Habbatus sauda‘ penawar penyakit’?
Oleh MOHAMMAD MUSTAQIM MALEK
PENGAMALAN sunah Nabi Muhammad SAW merupakan lambang keimanan seseorang Muslim. Sunah baginda diamalkan dengan keyakinan bahawa terdapatnya keberkatan dan manfaat yang dibawa oleh sunah itu kepada kehidupan.
PENGAMALAN sunah Nabi Muhammad SAW merupakan lambang keimanan seseorang Muslim. Sunah baginda diamalkan dengan keyakinan bahawa terdapatnya keberkatan dan manfaat yang dibawa oleh sunah itu kepada kehidupan.
Sunah baginda adalah elemen penting yang menjadi
panduan dalam aspek kehidupan Muslim. Ia sesuai dengan sabda baginda
yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak
akan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah
(al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (sunah Nabi SAW) (Riwayat Malik, hadis
1594).”
Gaya hidup masyarakat Muslim banyak
didorong oleh sunah Nabi SAW. Sebagai contoh, ia dapat dilihat dalam
aspek penjagaan kesihatan. Masyarakat Muslim banyak merujuk kepada sunah
baginda dalam hal ehwal merawat penyakit kerana di samping dapat meraih
pahala, ia turut membawa manfaat kesihatan.
Salah
satu sunah yang biasa dirujuk oleh masyarakat Muslim apabila mengalami
masalah kesihatan ialah berkaitan habbatus sauda’. Maksud hadis
berkaitan habbatus sauda’ berbunyi: “Pada habbatus sauda itu ada penawar
bagi segala penyakit kecuali mati (Sahih Bukhari, kitab al-Tibb, hadis
5688; dan Sahih Muslim, kitab al-Salam, hadis 2215).”
Namun
kefahaman terhadap hadis tersebut perlulah melalui kaedah yang betul.
Salah faham berlaku apabila masyarakat memahami secara literal terhadap
terjemahan hadis. Berlaku salah faham berhubung ungkapan ‘penawar segala
penyakit’ yang digunakan dalam hadis berkenaan sehingga masyarakat
beranggapan bahawa habbatus sauda’ pengubat kepada segala penyakit
kecuali mati.
Hal sebegini menjadi lebih
buruk apabila wujud pihak berkepentingan menggunakan kefahaman yang
tidak tepat ini untuk melariskan penjualan habbatus sauda’. Bahkan kerap
kali berlaku dakwaan produk kesihatan yang mengandungi habbatus sauda’
berupaya mengubati segala penyakit dengan berhujahkan hadis tersebut.
Dalam isu ini, adalah penting untuk sekurang-kurangnya merujuk huraian tentang sesuatu hadis yang ditulis oleh alim ulama.
Ulama
menghuraikan hadis berhubung habbatus sauda’ dengan menyatakan terdapat
banyak manfaat pada habbatus sauda’ yang mampu mengubati
penyakit-penyakit. Kitab Fathul Bari oleh Ibn Hajar al-Asqalani iaitu
huraian kepada Sahih Bukhari menyebutkan beberapa kegunaan habbatus
sauda’ sebagai penawar.
Antaranya apabila ia
dihancurkan menjadi serbuk dan dibalut dengan kain, kemudian dihidu
aromanya, boleh membantu orang yang mengalami selesema akibat cuaca
sejuk. Turut disebutkan sekiranya habbatus sauda’ dimasak bersama-sama
cuka, kemudian digunakan untuk berkumur, ia dapat membantu melegakan
sakit gigi.
Contoh-contoh kegunaan seperti
dalam kitab syarah yang dinyatakan menunjukkan terdapat banyak manfaat
kesihatan pada habbatus sauda’. Namun ia tidak bermaksud habbatus sauda’
adalah ubat kepada semua penyakit di dunia ini.
Dalam
hal ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.
Antaranya mendalami dan memahami lafaz-lafaz yang digunakan dalam hadis
berkenaan habbatus sauda’ ini berpandukan ilmu usul al-fiqh.
Ibn
Hajar al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari, syarah kepada Sahih Bukhari
menukilkan bahawa Imam al-Khattabi menerangkan ungkapan ‘penawar segala
penyakit’ merupakan lafaz umum yang membawa maksud khusus. Penggunaan
maksud yang khusus adalah tepat kerana menurut Imam al-Khattabi, tidak
ada satu pun tumbuhan yang diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini yang
terkumpul di dalamnya semua manfaat bagi tujuan perubatan.
Kefahaman
khusus yang sepatutnya diambil ialah habbatus sauda’ bermanfaat sebagai
penawar bagi segala penyakit yang dilihat sesuai diubati dengannya. Ibn
Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari dan Imam al-Nawawi dalam Syarah
Al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim memperincikan dengan lebih lanjut tentang
maksud ‘penyakit yang sesuai diubati dengannya’. Ia bermaksud bahawa
habbatus sauda’ secara khususnya sesuai untuk mengubati
penyakit-penyakit yang timbul kerana cuaca sejuk dan tidak berkesan
untuk penyakit-penyakit yang timbul disebabkan cuaca panas, misalnya.
Pengkhususan
keberkesanan habbatus sauda’ untuk penyakit-penyakit ‘sejuk’ dan
pengecualian keberkesanannya untuk penyakit-penyakit ‘panas’ dalam
penulisan ulama menunjukkan terdapat limitasi pada kegunaan habbatus
sauda’. Sehubungan itu, kefahaman bahawa habbatus sauda’ adalah ubat
kepada segala penyakit di dunia ini adalah tidak tepat.
Imam
al-Nawawi turut menjelaskan, penyakit-penyakit yang muncul akibat
keadaan sejuk merupakan penyakit-penyakit biasa dalam kalangan
masyarakat sekitar baginda SAW pada zaman itu. Kerana itulah hadis
tentang habbatus sauda’ menggambarkan bahawa banyak manfaat boleh
diperoleh daripadanya kerana ia berupaya mengubati pelbagai jenis
penyakit yang biasa pada masa tersebut.
Tidak
dapat dinafikan sememangnya habbatus sauda’ mempunyai faedah yang
banyak. Baginda SAW menyebutkan tentang kebaikannya dalam sunnah baginda
adalah untuk manfaat awam. Kajian saintifik pada masa kini juga
menunjukkan terdapat potensi-potensi kegunaan habbatus sauda’ sebagai
ubat untuk masalah-masalah kesihatan tertentu.
Meskipun
banyak manfaatnya, masyarakat awam tidak boleh mengambil kefahaman
bahawa habbatus sauda’ adalah ubat kepada segala macam penyakit di dunia
ini secara literal kerana ia adalah tidak tepat.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.