https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perihal Presiden UMNO, Penasihat BN

Oleh Tok Perak

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamatkan cutinya dan umum untuk aktif semula memegang jawatan lama sebagai Presiden UMNO.

Memang tidak ada salahnya untuk Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memegang semula jawatan nombor satu parti sebab beliau dipilih secara sah.

Beliau dulu didesak oleh sebahagian orang parti – termasuk beberapa pemimpin – supaya mengambil cuti berikutan dengan tuduhan rasuah dan pecah amanah yang dihadapi.

Memangku jawatan penting sepanjang Zahid bercuti ialah Datuk Seri Mohamad Hassan yang di bawah kepimpinan sementaranya menyaksikan BN menang dalam tiga pilihan raya kecil (PRK).
Congakan umum ialah sekiranya Mohamad terus memangku kerusi nombor satu, bintangnya mungkin lebih menyerlah dan nasib UMNO semakin cerah.

Tetapi menyerlahnya Mohamad mungkin akan memudarkan Zahid, maka ada yang berpendapat Zahid tidak mahu kepudarannya makin ketara, sebab itu dia harus memendekkan cuti.

SEMENTARA ada yang berkata – mungkin ikhlas, mungkin hipokrit – 'selamat pulang' kepada Zahid, sesetengah kalangan dalam UMNO lebih bersetuju sekiranya Zahid terus bercuti.

Bukan sebab Zahid tidak layak memimpin parti, tetapi ada baiknya beliau memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah perbadi yang lebih mendesak.

Almaklumlah, seperti yang semua tahu Zahid menghadapi 87 tuduhan berkaitan rasuah – setakat ini – itu sepatutnya menjadi fokus beliau, bukan hal-hal parti.

Bagaimanapun, tidak ada mana-mana pemimpin parti yang berani terang-terang meminta Zahid untuk terus bercuti. Mereka kata Zahid masih bersih selagi tidak dibuktikan bersalah.

Bersalah atau sebaliknya, UMNO, parti terbesar Melayu kini dipimpin oleh suspek dengan 87 tuduhan rasuah. Hidup Melayu!

LEBIH menarik lagi hanya dua hari setelah Zahid kembali menerajui UMNO, bekas presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik pula sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Tidak syak lagi pelantikan itu bagi sesetengah orang menonjolkan lagi ‘Bossku’ yang sedang ‘ngetop’ terutama dalam kalangan warga siber.

Seperti mana ‘satu Malaya’ sedia maklum mantan PM yang kini Ahli Parlimen Pekan itu terpalit dalam pelbagai pertuduhan busuk di mahkamah.

Beliau saban hari duduk di kandang tertuduh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berdepan 42 dakwaan pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah. Maka riuh ‘satu Malaya’ orang bersinis bahawa UMNO dan BN kini dipimpin oleh suspek rasuah. Tetapi bak kata pepatah moden, ‘Malu Apa Bossku!’

ADA yang menggunakan madah beralas, ada yang bercakap secara sipi-sipi sebab tidak mahu menyinggung perasaan @ takut.

Tetapi ramai juga – termasuk beberapa pemimpin UMNO – yang secara lantang dan terbuka menyatakan tidak setuju Najib menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ialah contoh pemimpin UMNO yang berterus terang dan lantang ketika diminta mengulas pelantikan Najib.

Katanya, seperti yang dipetik media: “Pelantikan itu adalah langkah ke belakang yang boleh melemahkan parti." Beliau menyalahkan Najib sebagai punca utama BN kalah dalam pilihan raya umum setahun yang lalu.

Khairy Jamaluddin tidak setuju dengan status terkini ‘Bossku’. Beliau enggan mengulas panjang, hanya menegaskan: “Saya tidak gembira (dengan pelantikan itu).”

Pendek kata perihal Najib menjadi Penasihat Lembaga Penasihat BN, ramai yang tidak bersetuju. Tetapi – sekali lagi – ‘Malu Apa Bossku’.

AKHIR kalam, pada ketika polis masih menyiasat video seks luar tabii yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan, muncul pula video kononnya dirakam di sebuah hotel di Sandakan didakwa melibatkan seorang Menteri Besar dan seorang ADUN wanita.

Dalam waktu sama, polis juga sedang menyiasat tuduhan seorang pembantu rumah yang mendakwa telah dirogol oleh seorang Exco.

Baik menteri, Menteri Besar, ADUN wanita dan Exco berkenaan telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Mereka menganggapnya sebagai fitnah.

Penafian telah dibuat tetapi polis mesti menyiasat ke akar umbi supaya hal sebenar terbongkar. Sekiranya benar fitnah nama yang terlibat dengan sendirinya telah dibersihkan.

Sekiranya bukan fitnah yang terlibat mesti berundur. Kita tidak boleh terus dengan pepatah moden ‘Malu Apa Bossku.’

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.