yang tidak benar atau menjadikan keburukan orang lain sebagai bahan pembicaraannya.

Bukankah masih banyak bahan pembicaraan yang lain? Juga orang yang suka memfitnah orang lain bukan seorang ahli agama yang baik kerana ahli agama yang baik akan melihat dengan positif sesuatu yang negatif dan berusaha mencari kebaikan dalam sesuatu perkara yang dilihat terdapat keburukan. Al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan fitnah.

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah
tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani”.

Dengan memahami bahawa bencana itu mutlak dalam kekuasaan Allah, sekali gus menjadi peringatan dan ujian, seorang Muslim tidak akan mudah terikut dengan kejayaan orang yang hidupnya penuh maksiat dan dosa serta hidup dan hobinya hari-hari melempar fitnah kepada
sesiapa sahaja yang tidak disukainya.Mereka tidak sedar bahawa perrpecahan yang berlaku dalam masyarakat kita hari adalah berpunya dari fitnah yang berleluasa.Seolah-olah bagi pelempar fitnahini sedikitpun mereka tidak takut pada ancaman Allah SWT.

Perpecahan sekecil mana pun merupakan satu musibah apatah lagi perpecahan bangsa Melayu yang berlaku dalam masyarakatkita hari ini yang sampai satu peringkat mereka sudah lali dan sedikitpun tidak merasai berdosa melakukannya.

Sejarah sering membuktikan bahawa kejayaan mereka itu hanyalah fatamorgana, sekadar penangguhan daripada kehancuran yang sebenarnya. Itulah azab dari Allah yang diberikan kepadaorang-orang yang ingkar kepada Allah dan ajaran-ajaran yang dibawa oleh para Rasul-Nya.

Anjuran untuk bersatu dipandang remeh oleh segolongan pihak yang mengutamakan parti daripada kepentingan ummah. Inilah saatnya introspeksi diri mengapa musibah demi musibah kerap menimpa kita. Kerana segala sesuatu yang tidak kita inginkan di waktu yang tidak tepat, disebabkan oleh kesalahan yang kita perbuat sendiri, bukan datangnya dari Allah SWT. Bukankah setiap kesalahan dan kebaikan walaupun sekecil zarah akan diberi ganjaran? Jika demikian, tentu musibah dan kenikmatan yang kita dapatkan tidak lepas daripada kesalahan dan kebaikan yang kita lakukan.

Gejala fitnah memfitnah di kalangan umat Islam begitu meluas berlaku sehingga membawa kepada perpecahan yang tidak pernah menampakkan tanda-tanda bahawa ia akan berakhir. Perkara inisudah diketahui umum.

Istilah fitnah juga mempunyai persamaan dengan ghibah (mengumpat). Bezanya ghibah membicarakan keburukan orang lain yang berdasarkan kenyataan sedangkan fitnah berunsur pembohongan.

Namun, kedua-duanya diucapkan untuk maksud yang tidak baik. Dalam menjelaskan erti ghibah, Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada sahabat-sahabat baginda.

“Tahukah kamu apakah ghibah itu? Mereka menjawab, “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui,” Nabi lalu menjelaskan, “ghibah adalah membicarakan apa yang tidak disenangi orang lain di belakangnya”.

“Seandainya yang dibicarakan itu benar, apakah itu juga dinamakan ghibah?” tanya sahabat. Nabi s.a.w menjawab, “itulah ghibah, sedangkan bila yang engkaubicarakan perkara yang tidak benar, maka itulah buhtan (pembohongan yang besar). (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).

Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) amat buruk, apalagi buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang). Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau menerima dengan hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Barang siapa yang mengetahui ada orang mukmin dihina di depannya, ia harus membelanya, mempertahankan nama baik si mukmin itu. Apabila ia tidak mahu melakukan pembelaan itu, maka Allah s.w.t. akan menghinanya di depan orang ramai”. (Hadis riwayat Ahmad dan Tharani).

Mereka yang menaburkan fitnah merupakan orang yang zalim, sebagaimana dijelaskan menerusi surah al-Anfal ayat 25: Dan peliharalah daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu.Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya.”

Allah SWT turut memerintah agar fitnah itu bukan sahaja wajib dihindar, bahkan diperang berdasarkan kemudaratannya kepada agama: Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi.”(surah al-Baqarah:193).

Tidak ada satu sudut kehidupan hari ini yang bebas daripada pengaruh yang merosakkan.”(Baca, Faith versus Materialism: The Message of Surat al-Kahfi (IBT, K. Lumpur: 2005). Sesungguhnya, sehebat manapun satu fitnah dan kebohongan itu direka, ia tidak akan bertahan lama. Serapat dan seketat mana satu pendustaan itu cuba ditutup-tutupi, suatu saat ia pasti akan terdedah baik dengan cara yang disengaja mahupun tidak disengaja. Hanya kebenaran sejati akan terpacak kekal selamanya.

Penyebaran maklumat dan fitnah melalui media sosial yang berlaku dewasa ini suatu saat mungkin berubah wajah dalam bentuk dan wahana lain sesuai dengan peredaran zaman. Namun yang pasti, segala bentuk fitnah dan maklumat liar tidak akan berhenti meskipun alat perantaranya sudah berubah. Tiada pilihan lain bagi umat Islam semua itu mesti dihadapi.

Hanya dengan keimanan dan ketakwaan sahaja yang mampu menyelamatkan kita daripada perangkap maklumat dan fitnah yang sentiasa mengintai kita

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.