Kenang Kembali : Pengisytiharan Harta
Oleh Rafizi Ramli
Saya mengikuti dari jauh lengkapnya satu lagi langkah untuk menyembuhkan dan membina semula Malaysia daripada kerosakan akibat rasuah yang berdekat lamanya.
Minggu ini, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk mewajibkan Ahli Parlimen (dan ahli keluarga) mengisytiharkan harta mereka.
Rakyat tidak perlulah melayan sangat songel pembangkang PAS/UMNO yang menentang kuat peraturan baru ini. Mereka boleh memberi apa-apa alasan, memetik pelbagai sebab musabab.
Semakin banyak songel mereka menentang pengisytiharan harta, semakin mereka mendedahkan hipokrasi mereka.
Mudah untuk kita faham kenapa ahli-ahli politik dan pegawai tinggi awam berasa tidak selesa dengan pengisytiharan harta. Sesiapa yang mempunyai kuasa, apabila diminta dipertanggungjawabkan untuk kuasa yang diberikan kepada mereka, akan merasa tidak selesa.
Semasa saya mula-mula berkempen untuk mewajibkan pengisytiharan harta dalam tahun 2015 dahulu, tindakan saya itu mengundang cemuhan kawan dan lawan.
Saya adalah Ahli Parlimen pertama yang membuat pengisytiharan harta terperinci secara sukarela di bawah akuan bersumpah pada tahun 2015. Sejak itu, saya telah membuat perisytiharan harta tahunan sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.
Pandangan saya agak berbeza dengan ahli politik lain ketika itu. Saya percaya apabila kita memilih untuk menjadi seorang penjawat awam, kita perlu mengorbankan sedikit ruang peribadi kerana masyarakat memerlukan ahli politik yang ada pertanggungjawaban.
Saya juga merasakan ia satu langkah pencegahan kerana saya sentiasa sedar bahawa mana-mana orang awam boleh membuat laporan polis terhadap akuan berkanun saya, dan saya boleh ke penjara jika berbohong.
Bangkangan dan cemuhan dari UMNO/PAS ketika itu mudah difahami.
Tetapi saya terkejut sedikit kerana bangkangan dan cemuhan turut datang daripada sesetengah pihak di dalam Pakatan Harapan dan kumpulan yang menggelar diri mereka “civil society”.
Nasib baik sokongan rakyat kepada pengisytiharan harta wajib adalah amat menggalakkan. Ia memudahkan langkah INVOKE untuk menjadikan pengisytiharan harta satu syarat utama untuk mana-mana calon yang ingin mendapat bantuan kempen dari kami.
Kumpulan pertama tiga puluh Ahli Parlimen sedia ada dan bakal calon dari Pakatan Harapan membuat pengisytiharan harta dalam bulan November 2017. Menjelang Mac 2018, sejumlah 105 wakil rakyat sedia ada/bakal calon telah membuat pengisytiharan harta secara sukarela melalui INVOKE.
Hampir dua tahun kemudian, pengisytiharan harta wajib telah menjadi undang-undang.
Saya selalunya tidak sentimental tentang kempen atau keputusan politik yang saya ambil pada masa lalu. Saya jenis yang mengambil keputusan nekad jika saya rasakan ia perkara yang betul, tidak kira apa pandangan dan cemuhan orang lain. Pada saya, Allah yang menjadi hakim yang terbaik kepada setiap keputusan saya sebagai penjawat awam.
Tetapi dalam isu pengisytiharan harta ini, saya akui ada sedikit rasa sentimental kerana ia membuktikan kita berjaya mengatasi pelbagai rintangan dari kawan dan lawan untuk sampai ke tahap ini.
In Sha Allah setiap hari keadaan akan menjadi lebih baik.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.