https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sudah lama tahu Shukri mahu bersara, kata warga SPRM

WARGA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudahpun mengetahui hasrat Mohd Shukri Abdull untuk meletak jawatan sejak awal, kata pegawai tinggi agensi itu.

Sumber berkenaan memberitahu The Malaysian Insight, semua pegawai SPRM juga menerima dengan hati terbuka dan penuh hormat pelantikan Latheefa Koya menggantikan Shukri.

Oleh itu, persaraan Shukri tidak patut dipolitikkan untuk mengelak imej buruk kepada agensi antirasuah itu, kata sumber itu lagi.

Jelasnya, persaraan Shukri tidak mengejutkan kerana orang lama SPRM itu menyatakan niat untuk bersara sejak awal apabila berjaya menyelesaikan kes besar melibatkan SRC International dan 1MDB.

“Sebaik saja menyelesaikan kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad, beliau sudah menyatakan niatnya untuk meletak jawatan namun kami memujuk beliau untuk terus bertugas.

“Akhirnya selepas berbincang dengan perdana menteri, beliau meneruskan hasratnya itu. Yang pasti tiada tekanan daripada mana-mana pihak untuk beliau meletak jawatan,” kata sumber.

Kes melibatkan SRC International diselesaikan pada Julai 2018 apabila SPRM berjaya mengheret Najib Razak ke mahkamah dan tuduhan seterusnya bagi kes 1MDB pada September.

Mengulas lanjut, sumber berkata beliau percaya isu pelantikan Latheefa dan persaraan Shukri masih dibahaskan demi kepentingan politik pihak tertentu untuk menjejaskan siasatan SPRM.

Namun tegasnya perkara itu tidak akan berlaku kerana tahap moral serta semangat tenaga kerja SPRM di tahap tinggi dan mereka fokus dalam melaksanakan tugas membanteras rasuah.

Warga SPRM menerima pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua mereka yang baharu dan bersedia memberikan kerjasama penuh. – Gambar Facebook, 7 Jun, 2019.
“Isu ini diambil kesempatan oleh sesetengah pihak bagi mengelak menjadi sasaran seterusnya oleh SPRM. Siapa pun ada pasti kami jejaki sekiranya terbabit dalam unsur rasuah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata, beliau juga menerima pelantikan baharu itu dan akan menyokong Latheefa.

“Kami mesti memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya supaya beliau boleh melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya

Menurut Azam, dengan menyokong pucuk pimpinan baru, ia akan membolehkan SPRM terus menjalankan amanah rakyat.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Shukri yang kembali menerajui agensi itu sejak Mei tahun lalu.

“Bagi seorang pegawai kanan bahagian operasi, kerja siasatan dan operasi sedang berjalan seperti biasa.

“Diharap KP (ketua pesuruhjaya) baharu ni akan meneruskan legasi KP lama dalam membawa SPRM ke landasan yang betul,” katanya.

Seorang pegawai bahagian risikan pula berkata, Shukri yang menjadi idolanya selama ini akan dirindui sebagai seorang pegawai yang berani menegakkan kebenaran.

“Kami hanya ikut pada arahan. Selagi ia mengikut lunas undang-undang, kami akan terus melawan rasuah,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.