Dalam wawancara dengan akhbar Financial Times semasa menghadiri mesyuarat G20, Putin berkata liberalisme Barat sudah ketinggalan zaman dan tidak ada keperluan lagi.

Pendirian ini menyebabkan kekecohan di Barat, tetapi pendirian ini ialah pendirian konsisten Putin selama ini yang tidak pernah berubah dan menjadi salah satu pegangan utama beliau dalam menghadapi kuasa Barat yang mendominasi dunia hari ini. 

Putin ialah seorang nasionalis Rusia yang tegar, berpegang teguh pada nilai-nilai konservatif walaupun bukan seorang yang berpegangan agama yang kuat. 

Putin sejak menggantikan Boris Yeltsin sebagai presiden pada tahun 2000 hanya mengalami perubahan pendirian yang minimum berhubung kedudukan Rusia sebagai sebuah kuasa dunia, dan identitinya sebagai sebuah negara besar. 

Putin pernah mahu membina hubungan lebih baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, tetapi sikap ini berubah apabila AS menunjukkan sikap sebenarnya yang tidak selari dengan kepentingan Moscow, bukan sahaja melalui perluasan NATO, tetapi juga penyebaran nilai-nilai liberal di Rusia. 

Dua gelombang perluasan keahlian NATO yang menghampiri Rusia, pada 1999 dan 2004, benar-benar menunjukkan kepada Moscow pendirian Washington, dan bagaimana kuasa Barat itu melihat Rusia, yang dengan mudah diabaikan dalam meluaskan keahlian NATO. 

Perluasan NATO ialah komponen politik dan ketenteraannya, dan ini dengan pasti melibatkan sekali penyebaran nilai-nilai yang dipegang dan dipejuangkan AS dan Eropah yang liberal. 

Selepas Putin mula memimpin Rusia sebagai presiden, liberalisme sudah mula disebarkan secara tersusun dan agresif oleh Barat, melalui pelbagai cara termasuk kempen hak asasi oleh kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang juga menjadi alat politik Barat.

Satu contoh jelas yang dapat dilihat sejak penggal pertama Putin ialah usahanya memerangi kelompok hartawan oligarki yang bekerjasama rapat dengan Barat, dan beberapa tokoh ini turut berperanan dalam menyokong politik liberal.

Mikhail Khodorkovsky, taikun syarikat minyak Yukos yang akhirnya dipenjara dan kini menetap di Switzerland, bekerjasama rapat dengan beberapa tokoh AS dan Barat, termasuk Henry Kissinger dan Jacob Rothschild, menubuhkan sebuah yayasan yang antara peranannya ialah mendanai parti liberal.

Pada masa sama, kegiatan liberal di Rusia turut dibiayai oleh George Soros, yang dikenali di seluruh dunia sebagai penyokong dan pendana aktiviti liberal yang tema utamanya ialah demokrasi dan hak asasi manusia.

Pejabat Soros diserbu oleh pihak berkuasa Rusia pada 2003, dan kemudian kegiatannya terus dihalang, dan akhirnya pada 2015, aktiviti pertubuhan Soros, Open Society Foundation diharamkan.

Rusia pada 2012 meluluskan undang-undang bertujuan menyekat aktiviti pertubuhan bukan kerajaan asing, meliputi pelbagai jenis organisasi yang disokong dan mendapat dana dari Barat.

Rusia yang semakin kuat dimusuhi Barat, terutama AS - walaupun hubungan dengan Eropah lebih kompleks dan pelbagai - menjadi medan pertembungan antara nilai-nilai liberal dengan nilai konservatif Rusia, yang turut dibina oleh tradisi Kristian Ortodoks yang bertentangan dengan nilai bawaan Barat.

Sejak berakhir pemerintahan komunis Soviet, agama telah kembali menonjol dalam masyarakat Rusia, walaupun dalam keadaan yang terhad. Gereja Ortodoks juga telah membina hubungan baik dengan pemerintah Rusia, yang masih lagi satu kuasa konservatif.

Di bawah Putin, Gereja Ortodoks dilihat mula meningkat pengaruhnya, dan nilai-nilai liberal di bawa dan diperjuangkan oleh kelompok pro-Barat di Rusia berkonflik dengan aliran ini.

Nilai-nilai liberal Barat ini menjadi salah satu senjata yang dibawa masuk oleh Barat, dan melalui inilah Putin menghadapi cabaran politiknya, yang dapat diperhatikan melalui kumpulan-kumpulan yang menentang Putin dan pihak yang berkuasa di Rusia. Putin amat menyedari realiti ini sejak awal. 

Liberalisme Barat menjadi pegangan pelbagai kumpulan yang menentang Putin, dan walaupun tidak semestinya sehaluan dalam setiap hal, boleh dikatakan semuanya berpendirian yang bertentangan dengan nilai konservatif yang dipengaruhi Kristian Ortodoks Rusia. 

Rusia boleh disaksikan menjadi satu medan aktiviti LGBT hebat, yang disokong kuat oleh AS. Nilai liberal ini menjadi satu alat dasar luar AS yang penting dan meningkat kepentingannya selepas Barack Obama pada Disember 2011 mengumumkan sokongan kuat AS untuk perjuangan gay seluruh dunia.

Nilai konservatif yang dipegang oleh masyarakat Rusia masih berperanan menjadi benteng dalam menghadapi tekanan Barat, dan ini menjadi satu sebab penting Putin berpendirian tegas menentang liberalisme seperti yang disebarkan dan “dipaksakan” oleh Barat.

Putin berpendapat, majoriti menolak fahaman liberal yang disebarkan Barat, dan di Rusia, hal ini masih relevan. Hakikat bahawa Putin sedia menyatakan pendirian ini menunjukkan pandangan itu dapat diterima di Rusia, dan beliau tidak berisiko berdepan tentangan dan kecaman di dalam negara. 

Perkembangan dunia selepas trend seperti globalisasi tidak lagi menjadi istilah popular, dan nasionalisme dan politik identiti menguasai wacana politik seluruh dunia, menunjukkan lagi yang gagasan-gagasan dipaksakan oleh Barat tidak dapat diterima dengan mudah oleh dunia. 

Realiti geopolitik semasa, menyaksikan Putin kini menjalin hubungan semakin rapat dengan pemimpin-pemimpin yang dianggap “illiberal” oleh Barat seperti Xi Jinping dan Recep Tayyip Erdogan menunjukkan lagi penolakan semakin kuat terhadap Barat. 

Hubungan Rusia dengan China, Iran, Syria, Venezuela, dan Turki antaranya, menunjukkan haluan yang bertentangan dengan Barat yang diambil Putin, dan pengukuhan hubungan ini, terutama dengan China, Turki, dan Iran menampakkan beberapa kejayaan dasar luar Putin. 

Maka penegasan Putin menolak liberalisme Barat itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, dan perkembangan semasa semakin menunjukkan satu pergerakan ke arah satu realiti “pasca-Barat” yang sedang pantas muncul.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.