https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rawatan Onkologi Malaysia Jadi Pilihan Dunia

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Selama tiga bulan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ibu Ida mengalami pendarahan dalam hidungnya, sehingga membimbangkan diri dan anggota keluarganya.

Walaupun tidak menyakitkan namun, suri rumah berusia 54 tahun dari Medan, Indonesia itu berasa tidak selesa dengan keadaan itu kerana ia turut menjejaskan kualiti kehidupan sehariannya.

Ini kerana pendarahan itu berlaku tidak tentu masa, ada kalanya pada waktu pagi, petang mahupun malam sekali gus menyukarkannya melakukan aktiviti luar.

“Saya jarang keluar rumah kerana khuatir jika darah tiba-tiba keluar (dari hidung). Selalunya, apabila berlaku pendarahan hidung, saya perlu segera ke bilik air.

“Ini membuatkan saya sangat tertekan kerana perlu berada dalam bilik air berjam-jam lamanya untuk menunggu darah berhenti keluar,” katanya kepada Bernama selepas menjalani rawatan susulan di sebuah hospital swasta di sini.

Keadaannya semakin teruk apabila pendarahan itu kerap berlaku selain turut mengalami muntah darah walaupun selepas mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan terkemuka di Medan.

“Saya percaya doktor berkenaan tidak memeriksa dengan teliti, tidak melakukan x-ray…doktor menyatakan pendarahan berpunca daripada alahan.

Pakar Klinikal Onkologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL) Dr Lam Kai Seng. --GAMBAR HAK MILIK: HOSPITAL PANTAI KUALA LUMPUR

“Saya makan pelbagai ubat namun belum sembuh...kawan-kawan dan saudara mara mencadangkan supaya saya ke Pulau Pinang kerana ada doktor pakar bahagian kepala dan hidung di sana.

“Bulan Mac tahun lepas, saya ke Pulau Pinang dan ujian biopsi mengesahkan saya menghidapi kanser dan perlu dirujuk ke hospital untuk rawatan seterusnya,” kata Ibu Ida yang disahkan menghidap kanser pangkal hidung tahap tiga.



PILIH MALAYSIA

Walaupun terkejut dengan keputusan pemeriksaan perubatannya, wanita itu yakin dengan perkhidmatan pakar kesihatan di Malaysia yang terkenal dengan profesionalisme selain pusat perubatannya dilengkapi peralatan dan teknologi terkini.


Ibu kepada dua anak itu juga sering mendengar mengenai warganegara asing termasuk dari Indonesia yang memilih Malaysia bagi mendapatkan rawatan penyakit mereka.

Selepas didiagnos menghidap kanser, Ibu Ida memilih untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), yang juga terkenal dalam kalangan pesakit dari Medan.

“Saya ke HPKL pada Julai tahun lepas setelah kematian suami pada Jun. Selepas tiga bulan menerima rawatan, kesihatan saya bertambah baik,” katanya.

Berikutan perkembangan positif tahap kesihatannya, Ibu Ida berkata beliau berharap dapat segera menikmati sajian Malaysia yang digemarinya seperti nasi lemak, nasi kandar, mee kari, mee wantan dan banyak lagi.

“Sepanjang rawatan, saya hanya boleh makan makanan lembut sahaja. Sekarang sudah 90 peratus sembuh dan tidak lama lagi saya boleh makan semuanya,” katanya.

Beliau perlu membuat rawatan susulan setiap enam bulan bagi memastikan sel kanser tidak lagi menyerang.

Pakar Klinikal Onkologi HPKL, Dr Lam Kai Seng, yang merawat wanita itu, berkata keadaan personalitinya nyata berbeza berbanding ketika pertemuan pertama mereka.

Ketika itu, Ibu Ida tidak banyak bercakap, murung, tiada semangat dan sentiasa menangis yang menyukarkan Dr Lam merawatnya.

“Beliau amat sedih kerana menghidap kanser selain kehilangan suaminya yang menjadi sandarannya selama ini. Selepas beberapa hari menjalani rawatan di HPKL, Ibu Ida semakin positif kerana kami bukan sahaja memberi tumpuan proses penyembuhan tetapi juga motivasi.

