https://critoxium.com/shop/

Terkini

Akhbar cetak masih relevan

Oleh Oleh Zin Mahmud

PADA 1 Julai lalu, Berita Harian (BH) menyambut hari ulang tahun ke-62. Akhbar ini ada tradisi kewartawanannya yang beriringan dengan sejarah negara, kemerdekaan dan pembangunan. BH di bawah kepengarangan Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail mulai 1958, iaitu setahun selepas kemerdekaan, mencorak dan menetapkan identiti kewartawanan dan persuratkhabaran kebangsaan negara ini.

Tetapi sejak kira-kira 30 tahun lalu, dari 1999 hinggalah 2019, akhbar di seluruh dunia diasak kehadiran internet dan debat mengenai sama ada akhbar cetak masih relevan atau tidak berlaku sepanjang tiga dekad lalu. Debat itu kini terus berlaku dan kesimpulannya semakin jelas.

Tanpa perlu debat itu, nasib akhbar di seluruh dunia dapat disaksikan dengan penutupan akhbar cetak di merata tempat dan penurunan jualannya yang tidak tertahan. Pendapatan semakin berkurangan daripada perniagaan, menjejaskan produktiviti dan kualiti kewartawanan.

Dalam keadaan ini, disarankan bahawa sebenarnya akhbar tidak akan pupus. Apa yang akan pupus ialah akhbar cetak. Persuratkhabaran akan terus hidup dalam bentuk digital, iaitu daripada akhbar kertas bercetak kepada akhbar elektronik yang disebarkan di alam maya. Tetapi akhbar elektronik tidak sama dengan akhbar cetak. Ia hanya boleh diakses melalui gajet, daripada komputer, tablet hinggalah kepada telefon pintar.

Pengalaman membaca akhbar elektronik tidak sama akhbar cetak. Ditambah pula masih banyak orang berasa kurang selesa membaca skrin, walaupun golongan ini semakin berkurangan dan dijangka pupus. Sementara dalam alam maya pula, berlaku banyak gangguan tumpuan atau distraksi (distraction).

Bagaimanakah hendak memberi tumpuan pada satu platform sedangkan banyak saluran lain lebih menarik termasuk media sosial. Sejak 30 tahun lalu, sudah banyak eksperimen dan usaha untuk memanfaatkan internet bagi kerja kewartawanan.

Daripada portal berita hingga kepada kewartawanan warganegara, memenuhi ruang maya hinggakan ia menjadikan akhbar digital sebagai hanya satu komponen kecil dalam internet. Apa yang jelas sekarang ialah akhbar cetak tidak akan dapat mencapai kedudukannya seperti pada 1980-an dan 1990-an.

Ketika itu pun, persuratkhabaran ini sudah digambarkan sebagai industri merosot (sunset industry).

Untuk masa akan datang juga, diisytiharkan akan sampai masa akhbar cetak tiada. Aliran kemerosotannya jelas. Apabila pengedar mendapati bilangan pendapatan diperoleh tidak berbaloi, mereka akan berhijrah ke perniagaan lain.

Bila mana mereka tidak mengedar, penerbit pun akan menutup operasi. Sungguhpun begitu, senario itu belum berlaku. Di kedai mamak, masih ada orang membaca akhbar walaupun kebanyakan pelanggan terpaku pada telefon pintar. Di kawasan perumahan, masih ada pengedar bermotosikal mencampak naskhah akhbar ke rumah.

Begitu juga di kedai runcit, masih ada akhbar dijual. tidak banyak seperti dahulu, tetapi tetap ada. Jadi, dalam hal akhbar cetak, tidaklah usah bercakap mengenai masa lalu dan masa akan datang. Walaupun kedua-duanya adalah realiti yang boleh diterima tetapi ia belum wujud. Satu realiti itu sudah dilalui dan dialami. Sementara satu lagi hanya jangkaan.

Tetapi pada detik ini, dua realiti itu tidak wujud. Apa yang wujud ialah akhbar cetak, walaupun amat berkurangan berbanding dahulu, masih tetap diterbitkan, diedar, dibeli dan dibaca. Maknanya, akhbar cetak masih relevan. Tentunya bentuk mana akhbar cetak dan model perniagaan yang menampungnya dalam landskap media pantas berubah ini, adalah berbeza daripada struktur zaman prainternet.

Banyak eksperimen sudah dan sedang dilakukan. Apa yang pasti, selagi boleh berperanan, akhbar cetak tetap ada. Konsep seperti long form journalism atau kewartawanan bentuk panjang dan slow journalism atau kewartawanan perlahan memaparkan keistimewaan hasil tulisan yang panjang muncul walaupun dalam suasana generasi tidak mampu untuk membaca lama.

Begitu juga dengan konsep konvergens (convergence) atau penggabungan konten (content) iaitu kandungan yang sama disalurkan melalui platform berbeza, daripada imej, bunyi dan teks yang disulam sebagai filem dan grafik tetapi disiarkan serta melalui platform atas talian, televisyen dan kertas termasuk akhbar cetak sedang dicuba di seluruh dunia.

Bagaimana akhbar cetak dapat mengisi ruang yang muncul akibat peralihan pembaca kepada grafik dan visual adalah cabaran terus didebatkan dan dicuba kaji pengamal dan pemerhati media. Tetapi seperti kata Marshal McLuhan, media adalah mesej. Maknanya mesej juga menurut bentuk media yang menyampaikan.

Fikiran yang disampaikan oleh akhbar cetak umpamanya tidak akan sama dengan apa yang dibawa oleh media sosial. Platform melalui Internet tidak akan dapat memberi impak serupa dengan media cetak. Sebab itu akhbar cetak masih relevan. Selagi ada orang yang membaca akhbar cetak, maka merekalah yang membentuk lapangan kewartawanan.

Pembaca dan wartawan adalah seperti simbiosis yang mencorakkan akhbar cetak itu. Cita rasa dan budaya pembaca akhbar cetak, yang kini adalah kalangan generasi matang, berbeza daripada mereka yang hanya bergantung pada curahan maklumat di internet.

Tetapi jika akhirnya golongan pembaca akhbar cetak ini pupus kerana berakhir hayat mereka, maka berlalulah zaman akhbar cetak dan segala keistimewaan kewartawanan mereka. Jika ada generasi muda yang dapat menghargai kewartawanan akhbar cetak, maka media ini akan terus wujud walaupun alam maya mendominasi sepenuhnya dunia maklumat.

Penulis adalah Bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.