https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ucapan Selamat Hari Lahir ke-94 buat Tun M

Oleh Rohaniza Idris

 KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-94 hari ini menerima ucapan daripada pelbagai pihak yang dimulakan barisan kepemimpinan parti Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang terawal membuat ucapan melalui klip video dimuat naik di laman Facebook PH malam tadi yang antara lain mendoakan kesihatan dan diberikan kesempatan terus berkhidmat kepada negara.

“Sempena sambutan hari ulang tahun Tun Dr Mahathir ke-94, kami mendoakan ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan diberikan kesihatan dan diberikan kesempatan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mendoakan semoga Dr Mahathir sihat dan boleh menerajui negara.

“Saya nak ucapkan selamat hari jadi, happy birthday to you sir. Mudah-mudahan masih sihat, masih boleh menerajui negara. Maka saya ambil kesempatan ini mendoakan agar Tun (Dr Mahathir) terus berada dalam keadaan sihat, cerdas, cergas dalam memimpin negara.

“Mudah-mudahan segala apa yang rakyat Malaysia harapkan ke hadapan, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju, makmur dan sejahtera akan terus dapat dilaksanakan di bawah kepimpinan YAB Tun,” katanya.

Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menyampaikan ucapan: “Tun, selamat menyambut hari jadi ke-94, semoga Tun boleh terus sihat dan juga harap Tuhan akan lanjutkan usia lagi.”

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata: “Tun, usia Tun akan mencapai 94 tahun hari ini, saya mengucapkan selamat hari jadi, semoga Allah memelihara kesihatan Tun, terus sihat dan terus mencurahkan bakti kepada negara dan membimbing kami dalam pemerintahan supaya dapat kita berkhidmat yang sebaik mungkin kepada rakyat jelata. Selamat hari jadi!.”

Turut menyampaikan ucapan melalui rakaman itu beberapa menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen daripada PH.

Sehingga jam 10 pagi ini, klip video itu mendapat 300 komen dan dikongsi 1.2 juta dan menerima tanda Like lebih 1.6 juta.

Selain ucapan melalui Facebook, ucapan yang sama turut disampaikan melalui laman sosial lain, malah beberapa stesen radio turut menyiarkan ucapan selebriti dan tokoh kepada Perdana Menteri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.