“Beliau juga bersemangat untuk sembuh selepas kami memberitahu bengkak pada kelenjar lehernya sudah mengecut. Paling menggembirakannya, sel-sel kanser juga hilang selepas rawatan,” katanya sambil memberitahu wanita itu kini semakin positif dan lebih berdikari berbanding dahulu.



RAWATAN KANSER

Dr Lam memberitahu bahawa Ibu Ida diberikan tujuh rawatan kemoterapi dan 33 kali rawatan radioterapi secara serentak selama tiga bulan.

Teknik radioterapi itu menggunakan teknologi terbaharu ‘Volumetric Modulated Arc Therapy’ (VMAT) yang berpotensi mengurangkan kesan sampingan rawatan berbanding rawatan radioterapi sebelum ini seperti mulut kering, kurang deria bau dan rasa.

Selain itu, VMAT mampu menentukan kedudukan sel barah pada tubuh badan pesakit dengan sasaran tepat untuk radiasi diberikan kepada pesakit kanser berbanding teknologi sebelum ini seperti rawatan 3D Conformal Radiotherapy (3DCRT).

Pegawai Perubatan Kanan Bahagian Kecemasan HPKL Dr Mohd Ridzuan Abdul Razak berkata hospital itu menjadi tumpuan bagi rawatan kanser kerana pengalaman yang melebihi tiga dekad sejak menjadi pusat perubatan swasta pertama yang menawarkan rawatan kanser di Malaysia pada 1981.

Selaras dengan pengalaman itu, katanya, Pusat Kanser HPKL dilancarkan semula pada 2018 dengan memperluas perkhidmatan radioterapi dan onkologi bagi menyediakan penjagaan lebih bersepadu kepada pesakit kanser di sesebuah pusat tunggal.

Penjagaan harian kemoterapi kini mampu memberi rawatan hingga kepada 35 pesakit setiap hari dalam persekitaran lebih kondusif dan tempoh menunggu yang lebih singkat.

Beliau berkata prospek pelancongan kesihatan di hospital itu amat memberangsangkan berikutan menjadi pilihan banyak negara khususnya Indonesia.

“Ramai pesakit mendapatkan rawatan untuk penyakit kanser, jantung, serangan angin ahmar, ortopedik dan kemalangan.

“Selain dilengkapi teknologi rawatan canggih, kami mempunyai lebih 200 pakar kesihatan pelbagai bidang perubatan dan pembedahan. Bayaran perkhidmatan di HPKL juga adalah 50 peratus lebih rendah berbanding Amerika Syarikat, Eropah dan Hong Kong,” katanya.

Daripada jumlah keseluruhan pesakit HPKL, pelancong kesihatan dari Indonesia mencatatkan 36 peratus, India (12 peratus), Jepun (11 peratus), China (5 peratus) dan Jerman (3 peratus).



FASILITI KANSER DI MALAYSIA

Realitinya, rawatan kanser di Malaysia sudah jauh berubah dan berbeza berbanding sebelum ini dengan penawaran perkhidmatan perubatan kesihatan komprehensif bertaraf dunia serta kemudahan teknologi canggih dan terkini.

Ia menarik perhatian warga luar untuk memilih Malaysia bagi mendapatkan rawatan, kata Pengarah Perubatan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia Dr Murallitharan M.

Rawatan kanser di Malaysia bemula pada 1981 di sebuah hospital awam - Hospital Kuala Lumpur (HKL) - yang mempunyai kemudahan onkologi dan radioterapi. Kini, rawatan itu boleh didapati di lebih lima hospital awam dengan fasiliti serta doktor pakar yang mencukupi.

Antaranya ialah Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru), Hospital Umum Sarawak, Hospital Pulau Pinang manakala hospital universiti ialah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia.

Selain itu, penubuhan Institut Kanser Negara di Putrajaya jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan perubatan penyakit kanser yang dikenal pasti antara punca kematian keempat tertinggi di Malaysia.

Di samping itu, kerajaan turut memberi penekanan kerjasama dengan hospital swasta untuk saling melengkapi dalam menawarkan perubatan terbaik dan komprehensif.

Perkembangan rawatan kanser hospital swasta di Malaysia juga sangat positif dengan kini terdapat 30 pusat perubatan yang menyediakan rawatan itui itu berbanding 14 pusat onkologi swasta kira-kira 15 tahun lepas.

“Dari perspektif pelancongan kesihatan, kita harus menilai pencapaian Malaysia dalam rawatan penyakit kanser khususnya di sektor swasta kerana kebanyakan pelancong kesihatan mendapat rawatan di sana.

"Banyak hospital swasta di negara ini yang mempunyai perkhidmatan rawatan kanser menyeluruh melalui pusat kanser khusus di dalam hospital mereka yang menggabungkan kepakaran pelbagai bidang termasuk onkologi dan radioterapi.

“Namun, terdapat beberapa hospital di bawah penyeliaan kerajaan seperti Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Selayang yang boleh memberikan rawatan kanser kepada bukan warganegara melalui perkhidmatan ‘Full-Paying Patient’ (FPP) di mana pesakit harus membayar fi untuk menerima rawatan bukan pada kadar warganegara,” kata Dr Murallitharan.


JANA EKONOMI

Pada April lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Indonesia menyumbang sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong kesihatan di Malaysia selain China, India, Singapura dan United Kingdom.

Lebih 670,000 warganegara Indonesia mendapatkan rawatan perubatan dan hospitaliti di Malaysia sepanjang 2018.

Malaysia menjadi hab perubatan kesihatan antaranya kerana kepakaran doktor yang diiktifraf dunia, rawatan komprehensif, masa menunggu rawatan pakar tidak lama, kebolehan berbahasa Inggeris sepanjang sesi rundingan kesihatan serta harga berpatutan.

Menurut laporan Patients Beyond Borders pada 2018, kadar bayaran perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan Malaysia adalah satu per empat lebih rendah berbanding Singapura dan Korea Selatan.

Anggaran kos rawatan untuk Pintasan Graft Arteri Koronari di Malaysia adalah kira-kira US$20,800 berbanding Singapura yang mengenakan US$54,500 dan Mexico sebanyak US$34,000.

Data itu menunjukkan purata penjimatan kos rawatan di Malaysia adalah 60 hingga 80 peratus berbanding Singapura (25 hingga 40 peratus) dan Mexico (40 hingga 60 peratus).

Malaysia turut memenangi pelbagai anugerah yang mengiktiraf kualiti perkhidmatan kesihatannya yang bertaraf dunia.

Antaranya laman sesawang International Living yang mengiktiraf Malaysia sebagai negara menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik dunia sejak 2015. Ia juga meletakkan Malaysia pada kedudukan pertama di dunia yang memiliki perkhidmatan kesihatan terbaik dengan markah 95 daripada 100.

Selain itu, Malaysia turut merangkul sembilan anugerah pada majlis Anugerah Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa (IMTJ) 2018 di Athens, Greece tahun lepas.

Industri pelancongan kesihatan Malaysia berkembang pada kadar purata antara 16 dan 17 peratus setahun berbanding purata global 12 hingga 14 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Sherene Azli berkata pelancongan kesihatan merupakan antara industri yang berkembang pesat dalam sektor ini, mencatatkan pertumbuhan dua angka berbanding empat peratus yang dicatatkan industri pelancongan itu sendiri.

Sektor penjagaan kesihatan Malaysia pada 2017 mencatatkan perolehan kira-kira RM1.3 bilion daripada lebih satu juta ketibaan pelancong kesihatan, dengan pertumbuhan ini menyumbang lebih RM3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Laporan itu juga menyebut jumlah pelancong kesihatan turut meningkat kepada 1.05 juta berbanding 921,000 pada 2016. Antara rawatan yang mendapat permintaan tinggi pelancong kesihatan adalah kardiologi, onkologi, kesuburan (IVF), ortopedik dan neurologi.

MHTC ditubuhkan pada 2009 untuk menggalakkan industri pelancong kesihatan di Malaysia.


Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

BERNAMA

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.